SelangorToday

TANGANI MASALAH PRASARANA, RANCANGAN MITIGASI BANJIR DI BATU 3 KEUTAMAAN DANIAL

Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga tekad mahu fokus menangani masalah infrastruktur dan perancangan mitigasi banjir di kawasan berkenaan.

Danial Al-Rashid Haron bercadang mahu bertemu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk berbincang perkara itu dalam masa terdekat.

“Meskipun sebagai wakil rakyat muka baharu, saya akan menggunakan pengalaman 15 tahun dalam bidang korporat strategik, politik dan ahli majlis MBSA untuk menyelesaikan beberapa perkara di DUN ini.

“Untuk jangka masa pendek ini saya akan berhubung dengan MBSA bagi mendapatkan penerangan mengenai masalah infrastruktur dan perancangan mitigasi banjir di DUN Batu Tiga,” katanya ketika dihubungi.

Dalam perkembangan sama, beliau bersyukur diberi mandat oleh rakyat untuk mentadbir kawasan itu dan tekad tidak akan mensia-siakan peluang diberi penduduk Batu Tiga.

“Insya-Allah, saya akan kerap turun padang untuk santuni penduduk kerana saya yakin kepimpinan bukan sahaja bermula dari atas tetapi mesti bermula dari sikap prihatin kepada keperluan rakyat,” katanya.

Danial Al-Rashid menang dengan majoriti 3,382 apabila memperoleh 29,064 undi, menewaskan dua pencabarnya Datuk Seri Rina Harun daripada Perikatan Nasional (PN) yang meraih 25,682 undi dan Cheda Razak daripada MUDA 1,908 undi.

Sebelum ini, DUN Batu Tiga antara kawasan terjejas banjir menyebabkan limpahan di kawasan perumahan penduduk dan beberapa bangunan ditenggelami air.

Exit mobile version