SelangorToday

Tekad Mohamad Sabu Jadikan Laut Selamat, Sumber Laut Terjamin Menjadi Realiti

Bagaimanakah Malaysia boleh terus menjamin makanan laut segar kepada rakyat jika laut negara terus dicerobohi? Itulah persoalan yang sentiasa bermain difikiran bukan sahaja kepada para pemikir, tetapi turut melibatkan anggota pentadbiran kerajaan.

MADANI yang diwujudkan tiga tahun lalu menumpukan usaha ke arah mereformasi struktur dan institusi dalam negara ke arah menjadikan Malaysia lebih baik dan pantas bergerak. Maka industri makanan termasuk perihal kelautan dan nelayan terlibat sama dalam diperkasakan semula melalui pelbagai usaha.

Merujuk kepada persoalan diawal penulisan ini tadi, negara mengalami kerugian ratusan juta setiap tahun disebabkan oleh kecurian hasil laut seperti ikan kepada nelayan asing. Justeru Akta Perikanan yang digubal pada sejak tahun 1985 dipinda oleh kerajaan hari ini bagi menutup kelompangan yang wujud dalam akta ini atas faktor perubahan semasa dan keadaan yang lebih realistik.

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (surah ar-ruum:41)

Akta Perikanan 1985 adalah akta persekutuan Malaysia yang berkaitan dengan pentadbiran dan pengurusan perikanan negara termasuk pemuliharaan dan pemajuan penangkapan ikan serta perikanan di perairan Malaysia. Antara tujuan akta ini digubal adalah untuk memelihara dan memajukan sektor perikanan, mengawal selia perikanan di perairan, melindungi mamalia akuatik dan penyu serta mewujudkan taman laut dan rizab laut. Sejak penggubalannya, akta ini mengalami beberapa kali pindaan mengikut arus masa.

Terkini beberapa cabaran semasa menghambat kerajaan melalui kepimpinan Hj Mohamad Sabu di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan membuat pindaan kepada akta tersebut agar kekal berfungsi menangani permasalahan yang berbangkit. Justeru antara cabaran yang semakin kuat dihadapi adalah aktiviti penangkapan haram, penangkapan yang tidak dilaporkan dan dikawal. Selain itu pencerobohan nelayan asing serta penggunaan alat tangkap yang merosakkan habitat laut menjadi asas kepada pindaan akta ini. Lebih utama kelemahan yang wujud atas akta ini memberi kesan kepada sumber laut serta keterjaminan makanan laut.

“Dengan akta yang lebih kemas dan penguatkuasaan yang telus, kita mampu pastikan laut kita kekal subur, nelayan terus sejahtera dan rakyat tidak putus bekalan makanan.” kata Hj Mohamad di Dewan Rakyat semalam.

Oleh demikian, semalam Hj Mohamad telah membentangkan pindaan kepada akta ini di Dewan Rakyat lalu diluluskan oleh Dewan menjelang lewat petang. Apakah isu utama yang dipinda dalam akta ini? Pertama definisi kesalahan penangkapan haram diperkemaskan dengan memasukkan aktiviti yang merosakkan habitat marin seperti penggunaan bahan letupan, racun dan elektrik. Kedua, larangan permohonan semula lesen penangkapan ikan sehingga 5 tahun bagi pemegang lesen yang dibatalkan. Penalti kepada aktiviti penjualan dan pemilikan mamalia akuatik atau penyu dinaikkan daripada RM5,000 menjadi RM250,000. Ketiga, kuasa Ketua Pengarah Perikanan untuk melarang kegiatan perikanan di kawasan yang tercemar serta menjadikan kawasan-kawasan tertentu sebagai rizab laut ditambah baik. Pindaan akta ini melibatkan 47 fasal.

Usaha yang dilakukan oleh Kerajaan MADANI hari ini menonjolkan sikap ketegasan dan tidak berkompromi dalam menguruskan bekalan makanan rakyat. Hj Mohamad sendiri sejak memikul amanah ini 3 tahun lalu memberikan kompas yang jelas kepada seluruh warga kerja kementerian dan agensinya untuk menjadikan keterjaminan bekalan makanan rakyat baik laut mahupun di daratan sebagai keutamaan. Ia juga memperlihatkan kepimpinan beliau dalam membela nasib nelayan yang sering terganggu akibat pencerobohan nelayan asing.

Sebelum pindaan ini dibentang, kementerian Hj Mohamad membuat sesi libat urus dengan pelbagai pihak termasuk negara jiran bagi merungkai isu sempadan laut. Semua ini bertitik-tolak untuk memperkasakan sektor perikanan negara dan meningkatkan taraf hidup nelayan sebagai nadi bekalan makanan laut. Memetik perbahasan Ahli Parlimen Shah Alam, Hj Azli Yusof ketika membahaskan pindaan akta ini:

“Nelayan pesisir bukan sekadar mencari rezeki, mereka juga menjadi penjaga alam laut kita. Namun kini mereka berdepan dengan tekanan berganda hasil daripada tangkapan yang merosot, alat menangkap ikan yang rosak dan persaingan yang tidak adil dengan pemain besar yang tidak sah.” katanya.

Pindaan ini membuktikan kerajaan MADANI mendengar keluhan rakyat serta bersikap proaktif dalam memastikan setiap sendi perundangan dan urustadbir negara berfungsi dengan baik dan berkesan.

Bukan setakat sebuah perundangan yang dipinda, tetapi lebih daripada itu adalah penzahiran kerajaan memberi komitmen sepenuhnya kepada generasi akan datang untuk terus menikmati kehidupan marin dan bekalan makanan laut yang berkualiti. Ia sekaligus menolak tohmahan pihak tertentu bahawa MADANI sekadar retorik sedangkan melalui tindakan yang nyata atas keberanian politik dan iltizam pentadbiran, pindaan akta ini terhasil.

Cikgu Syazmir HN

Exit mobile version