 
                KUALA LUMPUR, 13 Ogos 2025 – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) terus mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya menyiapkan 31 projek rumah terbengkalai setakat 30 Jun 2025.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu, berkata pencapaian ini adalah hasil pemantauan ke atas 55 projek perumahan swasta dalam tempoh tersebut, merangkumi 34 projek pada 2024 dan 21 projek dari Januari hingga Jun 2025. Selain itu, tiga projek kembali berjalan lancar manakala 21 lagi menunjukkan kemajuan positif dan dijangka siap mengikut jadual.

Sejak TFST ditubuhkan pada 2023 hingga kini, sebanyak 1,171 projek perumahan swasta melibatkan 139,848 unit rumah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM113.55 bilion telah berjaya dipulihkan. Bagi tahun 2025 sahaja, 244 projek melibatkan 27,101 unit rumah bernilai RM21.07 bilion telah disiapkan.
Antara kejayaan terkini adalah pemulihan lima projek terbengkalai bernilai RM55.74 juta, termasuk Projek Taman Meru Makmur (Selangor), Taman Mega 1 (Terengganu), Pangsapuri Impian Meru (Selangor), Taman Desa Kempas Fasa 3 (Johor) dan Taman Megah Edora (Kelantan), yang kini memiliki Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

YB Datuk Hajah Aiman Athirah turut menekankan kejayaan pemulihan Projek Residensi Hektar Gombak, yang mendapat suntikan dana RM125 juta dan kini dibina semula oleh kontraktor baharu, Bina Permai Sdn. Bhd., dengan sasaran siap pada 2027.
Beliau menegaskan TFST akan terus menjadi platform penyelesaian bagi mencapai sasaran sifar projek terbengkalai menjelang 2030, selaras aspirasi Kerajaan MADANI menyediakan perumahan berkualiti untuk rakyat.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            