The Global Sumud Flotilla sets sail from Barcelona towards Gaza, in Barcelona, Spain, on August 31, 2025. Hundreds gather at Moll de la Fusta to bid farewell to the flotilla, with dozens of boats and thousands of supporters wearing kufiyas (Palestinian scarves) and waving flags. (Photo by Albert Llop/NurPhoto) (Photo by Albert Llop / NurPhoto via AFP)
Kuala Lumpur, 2025 – Penyertaan 34 rakyat Malaysia dalam Sumud Flotila adalah detik bersejarah yang memperlihatkan keberanian dan keteguhan semangat solidariti. Bersama lebih 40 kapal dari pelbagai saiz dan negara, mereka berlayar membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, bumi yang sekian lama terbelenggu oleh sekatan kejam.
Gaza dan Sumud: Simbol Ketabahan
Nama flotila ini Sumud berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud teguh, sabar, dan tidak menyerah. Inilah roh perjuangan rakyat Gaza yang bertahan walaupun dikepung, serangan bom dan sekatan makanan bahkan tiada lagi tempat yang dianggap tempat berteduh dari ancaman Regim.
Kehadiran rakyat Malaysia serta Antarabangsa dalam misi ini menjadi gema semangat yang sama bahawa dunia tidak pernah melupakan mereka sama sekali.
Dalam Surah Al Nisa : 59 Allah SWT mengingatkan ummah untuk membela saudara yang beriman yang ditindas secara zalim hinggalah kezaliman dapat dihalang. Ini sesuai dengan semangat kemanusiaan yang diperjuangkan oleh PBB.

Misi Kemanusiaan, Amanah Sejagat
Sumud Flotila bukan misi politik, tetapi misi nurani dari jiwa kemanusiaan paling tinggi. Ia membawa makanan, ubat-ubatan, dan keperluan asas, tetapi yang lebih besar ialah mesej solidariti iaitu Palestin tidak sendirian.
Rasulullah SAW bersabda:
“Perumpamaan orang-orang mukmin dalam kasih sayang, belas kasihan, dan simpati mereka adalah seperti satu tubuh. Apabila salah satu anggota sakit, seluruh tubuh akan turut merasa sakit dengan berjaga malam dan demam.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadith ini menjelaskan betapa penderitaan rakyat Gaza adalah juga penderitaan kita.

Malaysia dan Flotila Terdahulu
Ini bukan kali pertama Malaysia terlibat dalam misi flotila ke Gaza. Pada tahun 2010, dunia dikejutkan dengan serangan tentera Zionis terhadap Mavi Marmara, kapal utama dalam Freedom Flotilla, yang mengorbankan beberapa aktivis antarabangsa. Malaysia turut sama menghantar wakil ketika itu, ditahan dan dibiarkan kehausan dan peristiwa bersejarah itu menyalakan kesedaran global terhadap kezaliman sekatan laut Israel.
Sejak itu, Malaysia konsisten bersama flotila kemanusiaan, termasuk Freedom Flotilla Coalition, dan kini dengan Sumud Flotila, yang menggabungkan puluhan kapal serta ratusan aktivis dari pelbagai negara.

Keberanian Sukarelawan Malaysia
Menyertai flotila bukanlah misi mudah. Ancaman kapal perang Israel, tekanan kuasa besar, serta risiko penahanan adalah nyata. Namun, 34 rakyat Malaysia ini memilih untuk berlayar demi menunaikan amanah kemanusiaan. Mereka membawa harapan seluruh rakyat Malaysia yang sejak dahulu lantang menyokong Palestin. Mereka adalah simbol kepahlawanan rakyat Malaysia demi membantu insan yang memerlukan.
Solidariti Rakyat Malaysia
Di tanah air, doa, solat hajat, dan kutipan dana dijalankan untuk menyokong misi ini. Ia bukan sekadar usaha 34 sukarelawan, tetapi suara seluruh rakyat Malaysia yang menolak kezaliman dan mendukung perjuangan Palestin.
Penutup
Penyertaan Malaysia dalam Sumud Flotila adalah lambang kasih sayang, keberanian, dan prinsip kemanusiaan. Semoga Allah memberi keselamatan kepada semua peserta, melancarkan perjalanan mereka, dan menerima usaha ini sebagai amal soleh.
Firman Allah SWT:
“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan.”
(Surah al-Mā’idah 5:2)
Biar laut menjadi penghalang, biar kuasa besar memberi tekanan semangat kemanusiaan tidak boleh dibelenggu. Malaysia bersama Palestin, sampai bila-bila.
Shamsul Ma’arif Ismail
Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat Amanah Nasional