Pemimpin Budiman mempunyai tingkah laku di mana mereka sentiasa menjaganya secara jujur dan baik; baik ketika mana mereka melihat sesuatu perkara atau mendapat berita yang meragukan dan boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri, bangsa dan negara.
Demikian juga ketika mereka mendengar dan mendapat sesuatu maklumat, sama ada maklumat itu benar atau tidak semuanya diambil kira dan diselidiki terlebih dahulu agar keputusan yang hendak dilakukan tidak akan memberi kemudaratan kepada semua pihak.
Sentiasa menjadikan kebenaran sebagai dasar pendirian dalam kehidupannya, mereka tidak akan mencari jalan mudah untuk mendapatkan sesuatu tanpa ada batas kebenaran untuk mencapai sesuatu yang dikehendaki, apa jua tindakan, perbuatan dan percakapan yang dilakukan bertitik tolak untuk mendapatkan kebenaran.
Kerana itu mereka menjadikan moral sebagai dasar dan kayu ukur dalam memastikan perbuatannya sentiasa mengikut perkara yang betul dan dibenarkan.
Mereka juga seorang pemimpin yang mempunyai budi pekerti yang elok, seorang yang bijaksana dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab, mereka tahu apa yang boleh dan tidak boleh dilaksana, mereka juga tahu untuk mengagihkan tanggungjawab mengikut keupayaan dan kemampuan orang yang hendak melaksana tanggungjawab tersebut.
Pemimpin Budiman tidak akan melaksanakan tugas secara tergesa-gesa tanpa melihat persekitaran yang disekelilingnya. Mereka juga seorang yang mempunyai akal yang jernih, bebas daripada memikirkan perkara yang negatif, kerana itu mereka mempunyai daya fikir yang panjang dan mendalam.
Dalam memastikan perhubungan dalam masyarakat senantiasa baik dan harmoni, Pemimpin Budiman akan mengambil langkah sentiasa mengalah dalam pergaulan, dan selalu berusaha menyempurnakan diri dengan perbuatan yang dapat dipercayai.
Dia akan risau apabila tidak memiliki percakapan, tetapi tidak risau apabila tidak ada orang yang mahu mengenalinya. Diapun tidak pernah risau kalau sesudah mati, namanya tidak dikenang oleh orang lagi. Dia mahu mengingat dan mendorong dirinya untuk sentiasa melakukan kebajikan, dalam masa yang sama mereka tidak bersedia untuk berebut dengan orang lain dalam hal-hal yang berkaitan dengan kebajikan.
Pemimpin Budiman akan sentiasa ingin berkumpul dan bersama-sama untuk berbicara dan melaksanakan kebajikan, dalam masa yang sama mereka tidak bersedia membentuk satu kumpulan atau komplot untuk tujuan persaingan dalam mencapai cita-cita.
Mereka juga dapat mengendali dan mengawal hawa nafsu keinginan tidak baik atau melakukan perkara yang boleh mendatangkan keaiban diri, kerendahan rohani dan kekecamukan moral.
DATUK DR. HASAN BAHROM