Pada relatifnya setiap manusia inginkan suatu kehidupan yang boleh memberi kedamaian dan suasana kehidupan mereka. Hidup yang aman, tenang dan damai telah menjadi tuntutan hati untuk dipenuhi. Satu nilai “hidup bersama dalam budaya damai” menjadi suatu tuntutan kehidupan yang tidak boleh dikesampingkan. Damai bermaksud suatu kehidupan yang harmoni tanpa ada perseteruan atau konflik antara anggota dalam sesuatu kawasan. Tidak ada kekerasan dalam sistem kehidupan, semuanya dilakukan dengan adil dan saksama dalam pelbagai kelompok masyarakat. Tidak berlakunya kesenjangan sosial dan ekonomi yang amat menonjol dan ketara yang boleh mempengaruhi terencatnya kehidupan damai dalam masyarakat.
Hidup Bersama dalam budaya damai, telah menjadi suatu tuntutan agama sejak manusia dicipta, ia bukan hanya muncul sejak belakangan ini sahaja sebagaimana yang telah dideklarasikan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Tetapi ia adalah suatu tuntutan untuk dilaksanakan sejak manusia dicipta dan telah menjadi Dasar setiap para Nabi yang diutuskan. Banyak tempat dalam al-Quran yang memprihalkan perkara itu untuk direalisasikan dalam kehidupan bermasyarakat. Perkataan “umat yang satu”, “kamu adalah bersaudara”, “bertolong bantu dalam kebaikan”, dan “ berlaku adil dan ihsan”. Semua tuntutan tersebut sejajar dengan nilai kejadian dan keinginan hidup setiap manusia yang diciptakan sama ada ia beragama atau tidak beragama berkehendakkan damai menjadi fitrah mereka.
Budaya damai bukanlah sesuatu yang boleh muncul atau secara asal ia terbentuk dalam diri dan jiwa manusia. Budaya damai terlakar dalam kehidupan mereka melalui proses kehidupan berpanjangan. Malah ia memerlukan kesungguhan dan kejituan tekad untuk dilakukan. Tanpa ada tekad yang kuat pastinya budaya damai tidak dapat dibentuk dan budaya damai yang sedia akan meluntur dan hilang. Akhirnya, berlakulah keberantakan antara kaum atau masyarakat. Inilah yang berlaku pada hari ini, kejatuhan, kemunduran sesuatu bangsa atau kaum kesan dari ketidaksanggupan mereka untuk mencipta budaya damai dalam kehidupan. Kalaupun wujud keinginan untuk membina budaya damai, namun mereka tidak mampu untuk mengawal selia “jiwa dan perasaan” akhirnya mereka kecundang kesan dari tuntutan “jiwa dan perasaan” yang bertentangan dengan budaya damai.
Persoalannya bagaimana untuk menyubur dan membina hidup bersama dalam budaya damai boleh dilakukan. Banyak nilai yang mesti disemai dalam pemikiran dan jiwa setiap insan dalam merefleksikan budaya tersebut dalam kehidupan. Antara perkara yang menjadi asas kepada penyuburan budaya damai adalah;
- Menghargai hidup dan hak asasi manusia lain. Setiap orang mempunyai nilai kehidupan sendiri yang kadang-kadang berbeza dengan orang lain. Mereka berhak mengamal dan mempraktiskan nilai kemenjadian diri mereka sendiri. Perbezaan ini memberi konotasi yang memprihalkan keindahan dan kemuliaan kehidupan seseorang individu dengan individu yang lain. Setiap orang ada kelemahan dan kekurangan atau kekuatan dan kehebatan. Tidak ada manusia yang lahir serba sempurna pasti ada kekurangan. Kekurangan ini tidak bererti mereka tidak bermanfaat kepada orang lain, pastinya mereka ada kelebihan. Kalau dua perbezaan ini saling mengambil manfaat antara satu sama lain pasti ia akan menghasilkan sesuatu kekuatan dan kebaikan.
- Setiap individu dalam masyarakat ada keinginan tinggi untuk menolak semua bentuk kekerasan atau extremis dalam semua aspek sama ada aspek pemikiran, percakapan atau tindakan, kerana ia boleh merobek keharmonian hidup dalam masyarakat. Nilai egois dengan pandangan pendapat sendiri adalah suatu yang amat tidak selari dengan budaya hidup bersama. Nilai keakuran pendapat sendiri betul tetapi mungkin ada salahnya sedangkan pendapat orang lain salah tetapi mungkin ada betulnya harus menjadi tata nilai dalam budaya hidup bermasyarakat. Serta individu atau masyarakat yang mempunyai komitmen atau berusaha bersungguh-sungguh mencegah sebarang bentuk konflik dalam masyarakat. Kefanatikan dengan idea sendiri harus dibersih dalam pemikiran setiap individu kerana ia boleh merencat jalur kerancakan membina kekuatan hidup bersama.
- Hidup Bersama dalam budaya damai akan dapat dilahirkan apabila semua pihak mempunyai kesungguhan untuk memenuhi keperluan semua pihak. Mereka tidak akan hidup secara individualistik yang hanya memikirkan untuk kepentingan diri sendiri tanpa memikirkan untuk orang lain. Tanggapan yang melihat apa yang mereka perolehi adalah usaha mereka sendiri tanpa sentuhan dan penglibatan orang lain, adalah sesuatu yang tidak tepat dan ia boleh mempengaruhi penjarakan budaya hidup bersama. Kerana setiap individu dalam masyarakat mempunyai pengaruh dan peranan masing-masing. Seorang peniaga yang berjaya tidak akan berjaya sekiranya tidak ada pembeli, penanam sayuran yang berjaya tidak akan memperolehi kejayaannya dalam hidup sekiranya tidak ada peraih atau peniaga untuk memperdagangkan hasilnya. Ini bermakna setiap entiti dalam masyarakat saling besilang peranan dalam membangunkan segmen dalam masyarakat. Kerana itu nilai kesungguhan untuk memenuhi keperluan orang lain adalah intisari yang perlu ada dalam melahirkan hidup bersama dalam budaya damai.
- Manusia dilahirkan ke alam maya ini atas fitrah semula jadi yang telah ditentukan oleh pencipta. Sama ada mereka lahir dalam entiti lelaki atau perempuan bukan atas kehendak mereka yang lahir itu. Kelelakian atau keperempuanan mereka terjelma mengikut ketentuan yang telah ditetapkan, kerana itu menghargai nilai antara satu sama lain sama ada lelaki atau perempuan adalah dasar yang tidak boleh dikesampingkan dalam melakar nilai budaya hidup bersama. Perbezaan entiti ini tidak boleh mempengaruhi dalam menentukan hukum dan peraturan kehidupan bermasyarakat. Demikian juga perkara yang berkaitan dengan bangsa dan agama tidak boleh dijadikan kayu ukur dalam penentuan nilai hidup atau mencorakkan perbezaan hidup bermasyarakat. Bangsa dan agama lahir berpaksikan kepada keturunan kerana itu untuk membina hidup bersama dalam budaya damai bangsa dan agama tidak wajar dijadikan alasan untuk membezakan untuk kita hidup dalam keadaan damai dan harmoni kerana ia bukan kehendak individu. Melainkan nilai beragama ia boleh beralih dan berganti setelah mereka mempunyai kedewasaan dari aspek akal dan perasaan. Namun perbezaan agama atau kepercayaan boleh dijadikan alasan untuk tidak berusaha membantu antara satu sama lain kerana nilai kemanusiaan tidak membeza antara jantina, bangsa dan agama.
- Hidup bersama terjelma apabila kebebasan menjadi teras dalam kehidupan bermasyarakat. Semua pihak harus diberi kebebasan untuk melaksana tanggungjawab, memberi pandangan dan mendapat maklumat. Ketiga-tiga elemen itu menjadi hak mutlak manusia yang tidak boleh ditarik atau disekat, kerana segmen tersebut sebagai suatu pengiktirafan manusia sebagai manusia dan makhlok yang dicipta sebaik-baik kejadian yang mempunyai akal budi dan citarasa tersendiri. Sekalipun manusia punya kebebasan semutlaknya, namun kebebasan itu punya keterbatasan dan peraturan yang wajar dipatuhi. Kerana kebebasan yang tidak punya keterbatasan sudah pasti ia boleh menimbulkan keberantakan dan ketidak harmonian hidup bermasyarakat, seterusnya boleh mengaggalkan untuk membina hidup Bersama dalam budaya damai. Kerana itu semua pihak wajar memporsisikan jiwa dan pemikiran mereka untuk sentiasa menghormati prinsip kebebasan dalam Batasan tertentu kepada semua pihak tanpa mengenal batas bangsa dan agama.
- Manusia dicipta dalam kepelbagaian keinginan dan kehendak, keupayaan dan kemampunan. Membina kehidupan bersama perlu kepada dasar keadilan yang jelas tanpa mengira agama dan bangsa. Nilai toleransi yang tinggi tanpa batasan keturunan dan kepercayaan. Kekukuhan kerjasama dalam kepelbagaian budaya, etnik dan keyakinan adalah teras yang tidak diboleh dikesampingkan dalam memperkukuh nilai hidup bersama. Tanpa nilai tersebut mana mungkin nilai hidup bersama dapat diwujudkan, sekalipun setiap insan dilahirkan berkeinginan ke arah itu, sebagaimana yang sering diungkap “anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah dan kedua ibu-bapa yang akan mencorakkannya”, namun sekian kalinya nilai persekitaran boleh mempengaruhi corak dan budaya seseorang, kerana itu situasi budaya hidup bersama tidak tidak boleh terbentuk secara semula jadi, ia harus dipupuk dan diasuh sejak mula manusia itu dilahirkan sehingga ia mendarah daging yang tidak mungkin dapat dipisahkan.
- Dialog, diskusi dan berbincang menjadi teras dalam mewujudkan budaya hidup bersama. Perbincangan dan penglibatan semua pihak ke arah melaksana satu-satu tindakan menjadi neraca perimbang kepada kesediaan masyarakat untuk menerima dan mengadaptasi idea dan tatanilai orang lain. salah satu sifat manusia kesukaran mereka untuk menerima nilai budaya orang lain untuk dicernakan dalam kehidupan mereka seharian. Kesukaran penerimaan ini sedikit sebanyak akan boleh diubah sekiranya berlaku perbincangan antara satu sama lain. Manusia tidak wajar untuk dipaksa menerima sesuatu perkara tanpa kerelaan dan ketelusan nilai budi. Pemaksaan menerima perkara yang mereka tidak suka atau perkara yang tidak mampu untuk dilaksanakan akan memberi kerencatan kepada pembinaan budaya hidup bersama. Manusia mempunyai perbezaan dalam pelbagai aspek, kadang kala perbezaan itu akan mencetuskan perselisihan faham, namun perselisihan itu akan dapat dikurang atau ditiadakan sekiranya berlaku perbincangan dan mencari titik pertemuan sehingga membuahkan kata sepakat dalam pelbagai segmen masyarakat pasti nilai budaya hidup bersama itu dapat diterjemahkan dalam kehidupan mereka.
YB Datuk Dr Hasan bin Bahrom,
Ahli Lembaga Pengarah UNISEL.