Pelbagai acara menarik bakal menghiasi kalendar Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025) sempena sambutan Tahun Baharu Cina, kata EXCO Pelancongan.
Dato’ Ng Suee Lim berkata sambutan perayaan berkenaan mengetengahkan elemen seni kebudayaan bagi menarik kehadiran lebih ramai pelancong tempatan dan luar negara.
“Kita mahu tampilkan elemen kebudayaan untuk menjadi produk tarikan unik kepada pelancong. Kita mahu perkemas dan perkasakan lagi sektor pelancongan kita.
“Malah untuk perayaan lain seperti Aidilfitri pun kita akan buat dengan lebih meriah dan tampilkan kelainan sempena TMS2025,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyertai sesi perkongsian Selangor Festive Tourism: A Chinese New Year Experience bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin masyarakat dan pelajar di Setia Alam di sini.
Suee Lim menambah, Kerajaan Negeri berhasrat menaik taraf Lorong Gopeng, Klang sebagai lorong kebudayaan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), NGO dan swasta sempena Tahun Baharu Cina.
Selain itu, katanya, buat julung kalinya sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina peringkat negeri akan diadakan di Tokong Fo Guang Shan Dong Zen, Jenjarom.
“Ini pertama kali kita anjurkan di lokasi warisan dan majlis berkenaan akan disempurnakan dengan kehadiran tetamu kehormat selain pengunjung pelbagai latar belakang,” katanya.
Baru-baru ini Kerajaan Negeri menerusi Tourism Selangor melancarkan kempen TMS2025 dengan slogan Selangor Kan Ada! selain memperkenalkan maskot rasmi Spark The Fireflies. – SelangorKini