Kerajaan bakal sekali lagi membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat Jun ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu diputuskan menerusi mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
“Jemaah Menteri pada hari ini membuat keputusan bahawa RUU terbabit akan dibawa (untuk dibentangkan) semula dalam sidang mesyuarat (Dewan Rakyat) yang berikutnya, sekitar Jun ini.
“Kita berharap dan akan berusaha untuk memastikan Ahli Parlimen kerajaan memberi sokongan penuh, hadir dan mengundi untuk meluluskan pindaan Perlembagaan yang sangat penting ini,” katanya pada sidang media.
Fahmi sementara itu berkata, Jemaah Menteri juga dimaklumkan mengenai salah faham yang mungkin berlaku dalam kalangan beberapa Ahli Parlimen pembangkang.
Jelasnya, ada yang beranggapan undian pada hari berkenaan adalah untuk memberi Datuk Seri Anwar Ibrahim tempoh perkhidmatan 10 tahun sebagai Perdana Menteri.
“Perkara itu dimaklumkan kepada Jemaah Menteri dan ditegaskan bahawa pindaan berkenaan bertujuan memastikan tidak berlaku keadaan di mana seseorang Perdana Menteri boleh berasakan dirinya boleh berkuasa tanpa had tempoh,” tambahnya.
Dewan Rakyat pada Isnin tidak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri.
Ia selepas RUU itu gagal memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Parlimen, apabila hanya 146 Ahli Parlimen menyokong, sementara 32 Ahli Parlimen tidak hadir dan 44 Ahli Parlimen berkecuali.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menzahirkan keyakinan bahawa RUU itu akan diluluskan selepas ia dibentangkan semula.
Tambahnya, kegagalan memperoleh majoriti dua pertiga pada Isnin lalu bukan disebabkan penolakan terhadap cadangan tersebut, sebaliknya berpunca daripada faktor ketidakhadiran beberapa ahli Parlimen.