KUALA LUMPUR, — Ahli Parlimen Shah Alam, YB Azli Yusof, menggesa kerajaan memberi perhatian serius terhadap tapak INTEKMA Resort & Convention Centre milik UiTM yang terbiar sejak 2019, dengan mencadangkan ia dibangunkan semula sebagai Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) negara.
Dalam perbahasan Belanjawan MADANI 2026 bagi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Azli berkata tapak tersebut merupakan aset strategik yang tidak wajar terus dibiarkan tanpa guna. Beliau menyifatkan penutupan operasi INTIQMA yang sebelum ini diuruskan UiTM Holdings sebagai kerugian jika tidak dimanfaatkan untuk agenda penyelidikan negara.
“Tapak itu sudah lima tahun terbiar. Ini merugikan kerajaan. Ia mempunyai potensi besar sebagai pusat penyelidikan bertaraf tinggi,” tegasnya di Dewan Rakyat.
Beliau turut memberi perhatian terhadap peruntukan pembangunan UiTM sebanyak RM921.6 juta dalam Belanjawan 2026, sambil meminta KPT memperincikan peratusan belanja yang diagihkan kepada pembangunan kampus, kebajikan pelajar, penyelenggaraan asrama dan aspek keselamatan.
Azli menyatakan kekeliruan apabila pejabatnya masih menerima permohonan bantuan daripada pihak universiti walaupun UiTM menerima antara peruntukan terbesar dalam sektor pendidikan tinggi.

Dalam ucapannya, beliau turut mengulas peningkatan perbelanjaan mengurus UiTM daripada RM2.009 bilion kepada RM2.161 bilion, dan meminta penjelasan tentang elemen utama yang menyebabkan kenaikan tersebut — sama ada peningkatan kualiti pengajaran, langkah keselamatan baharu, digitalisasi, atau semata-mata kenaikan kos operasi.
Beliau mencadangkan UiTM dinaik taraf sebagai universiti penyelidikan, sejajar dengan jumlah pelajar pascasiswazah dan keupayaan penyelidikan yang semakin meningkat.
Mengulas peruntukan penyelidikan seperti Fundamental Research dan beasiswa berkaitan yang berjumlah lebih RM200 juta, Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional itu mencadangkan penubuhan dana khas untuk saintis muda bagi memupuk generasi penyelidik baharu.
Beliau juga menggesa beasiswa penyelidikan diperluaskan kepada bidang strategik masa depan termasuk kecerdasan buatan (AI), bioinformatik, komputasi kuantum, serta teknologi hijau.
Menutup perbahasan, Azli menegaskan bahawa belanjawan besar bukan jaminan kejayaan kecuali disertai keberhasilan, ketelusan dan penggunaan data yang kukuh.
“Belanjawan yang tepat dan terarah mampu mengubah masa depan pendidikan tinggi negara,” ujarnya.
Beliau kemudiannya menyatakan sokongan kepada Belanjawan MADANI 2026 Kementerian Pendidikan Tinggi.