SelangorToday

SUMBANGAN TUNAI RAHMAH BANTU PERSIAPAN AIDILADHA – SALAHUDDIN

Rata-rata rakyat Malaysia daripada golongan B40 meluahkan rasa syukur dan lega apabila bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) fasa tiga yang membabitkan peruntukan lebih RM2 bilion mula disalurkan hari ini kepada individu yang layak.

Pemberian itu telah dipercepatkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mengambil kira sambutan Hari Raya Aidiladha Khamis ini berbanding perancangan awal pada Julai.

Menurut data Kementerian Kewangan (MOF) lebih lapan juta golongan B40 bakal menerima STR fasa tiga yang disalurkan secara berperingkat dan penerima akan menerima antara RM100 hingga RM1,300 mengikut kelayakan masing-masing.

Suri rumah Nordina Mariana Ismail, 32, yang menetap di Petaling Jaya berkata pihaknya lega apabila pemberian STR itu diawalkan kerana wang tunai berkenaan akan digunakan sebagai tambang untuk pulang ke Kelantan bagi menyambut Aidiladha.

“Alhamdulillah, pagi tadi ada semak dalam sistem tertera permohonan telah lulus dengan bantuan keseluruhan RM2,000 dan kali ini pada Fasa 3 akan terima RM600, cuma setakat ini masih belum masuk ke dalam akaun sahaja.

“Dengan wang ini boleh balik kampung di Kelantan dengan anggaran kos minyak dan tol RM400, selebihnya untuk beli barangan keperluan dapur bagi persiapan hari raya nanti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, pembuat kuih kecil-kecilan Masniza Karia, 41, berkata wang tunai yang diterima itu akan dijadikan modal untuk membeli barangan keperluan berniaga dan perbelanjaan anak-anaknya yang masih bersekolah.

“Walaupun ramai kawan-kawan menggunakan sumbangan itu untuk persiapan hari raya, tetapi tidak bagi saya kerana sambutan Hari Raya Aidiladha tidaklah disambut meriah seperti Aidilfitri dan hanya diraikan secara sederhana sahaja.

“Wang ini lebih dimanfaatkan untuk modal berniaga dan pengurusan sekolah serta barangan dapur untuk dua atau tiga bulan ini,” katanya yang menerima bantuan RM600.

Penerima yang mempunyai akaun bank, bayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank hari ini hingga 5 Julai manakala penerima yang tiada akaun bank termasuk di Sabah dan Sarawak, kaedah bayaran adalah secara pembayaran tunai menerusi cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) juga mulai hari ini.

Pada 22 Jun lalu MOF memaklumkan STR fasa pertama dan kedua telah disalurkan, masing-masing pada Januari dan April lepas.

Ketiga-tiga fasa STR itu melibatkan peruntukan pembayaran berjumlah RM5 bilion dan pembayaran fasa keempat STR dijangka November ini.

Exit mobile version