KUALA LUMPUR, 5 Okt — Parti Amanah Negara (AMANAH) bertekad memperkukuh kekuatan akar umbi bagi memastikan parti itu kekal relevan dan terus memimpin kerajaan dalam tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun akan datang, kata Setiausaha Agung AMANAH, Tuan Hj Faiz Fadzil.
Berucap di hadapan lebih 4,000 ahli dan penyokong parti dalam Himpunan Satu Dekad AMANAH di Stadium Titiwangsa malam tadi, Faiz menegaskan bahawa kekuatan sebenar parti terletak pada perpaduan, kesetiaan dan gerak kerja bersungguh-sungguh di semua peringkat organisasi.

“Sepuluh tahun yang lalu adalah akar bagi AMANAH. Insya-Allah, dengan perpaduan pimpinan dan kesungguhan ahli di semua peringkat, parti ini akan terus bertahan dan kekal relevan untuk memerintah Malaysia 10 tahun yang akan datang — dan lebih dari itu,” katanya disambut sorakan gemuruh hadirin.
Menurut beliau, kejayaan AMANAH dalam dua pilihan raya umum sebelum ini membuktikan bahawa parti itu bukan lagi parti kecil seperti yang pernah diperkecilkan pihak lawan.
“Dulu ada yang meramalkan AMANAH hanya mampu bertahan enam bulan sahaja, tetapi hari ini kita masih berdiri teguh sebagai sebahagian daripada kerajaan persekutuan. Kepada mereka di luar sana, jangan cabar AMANAH lagi,” tegasnya.
Faiz menegaskan bahawa kejayaan lalu tidak boleh menjadikan parti selesa atau leka, sebaliknya perlu menjadi motivasi untuk memperkukuh struktur organisasi hingga ke peringkat cawangan.
“Kita tidak boleh bersikap complacent (leka) dengan apa yang kita capai hari ini. Kita mesti tingkatkan kekuatan di semua peringkat — nasional, negeri, kawasan dan cawangan — untuk memastikan prestasi yang terbaik menjelang pilihan raya dua tahun akan datang,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa masa depan AMANAH bergantung kepada empat asas utama iaitu perpaduan, kesetiaan ahli, gerak kerja yang bersungguh, serta fokus terhadap kemenangan pilihan raya akan datang.
“Kita bukan mahu membina walaun dalam parti, tetapi mahu membina ahli yang setia kepada perjuangan dan prinsip parti. Masa depan AMANAH bermula hari ini — the future starts today,” katanya penuh semangat.
Turut hadir pada malam penuh bersejarah itu ialah Presiden AMANAH, Datuk Seri Hj Mohamad Sabu, Timbalan Presiden, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Naib-naib Presiden, Ketua Pemuda AMANAH, Abbas Azmi, Ketua Awan, Aiman Athirah Al-Jundi, serta pimpinan negeri dan kawasan seluruh negara.
Majlis sambutan ulang tahun ke-10 itu menandakan perjalanan perjuangan AMANAH selama sedekad dalam memperjuangkan politik nilai dan tadbir urus berprinsip, dengan tema menekankan kekuatan akar umbi serta semangat baharu menuju masa depan politik progresif.