Taufan Al-Aqsa yang berlaku pada 7 Oktober tahun lalu hanyalah satu episod perjuangan rakyat Palestin dalam mempertahankan hak mereka daripada terus menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, penindasan yang dialami Palestin tidak bermula pada tahun lalu sebaliknya telah berlaku sejak 15 Mei 1948.
Menurutnya, An-Nakbah menjadi peristiwa hitam permulaan kepada penjajahan rejim Zionis Israel terhadap tanah milik rakyat Palestin.
“Hari ini, 7 Oktober 2024 genap setahun pembantaian rakyat Palestin oleh rejim Zionis dengan bermulanya Operasi Taufan Al-Aqsa tahun lalu. Ia menjadi salah satu daripada banyak pertempuran Palestin melawan penindasan selama puluhan tahun.
“Sejak itulah pembunuhan, pengusiran dan kekerasan telah berlangsung tanpa henti khususnya di wilayah Gaza dan Tebing Barat,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook pada Isnin.
Pada 7 Oktober 2023, Hamas isytihar serangan terbesar, bedil 5,000 peluru berpandu ke atas Israel susulan pencerobohan rejim Zionis itu di Palestin.
Ekoran itu, Israel melancarkan perang habis-habisan terhadap penduduk di Semenanjung Gaza sehingga membunuh lebih 41,500 orang dan mencederakan lebih 96,000 mangsa.
Walaupun Zionis terus menindas, Adly memaklumkan bahawa perjuangan rakyat Palestin tidak pernah pudar.“Solidariti terhadap Palestin tetap berkobar di seluruh penjuru dunia terutama di hati umat Islam, yang memandang pembebasan Palestin.
“Ia dilihat bukan hanya sebagai isu politik tetapi juga sebagai kewajipan moral dan agama. Bebas Palestin!” tegasnya. – Sinar Harian