Pengasas dan Presiden Malaysian United Democratic Alliance (MUDA), Syed Saddiq telah mengumumkan bahawa beliau dan kepimpinan MUDA di semua peringkat menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri dala Pilihan Raya Umum Kali ini. Pengumuman yang dilakukan oleh Pengarah Pilihan Raya MUDA, Amira Aisyah dalam satu sidang media yang turut dihadiri oleh Syed Saddiq itu jelas MUDA akan bekerjasama dengan HARAPAN dalam PRU ke-15. Tambah Amira, MUDA menerima cadangan yang telah dikemukakan oleh HARAPAN untuk merintis jalan kerjasama.
Tambah Amira, MUDA tidak akan meletakkan calon mereka di kerusi yang akan ditandingi oleh HARAPAN, manakala MUDA akan meletakkan calon di kerusi yang telah diperuntukkan oleh HARAPAN kepada MUDA. Hal ini akan mengelakkan sebarang pertindihan kerusi antara MUDA dan HARAPAN. Dengan itu, sebarang salah faham dan krisis semasa PRU mampu dielakkan. Sebelum ini, MUDA memohon untuk menyertai HARAPAN dengan hujah bahawa HARAPAN adalah gabungan yang paling serasi dengan MUDA serta mempunyai arah tuju jelas dan pemimpin yang berkualiti untuk menerajui negara.
Maka kerjasama MUDA dan HARAPAN ini berjaya disusun secara kerjasama politik. Meskipun hanya kerjasama politik, namun ini permulaan kearah kesatuan antara pemimpin yang berkualiti dan segar buat negara ini. MUDA juga turut mengumumkan kerusi yang ditandingi seperti Kepala Batas, Tangjung Karang dan Tanjung Piai. Rakyat umum bersedia menyatakan sokongan padu kepada Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu, Anthony Loke, Rafizi Ramli termasuk Syed Saddiq. – Selangor Today