SelangorToday

Tanah Rizab Melayu Yang Diambil Akan Diganti Dengan Nilai & Keluasan Lebih Berbaloi – MB

SHAH ALAM, 7 JULAI – [DN Selangor] Kerajaan Negeri Selangor memberi jaminan bahawa setiap pengambilan Tanah Rizab Melayu (TRM) bagi tujuan pembangunan akan digantikan berdasarkan keluasan dan nilai hartanah, sebagai langkah memastikan kepentingan bumiputera terus terpelihara.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, dasar semasa kerajaan menetapkan bahawa TRM yang dibatalkan wartanya bagi projek strategik akan digantikan semula dengan tapak yang bersesuaian — kadangkala lebih luas berbanding keluasan asal — selaras dengan penilaian semasa.

“Dalam sesetengah kes, tapak gantian lebih besar daripada yang diambil. Contohnya, jika diambil empat ekar, kita ganti sehingga 4.5, enam atau tujuh ekar. Ini kerana pengiraan diambil kira berdasarkan nilai pasaran dan keperluan pembangunan semasa,” katanya ketika menjawab di sidang Dewan Negeri Selangor.

Beliau menegaskan bahawa pembatalan warta TRM hanya dilaksanakan untuk tujuan projek infrastruktur utama negara yang memberi manfaat kepada rakyat.

Antara projek yang terlibat termasuklah pembinaan Loji Rawatan Air Sungai Rasau, Lebuh Raya Pantai Barat (WCE) dan jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Pembatalan warta dibuat hanya apabila projek itu bersifat strategik dan mendesak. Sebagai contoh, pembatalan TRM di Sungai Way dibuat bagi membangunkan kawasan baharu yang memberi pulangan ekonomi serta guna tanah yang lebih efisien,” katanya.

Menurut Amirudin, sejak 2016, dasar kerajaan negeri menetapkan sebarang pengambilan TRM perlu disusuli dengan proses gantian secara serentak dengan pembatalan, bagi memastikan kesinambungan pemilikan tanah oleh bumiputera tidak terputus.

Exit mobile version