SelangorToday

Tebuk Atap: PAS amal politik hipokrit – Danial

SHAH ALAM: Ketua Pemuda AMANAH Selangor, YB Danial Al-Rashid menyifatkan sikap pimpinan PAS yang melabel penyertaan dalam kerajaan sebagai “pengkhianatan” apabila melibatkan pihak lain, namun menjadi “harus” apabila menyentuh kepentingan sendiri, sebagai bukti jelas politik hipokrit dan tidak konsisten.

Menurut beliau, prinsip politik tidak seharusnya berubah mengikut siapa yang melakukannya atau siapa yang mendapat manfaat.

“Jika sesuatu tindakan itu dianggap salah, maka ia harus kekal salah tanpa pengecualian. Prinsip tidak boleh dipermainkan mengikut selera politik,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Danial berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan PAS yang menganggap usaha menjatuhkan kerajaan Perlis sebagai satu bentuk pengkhianatan, sedangkan parti itu sendiri sebelum ini terlibat secara langsung dalam episod ‘tebuk atap’ di peringkat Persekutuan.

Beliau yang juga ADN Batu Tiga turut melahirkan kebimbangan terhadap naratif yang dibawa PAS kerana menurutnya ia mencerminkan kecenderungan politik narsistik, iaitu kebenaran diukur berdasarkan kepentingan kelompok sendiri, bukan berlandaskan prinsip, etika atau realiti tadbir urus.

“Politik seperti ini tidak mendidik rakyat, sebaliknya mengelirukan dan merendahkan wacana demokrasi dengan sentimen moral yang bersifat selektif,” katanya.

Tambah beliau, Malaysia memerlukan politik yang jujur, konsisten dan bertanggungjawab, bukannya politik yang menormalisasikan percanggahan semata-mata demi meraih atau mengekalkan kuasa.

Dalam masa sama, Danial yakin tahap kematangan rakyat semakin meningkat untuk menilai pendirian sebenar parti-parti politik.

“Rakyat hari ini mampu membezakan siapa yang benar-benar mempertahankan prinsip, dan siapa yang hanya memanipulasikannya apabila ia menguntungkan diri sendiri,” ujarnya.

Exit mobile version