SHAH ALAM: Perbandingan kos sara hidup di Selangor dengan negeri-negeri lain adalah tidak wajar kerana tahap pendapatan dan kualiti hidup rakyat di negeri ini jauh lebih tinggi, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau menjelaskan bahawa walaupun harga barangan keperluan harian, khususnya makanan, didapati lebih tinggi di Selangor, penduduk masih mampu menanganinya berikutan pendapatan isi rumah serta taraf hidup yang lebih baik berbanding kebanyakan negeri lain.
“Jika dibandingkan, memang tidak dapat dinafikan harga barangan keperluan harian di Selangor lebih tinggi. Namun, kualiti hidup dan pendapatan isi rumah di negeri ini juga berada pada tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa program turun padang di pasar pagi Taman Melawati, Hulu Kelang, pada Sabtu.
Amirudin turut menegaskan bahawa faktor kos sara hidup perlu dilihat secara menyeluruh dan tidak boleh dinilai secara terasing tanpa mengambil kira tahap pendapatan serta kemudahan yang dinikmati oleh penduduk setempat.
Menurut laporan, Selangor merekodkan pendapatan median isi rumah sebanyak RM9,983 pada tahun 2022, jauh melebihi median nasional iaitu RM6,338. Data Jabatan Perangkaan Malaysia turut menunjukkan Selangor hanya berada di belakang Kuala Lumpur dan Putrajaya dari segi pendapatan median isi rumah.
Namun begitu, Selangor mencatatkan Indeks Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar tertinggi berdasarkan Petunjuk Kos Sara Hidup 2024 yang dikeluarkan baru-baru ini. Indeks tersebut digunakan bagi mengukur perbelanjaan minimum yang diperlukan untuk mengekalkan taraf hidup yang wajar, selain membolehkan perbandingan dibuat antara negeri, daerah dan ibu negeri.