SelangorToday

SYARIKAT PERINTIS DRT DILANTIK ADA PENGALAMAN, KELULUSAN APAD, KATA EXCO SELANGOR

Dua syarikat dilantik sebagai perintis projek ‘Demand Responsive Transit’ (DRT) mempunyai kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) selain berpengalaman dalam bidang itu, kata Exco Pelaburan, Perdagangan, dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han.

Ng berkata, Jawatankuasa Pelaksanaan Projek Rintis DRT melantik Asia Mobility Technologies Sdn Bhd dan Badan Bas Coach Sdn Bhd yang mempunyai kelulusan Apad bagi menepati piawaian pihak berwajib agar keselamatan pengguna perkhidmatan DRT terjamin.

“Susulan kepada itu, ‘Letter of Intent’ telah dikemukakan kepada syarikat pengendali perkhidmatan pada 15 Jun 2023 manakala surat pelantikan dikeluarkan pada 20 Sept 2023,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, Apad meluluskan penyertaan proses pengujian ‘Proof of Concept’ (POC) perkhidmatan ‘Bus On Demand’ bagi Asia Mobility (TrekRides) pada 22 Dis 2022 dan Badan Bas pada 24 Feb 2023.

Ng berkata, jawatankuasa pelaksanaan projek menetapkan zon pengoperasian perkhidmatan DRT Selangor Mobility tertumpu di kawasan padat yang menghubungkan pengangkutan awam utama seperti LRT, MRT dan komuter, serta laluan sempit yang tidak boleh dilalui bas.

“Sepanjang tempoh percubaan fasa pertama projek rintis DRT, kedua-dua syarikat telah mula beroperasi menggunakan empat van di lapan zon di Selangor,” katanya.

Asia Mobility akan beroperasi di sekitar Ampang, Hulu Kelang, Puchong dan UPM-Serdang, manakala Badan Bas beroperasi di Subang Jaya, Petaling Jaya Utara, Petaling Jaya Selatan dan Sungai Buloh.

Peruntukan daripada kerajaan Selangor turut digunakan untuk membolehkan pengguna membayar kadar tetap RM2 bagi setiap perjalanan.

Sistem DRT dibangunkan bertujuan menggantikan kemudahan Bas Smart Selangor di kawasan berkepadatan tinggi dan laluan sempit bagi meningkatkan penggunaan pengangkutan awam utama seperti tren dan bas.

Projek Rintis DRT ini dilaksanakan oleh Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI) dan dikawal selia oleh Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (Sidec) selaku syarikat milikan penuh MBI. –FMT

Exit mobile version