SelangorToday

TAN CHENG HOE BAYANGKAN SELANGOR FC AKAN  MEROMBAK PEMAIN SEDIA ADA

Selangor FC akan  merombak pemain sedia ada untuk membentuk skuad mantap yang boleh menjadi pencabar kepada kejuaraan Liga Malaysia musim depan.

Walaupun musim 2023 Gergasi Merah Kuning gagal menjulang sebarang gelaran, namun dari satu sudut Selangor sudah berada di landasan sebenar untuk kembali ke zaman kegemilangan.

Jurulatih, Tan Cheng Hoe berkata, pada musim ini Selangor muncul pasukan kedua terbaik dalam kempen Liga Super dengan kali terakhir berada di kedudukan itu pada tahun 2014.

Bagi Cheng Hoe, kemungkinan besar pasukannya akan membuat rombakan untuk membentuk skuad lebih mantap bagi mencabar kejuaraan tempatan dan ACL2 musim depan.

Jelasnya, perkara itu adalah salah satu daripada perancangan musim depan dan beliau juga berharap persiapan pra musim 2024 akan berdepan kelab-kelab terkuat di Asia.

“Secara keseluruhan prestasi tahun ini membanggakan kerana kita sudah lama tidak berada di kedudukan kedua terbaik dalam liga.

“Tahun depan kita akan bersaing di ACL2 dan sudah pastinya untuk saya ada keperluan untuk menambah pemain tetapi semuanya akan dibincangkan dengan pihak pengurusan terutama daripada segi bajet.

“Selain itu, beraksi menentang kelab lebih kuat juga akan memberi kita gambaran untuk persediaan ke ACL2 nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Terdahulu, Selangor FC berjaya melunaskan dendam ke atas PDRM FC apabila melakar kemenangan 3-1 pada perlawanan terakhir Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, kelmarin. – UTUSAN

Exit mobile version