Ahli Dewan Negeri Kawasan Seri Serdang, Abbas Adzmi mendakwa kenyataan PAS Selangor yang berkeyakinan untuk menawan Negeri Selangor disifatkan sebagai ‘mimpi di siang hari’. Kata Abbas, kenyataan tersebut dikeluarkan oleh pimpinan PAS Selangor dengan tujuan untuk mengekang kelunturan semangat dan daya juang ahli PAS yang telah mula menghidu kegagalan strategi PAS dalam berpolitik. Jelas beliau lagi, kenyataan demi kenyataan dikeluarkan untuk memastikan ahli PAS sentiasa bersemangat untuk menyokong dan menggerakkan PAS, apabila perjalanan politik PAS dilihat tepu akibat sasaran mereka untuk membentuk Kerajaan Negeri dan Pusat pasca PRN tahun lalu gagal.
Abbas yang juga Pengarah Pembangunan Sumber Manusia AMANAH Selangor turut berpendapat, hakikatnya PAS tidak mampu untuk membentuk kerajaan di Selangor dengan cara bersendirian. Sejarah telah membuktikan PAS menjadi kerajaan di Selangor dengan kerjasama DAP dan KEADILAN. Namun kini, kerjasama PAS yang dijalinkan bersama BERSATU menjadi satu masalah kepada PAS kerana BERSATU telah menjadi liabiliti dalam politik semasa. Sebabkan itu ahli PAS mula hilang kepercayaan kepada pimpinan PAS. Abbas mendakwa PAS sentiasa mengkhayalkan ahlinya untuk membentuk kerajaan setiap kali pilihan raya diadakan, hakikatnya PAS gagal berbuat demikian.
Sebelum ini PAS Selangor melalui, Ketua Penerangannya, Zurk Ahmad berkata PAS yakin akan memimpin Selangor pada PRU ke-16 sekaligus menjadi negeri yang berdaya saing. PAS Selangor berikrar untuk menjadikan Selangor bersih daripada pimpinan yang korup, penggunaan sumber yang berkesan dan tadbir urus yang cekap untuk semua kaum.
Semua ikrar yang dijanjikan oleh PAS Selangor sedang berjalan dibawah pimpinan Dato Menteri Besar Selangor selaku peneraju PERPADUAN Selangor. – SelangorToday