 
                KUALA LUMPUR, 11 Julai – Cadangan Ketua Pembangkang untuk melantik Perdana Menteri Interim ketika Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bercuti dibidas sebagai tidak munasabah dan bercanggah dengan sistem Perlembagaan oleh peguam Zulqarnain Lukman.
Menurut Zulqarnain, istilah Perdana Menteri Interim hanya timbul dalam konteks luar biasa seperti sewaktu peletakan jawatan Perdana Menteri Ketujuh (PM7) yang kemudiannya dilantik semula oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri Interim, sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri Kelapan (PM8).
“Cadangan melantik Perdana Menteri Interim semasa PMX bercuti adalah pelik dan tidak masuk akal. PMX masih lagi Perdana Menteri walaupun bercuti, dan dalam sistem kita, tidak boleh ada dua Perdana Menteri dalam satu masa,” tegas beliau.

Zulqarnain juga membidas hujah Ketua Pembangkang yang mendakwa Perdana Menteri tidak layak menasihati Yang di-Pertuan Agong kerana terlibat dalam kes mahkamah yang sedang berjalan.
“Dakwaan ini tidak tepat. Sebarang nasihat kepada YDPA bukan dilakukan secara bersendirian oleh PM, tetapi selepas rundingan dengan Majlis Raja-Raja. Maka, di mana letaknya konflik yang disebut itu?” katanya.
Tambah beliau, jika benar wujud konflik kepentingan, pihak yang terlibat dalam kes tersebut boleh mengemukakan permohonan supaya hakim menarik diri (recuse), bukannya mempertikai keabsahan Perdana Menteri memberi nasihat kepada Agong.
Zulqarnain menyifatkan kenyataan media Ketua Pembangkang sebagai dibuat tanpa penelitian mendalam dan menyeru agar rujukan kepada pakar Perlembagaan dilakukan sebelum mengeluarkan cadangan sebegitu.
“Cadangan ini hanya menimbulkan kekeliruan awam. Ia mencerminkan betapa dangkalnya pemahaman terhadap sistem pemerintahan dan prinsip Perlembagaan. Sepatutnya, rujuk dahulu kepada ahli Perlembagaan agar kenyataan yang dikeluarkan berasas dan bertanggungjawab,” tambahnya.
Cadangan pelantikan PM Interim oleh Perikatan Nasional (PN) semasa PMX bercuti terus menerima kecaman, termasuk dari kalangan pengamal undang-undang yang melihatnya sebagai tidak berperlembagaan dan berniat politik semata-mata.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            