SelangorToday

TAMBAH KERUSI DUN: UMNO GUSAR, TOHMAH PH GOYANG

UMNO tidak perlu gusar dengan usul penambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) jika mereka beranggapan bahawa ada penolakkan terhadap Pakatan Harapan dan rakyat beralih sokongan kepada Barisan Nasional. Pengarah Komunikasi PH Selangor merangkap Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor, Hj Azli Yusof menegaskan UMNO yang sebenarnya gusar dengan usul ini apabila mendakwa PH mula goyah dan bertindak menambah kerusi DUN. Hal ini kerana, jika rakyat telah beralih menyokong UMNO sekalipun, sama ada kerusi bertambah atau kekal, pastinya rakyat akan menyokong BN.

Ini menujukkan bahawa BN yang merasa bimbang dengan usul ini kerana Hj Azli yakin bahawa rakyat Selangor semakin bertambah celik dan sedar akan kejayaan PH mentadbir negeri Selangor. Menjawab dakwaan ADUN Sg Tawar BN bahawa PH bakal menambah hanya kerusi bandar sahaja agar PH boleh kekal menang dalam Pilihan Raya akan datang, bekas Setiausaha Politik Menteri Wilayah itu berkata, sebahagian besar DUN pinggir bandar juga akan melalui proses persempadanan semula.

Sementara itu, rakyat di luar bandar juga sudah mula sedar akan kemampuan dan kelebihan kerajaan PH. Malah rakyat di luar bandar boleh mengakses maklumat, membuat penilaian dan tidak mudah terpedaya dengan dakyah dan propaganda BN yang lapuk.

Apa yang lebih penting, Ketua AMANAH Shah Alam itu bertegas bahawa yang cadangan penambahan kerusi DUN yang diusahakan bertujuan memberikan khidmat lebih baik kepada rakyat kerana wujudnya perbezaan jumlah pengundi yang begitu besar di DUN-DUN tertentu seperti DUN Kinrara berbanding dengan DUN Sg Tawar.

Memetik kenyataan Menteri Besar, Hj Azli berkata langkah ini bagi mewujudkan keseimbangan dalam kalangan jumlah pengundi luar bandar dan bandar supaya masing-masing mendapat perkhidmatan lebih adil dan saksama.

UMNO dinasihatkan agar mempertimbangkan kebaikan dan keutamaan kepada rakyat dari terus menerus mempolitikkan usaha baik yang akan diusulkan oleh kerajaan PH.

Exit mobile version