Baca kupasan daripada Dr. Hasan Bahrom berkaitan pelbagai demensi isu-isu dalam kehidupan.
- Pada lazimnya setiap manusia yang hidup di muka bumi ini punya keinginan untuk hidup bersama, bermasyarakat atau berkomuniti iaitu kumpulan orang yang tinggal di sesuatu negara atau daerah atau masyarakat. Manusia tidak akan hidup dengan selesa dan gembira kalau mereka hidup berseorangan. Manusia memerlukan antara satu sama lain, manusia tidak bersedia untuk hidup keseorangan. Justeru itu, keperluan manusia dengan manusia lain adalah nilai semula jadi yang tidak boleh diketepikan. Tanpa hubungan antara manusia dengan manusia lain, jaringan pembangunan dan kemajuan tidak mungkin dapat dilakukan atau tidak mungkin akan berlaku. Apa yang berlaku pada persekitaran kita pada hari ini adalah hasil daripada hubungan komuniti manusia yang saling membantu dan berinteraksi antara satu sama lain.
- Sekalipun manusia sentiasa ingin berinteraksi antara satu sama lain, ianya wajar diurus kendali dengan baik dan disusun atur dengan sempurna, agar interaksi antara mereka sentiasa aman dalam tatakelola dengan nilai baik dan beradab. Sekiranya tidak diurus dengan tatakelola yang baik, sejarah telah membuktikan bagaimana komuniti ini berkembang dan membesar akan pasti menimbulkan kepelbagaian masalah dan pertembungan kehidupan berkomuniti di sesuatu tempat. Mengapa ini berlaku? sedangkan manusia berkeinginan untuk bermasyarakat, pada relatifnya mereka akan membentuk komuniti yang kuat? dan Allah SWT menjadikan manusia sebaik-baik kejadian dalam erti kata lain amat berbeza dengan makhluk yang lain, mengapa terjadinya keretakan hubungan hidup antara komuniti? Sesungguhnya manusia dijadikan berbeza antara satu sama lain dari aspek bentuk fizikal, daya fikir, sifat, kecenderungan dan kemahuan. Masing-masing individu yang hidup dalam komuniti itu berbeza dan pelbagai keinginan dan kemahuannya, pelbagai budaya dan kefahaman, keyakinan dan kepercayaan. Mereka juga berbeza dari aspek kemampuan dan keupayaan. Mengurus kepelbagaian inilah bukanlah sesuatu yang mudah ianya memerlukan nilai kebijaksanaan dan ketelitian yang mendalam agar kepelbagaian ini dapat disusun atur dengan baik sehingga menjadi satu jalinan yang rapi, indah dan kukuh.
- Membangun komuniti adalah tuntutan dalam kefahaman beragama. Proses pertama selepas penghijrahan Rasulullah SAW ke Yathrib (Madinah) adalah membentuk komuniti Muslim dengan mempersaudarakan kelompok Muhajirin dan Ansar kemudian menyatukan suku kaum yang berada di Madinah dengan membentuk satu perjanjian dasar bernegara yang terkenal dengan Sahifah Madinah. Antara tujuan Rasulullah SAW merangka dasar tersebut untuk semua kaum dapat berpatisipasi dalam pembangunan, hidup yang harmoni dan damai dalam lingkungan daerah mereka tinggal. Pembangunan komuniti adalah usaha untuk meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan serta kualiti hidup komuniti setempat. Kejayaan sesuatu pembangunan komuniti banyak bergantung kepada penyertaan atau penglibatan komuniti itu sendiri, di samping pendekatan-pendekatan sesuai yang boleh dipraktikkan oleh pengamal-pengamal pembangunan komuniti.
- Beberapa elemen penting yang wajar dibina dalam kita membangun sesuatu komuniti agar ianya dapat membina kekuatan dan kukuh. Antaranya setiap individu dalam komuniti hendaklah mempunyai nilai saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Tanpa ada nilai saling menghormati pastinya kekuatan hidup bermasyarakat tidak mungkin dapat dibentuk dengan baik. Kita harus faham setiap manusia mempunyai nilai dan identiti sendiri tanpa kita melihat kepelbagaian identiti ini menyebabkan kita tidak bersedia untuk saling menghormati. Kita tidak boleh memaksa orang lain mengikut identiti orang lain kerana setiap individu itu dicipta secara berbeza. Kerana itu setiap individu dalam komuniti harus menghormati perbezaan ini agar tidak timbul pergeseran perasaan antara satu sama lain.
- Kedua adalah elemen kerjasama, saling membantu membentuk kebaikan. Hidup bermasyarakat wajar ada nilai tersebut. Bekerjasama dalam melaksana kebaikan adalah tuntutan dalam merealisasikan ajaran beragama. Tanpa ada kerjasama tidak akan dapat menyelesaikan masalah sekalipun masalah yang hendak diselesaikan itu kecil atau sedikit. Kemuafakatan antara satu sama lain dalam hidup berkomuniti menjadi teras kepada kelestarian sesuatu perkara yang hendak dilaksanakan. Apa ertinya hidup bermasyarakat tanpa ada nilai saling membantu. Sifat manusia yang dicipta oleh Allah SWT tidak sempurna dan serba kekurangan memberi tuntutan bahawa setiap manusia memerlukan orang lain untuk menyempurnakan kehendak dan kemahuan mereka. Mereka tidak boleh mencapai cita-cita mereka tanpa bantuan atau pertolongan dari orang lain. Kerana itu, kehidupan dalam alam maya ini ada dalam kalangan manusia itu yang cerdik dan pandai, kaya dan berharta, kuat dan gagah dan ada individu dalam komuniti itu berada dalam lingkungan sebaliknya. Kerana itu, nilai saling membantu amat realistik untuk dilaksanakan dalam kehidupan berkomuniti.
- Nilai tolak ansur dan saling bersedia untuk mengadaptasi nilai orang lain adalah sebahagian nilai mereka dalam komuniti, pasti ianya akan dapat membentuk komuniti yang hebat dan tinggi nilai pembangunannya. Walaupun perkara ini amat sukar untuk dilaksana dan dilakukan namun kewajaran nilai ini wujud dalam hidup berkomuniti adalah amat penting untuk dicerakinkan. Tanpa ada nilai tolak ansur dan menerima hakikat bahawa setiap orang mempunyai nilai tersendiri sudah pasti ianya sukar untuk membentuk kekompakkan sesebuah komuniti. Kita harus bersedia menerima pandangan dan pendapat orang lain sekalipun pendapat dan pandangan mereka berbeza dengan pandangan kita. Perbezaan pandangan bukanlah bermakna mereka tidak suka dengan apa yang kita ketengahkan, wujudnya perbezaan pandangan itu adalah sebahagian daripada elemen berkomuniti. Adalah amat janggal kalau ada dikalangan individu dalam komuniti tersebut beranggapan bahawa hidup berkomuniti tanpa ada perbezaan pandangan. Manusia dicipta mempunyai jiwa, perasaan dan minda yang berbeza antara satu sama lain, wujudnya perbezaan bermakna disitulah memperihalkan keunikan ciptaan manusia. Cuma manusia harus mampu mengolah dan mengurus perbezaan itu dengan baik dan harmoni untuk membina kekuatan agar ia terdorong melakukan perkara yang baik-baik.
- Aspek yang tidak kurang pentingnya untuk dilihat dalam membina kekuatan pembangunan komuniti adalah sifat atau nilai ketelusan, amanah dan berintegriti yang menjadi teras kepada keyakinan dan kepercayaan orang ramai kepada organisasi atau individu yang dipertanggungjawab. Kejujuran dalam melaksana tanggungjawab dan memikul Amanah amat penting dititikberatkan atau diambil kira kerana ia memberi ruang untuk orang lain yang terlibat dalam aktiviti dilaksanakan dipercayai. Tanpa ada sifat jujur akan memberi kesan kepada kesediaan komuniti untuk terlibat sama dalam setiap program yang hendak dilakukan. Kerana penglibatan komuniti dalam sesuatu aktiviti dan tindakan wajar disertai dengan kejujuran yang boleh dipertahankan. Nilai kejujuran dan integriti amat diperlukan, bagi membina kepercayaan komuniti bagi merealisasikan tujuan yang disepakati bersama. Tanpa kejujuran tidak mungkin untuk komuniti dapat bekerjasama dalam menterjemahkan tindakan itu suatu kegiatan, kerana wujudnya keraguan dan saling tidak mempercayai sesama anggota.
- Untuk membangun komuniti aspek yang perlu diambil kira, dimana setiap kerja atau tindakan yang hendak dilakukan mestilah diputuskan secara bersama semua pihak. Perkara ini amat penting dan dasar dalam kerangka membina kekuatan politik baru. Seandainya tidak terdapat kata sepakat dalam menafsir sesuatu masalah, ini bermakna rangka pembinaan atau kewujudan sesuatu perkara amat sukar untuk disertai oleh komuniti. Kerana itu perbincangan demi perbincangan perlu dilakukan untuk mencari kata sepakat adalah penting, kerana setiap tindakan yang hendak dilaksanakan mestilah diputuskan secara kumpulan atau jamaah. Membuat keputusan yang dilakukan secara ramai adalah lebih baik dari membuat keputusan secara individu. Bukan bermakna setiap individu itu tidak boleh membuat keputusan, apa yang lebih penting adalah keputusan secara jamaah itu adalah lebih utama dan penting daripada keputusan yang dilakukan secara berseorangan.
YB Datuk Dr Hasan bin Bahrom,
Ahli Lembaga Pengarah UNISEL.