Bayaran fasa dua Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan dikreditkan kepada akaun penerima pada pertengahan Ramadan atau awal April.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembayaran fasa dua itu perlu disegerakan supaya dapat meringankan beban penerima.
“Fasa satu STR telah pun dikeluarkan dan disampaikan kepada rakyat sebanyak RM1.6 bilion pada Januari.
“Saya sudah beritahu kepada Kementerian Kewangan dan agensi terlibat supaya ringankan mereka dengan bantuan fasa dua harus diselesaikan pada pertengahan Ramadan atau awal April, dua minggu sebelum raya untuk golongan B40,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan wakil rakyat Sungai Petani Dr Mohammed Taufiq Johari berkenaan penambahbaikan STR berbanding bantuan sebelum ini di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Anwar yang juga menteri kewangan memaklumkan sebanyak 320,103 permohonan baharu diterima untuk bantuan kepada golongan B40 itu.
“Jumlah yang peroleh STR seramai 8.7 juta rakyat berjumlah RM8 bilion dan masih ada lagi membuat permohonan baharu. Sehingga 13 Mac, 320,103 orang berdaftar dan diterima.
“Pada yang layak, saya mohon disegerakan sebelum 31 Mac supaya dapat keluarkan dana pada Ramadan,” katanya.
Ketika membentang Belanjawan 2023, Anwar memaklumkan program STR dikemaskini yang mana setiap isi rumah berpendapatan bawah RM2,500 layak menerima sumbangan tunai.
Kerajaan juga memberi sumbangan tambahan RM600 kepada isi rumah penerima STR termiskin mengikut data e-Kasih yang disalurkan dalam bentuk bakul makanan dan baucar barangan asas.