Hentian rehat dan rawat (R&R) Elmina Arah Selatan Shah Alam dinobatkan sebagai tandas terbersih bagi kategori konsesi lebuh raya(hentian rehat dan rawat) dalam Anugerah Toilet Of The Year Award 2023. Pengumuman senarai pemenang bagi pertandingan tandas tercantik itu diadakan di Kelab Golf Perkhidmatan Awam Bukit Kiara, Kuala Lumpur Isnin lalu. Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Nga Kor Ming berkata, pada tahun ini, sebanyak 345 penyertaan diterima bagi kategori industri hotel, pusat beli-belah, konsesi lebuh raya (hentian Rehat dan Rawat), stesen minyak serta restoran manakala bagi 2024, kategori sekolah dan pihak berkuasa tempatan akan dimasukkan. Beliau menambah bagi menggalakkan penyertaan pada 2024, anugerah itu akan diperluas kepada tujuh kategori berbanding lima ketika ini manakala hadiah wang tunai dinaikkan kepada RM20,000 berbanding RM10,000 tahun ini.
Selain R&R Elmina Arah Selatan Shah Alam, turut diumumkan sebagai pemenang edisi kali ini adalah The George Group Penang (kategori hotel), Toppen Shopping Mall Johor Bahru (pusat beli-belah), Petron Senai Johor (stesen minyak) dan Cawan Mu Ipoh Perak (restoran). Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu menambah inisiatif cetusan idea beliau sendiri itu, adalah sebagai langkah persiapan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2025. – SelangorToday