SelangorToday

TEMU MATA | AMANAH TAK JADIKAN ISLAM EKSKLUSIF TAPI… – DR. HASAN

Sesi pemilihan Kepimpinan Parti AMANAH Negara disemua peringkat telah pun selesai. AMANAH yang menginjak umur 9 tahun pada tahun 2024 masih dipimpin oleh Hj Mohamad bin Sabu selaku Presiden dan Dr. Mujahid Yusof Rawa sebagai Timbalan Presiden yang baharu. Pemilihan kali ini dilihat lebih kritikal memandangkan AMANAH sering disarankan untuk membuat perubahan kepada kepimpinan dan hala tuju parti supaya relevan dalam politik negara.

Maka Ketua Pengarang SelangorToday, Cikgu Syazmir HN telah menembual Datuk Dr. Hasan bin Bahrom yang telah dilantik sebagai Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH untuk memberikan pandangan dan menjawab beberapa tohmahan kepada AMANAH yang berlaku dalam arus perdana.

Pemegang Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Siyasah Syariah ini merupakan bekas Ahli Parlimen Tampin terlibat sama dalam memperkata situasi pendidikan negara memandangkan beliau pernah berkhidmat sebagai Pensyarah di Universiti Teknologi MARA(UiTM) dengan pelbagai posisi termasuk Profesor Madya dan lain –lain selama 30 tahun. Ikuti pandangan beliau dalam slot Temu Mata SelangorToday bagi edisi kali ini.

1.Untuk permulaan, bagaimana Datuk mula terdetik untuk menyertai Parti AMANAH Negara dan mengapa Datuk memilih AMANAH berbanding parti lain?

Saya mengucapkan terima kasih atas kesudian Selangor Today menemui  saya. Pada peringkat awalnya saya tidak berminat untuk terlibat secara bersungguh-sungguh atau aktif dalam kancah parti politik kerana itu bukan aspirasi saya, kerana saya lebih berminat untuk mengkaji persekitaran politik kerana saya berkecimpung dalam bidang pendidikan dan latarbelakang pendidikan saya sains politik Islam.

Sejujurnya penglibatan saya dalam parti politik secara spontan dan tidak disusun atau dirancang untuk jadi apa dan pegang jawatan apa itulah realitinya, namun untuk terlibat secara tidak lansung sudah ada.

Apabila Parti Amanah ditubuhkan pada 2015 sebuah parti baru yang memerlukan sokongan dan dokongan, saya diajak untuk terlibat secara serius oleh kawan-kawan dalam parti. Malah penglibatan saya dalam parti AMANAH atas sokongan dan dorongan pimpinan WADAH dan ABIM untuk membantu Amanah, lebih-lebih lagi apabila saya meneliti pimpinan AMANAH ketika itu saya mengenalinya secara dekat seperti Datuk Seri Ahmad Awang, Datuk Wira Abdul Ghani Samsuddin, Datuk Seri Muhammad Sabu, Datuk Wira Anuar Tahir, Datuk Wira Hatta Ramli, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa. Saya memilih AMANAH kerana apabila saya melihat hala tuju Parti AMANAH yang terpapar dalam perlembagaannya bernuansakan “Rahmatan lil alamin” dan nilai kesederhanaan dalam pendekatannya amat serasi dengan jiwa dan pemikiran saya dan boleh menyumbang lebih besar dalam gelanggang politik kepartian

2.Datuk terus diberikan peranan sebagai Naib Presiden AMANAH selepas menyertai AMANAH dan sebagai Jawatankuasa Pimpinan Nasional. Apakah peranan yang Datuk mainkan setelah diberikan tanggungjawab tersebut khususnya memperkasakan imej AMANAH dimata umum?

Saya tidak menjangka malah ia amat mengajutkan penglibatan saya dalam parti AMANAH telah diberi kedudukan begitu besar. Cuba saudara bayangkan orang diluar parti yang tidak pernah terlintas untuk memimpin pada kedudukan seperti itu agak tergamam. Namun bagi saya apabila telah dipertanggungjawabkan peranan seperti itu ia mesti dilaksana sebaik mungkin. Saya belajar sedikit demi sedikit memahami budaya berkerja dengan orang politik.

Sebagai Naib Presiden yang dilantik saya telah diberi tanggungjawab mengetuai Biro Pendidikan, Menganggotai Majlis Penasihat Pakar (MPP), dilantik sebagai Setiausaha MPP dan Pengerusi Biro Aduan. Dari aspek peranan yang telah saya lakukan sepanjang penglibatan saya lebih menyerlah untuk menangani isu-isu pendidikan sama ada dalam bentuk memberi cadangan dan pandangan perkara yang berkaitan dengan pendidikan sama ada diperingkat Menengah atau pengajian tinggi. Kerana itu fokus saya ketika menjadi Ahli Dewan Rakyat lebih banyak menyentuh soal pendidikan disemua peringkat.

Melalui Biro Pendidikan dan Dakwah yang dijenamakan sebagai Biro Pendidikan & Perubahan Masyarakat AMANAH, saya bersama jawatankuasa biro yang lain berperanan dalam memberikan cadangan dan pandangan terkait isu pendidikan yang agak celaru ketika wabak Covid-19.

Kita pernah mewujudkan sebuah Tabung Khas untuk mengutip sumbangan orang ramai dan duit sumbangan itu pihak biro akan membeli peranti mudah alih dan diserahkan kepada pelajar-pelajar yang dikategorikan tidak berkemampuan untuk membeli peranti, ia memandangkan ketika itu proses pembelajaran dan pengajaran dijalankan secara dalam atas talian.

Kita juga kerap mengadakan wacana berbentuk dalam talian mahupun bersemuka dengan pelbagai topik dan tokoh dijemput membahaskan isu tersebut. Kesemuanya bagi sama ada menyebar luaskan kefahaman kepada masyarakat tentang sesuatu isu mahupun merungkai pertikaian yang berlaku dalam masyarakat khususnya isu pendidikan nasional dan kemasyarakatan.

Pada konvensyen AMANAH 2021 yang diadakan pada awal tahun 2022, melalui biro saya, kita menggerakkan kempen Gerakan Anti-Rasuah sebagai satu usaha mendidik masyarakat betapa pentingnya menolak amalan rasuah dalam kehidupan.

3.Datuk kerap membangkitkan banyak isu pendidikan. Datuk juga merupakan bekas tenaga pengajar di Institusi Pengajian Tinggi satu ketika dahulu. Bagaimana Datuk melihat kepada keadaan pendidikan negara sekarang? Adakah Malaysia sedang menuju ke arah pendidikan digital dan perkara yang Malaysia perlu lakukan untuk memastikan pendidikan negara setanding negara maju?

Saya nampak pendidikan kita sekarang ini sama ada diperingkat menengah atau institusi pengajian tinggi telah mengorak langkah kearah digitalisasi pendidikan, terutama apabila negara berhadapan dengan serangan Covid-19. Malah ketika perbahasan di Parlimen saya pernah mencadangkan supaya semua sukatan pelajaran dan buku teks ‘dikomputerisekan’ dalam satu dokumen dan anak-anak hanya membawa laptop ke sekolah, perkara ini saya bangkitkan apabila isu beg berat dibangkitkan oleh ibu bapa dan guru-guru. Alasan saya mudah sahaja apabila kita berhadapan dengan Covid-19, semua pelajar tidak hadir dalam kelas dan mereka belajar secara dalam talian. Mengapa perkara itu boleh dilakukan?. Saya nampak untuk mendigitalkan pendidikan harus dilakukan sesuai dengan perkembangan semasa, sekalipun ada usaha-usaha ini dilakukan, Namun ia masih lagi perlahan mungkin ada faktor-faktor yang mempengaruhi.

Penubuhan Kementerian Digital secara tunggal pasca rombakan kabinet Kerajaan Perpaduan Disember 2023 dibawah kepimpinan Gobind Singh Deo memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam mengarusperdanakan aspek pendigitalan dalam sektor awam. Maka sewajarnya aspek pendidikan juga tidak ketinggalan dalam mendapat manfaat daripada proses digitalisasi ini.

Sekurang-kurangnya guru tidak perlu bermain dengan dokumen fizikal yang rencam dan banyak yang sebenarnya menjadi faktor utama guru-guru hilang tumpuan pada pembelajaran dan pengajaran.

4.Setelah tahun Malaysia Madani memimpin, adakah Kementerian Pendidikan Malaysia sedang berada dilandasan yang tepat untuk memulihkan keadaan pendidikan negara. Adakah Datuk terlibat juga dalam memberikan pandangan dalam gerak kerja KPM selaku bekas tenaga pengajar?

Pendidikan adalah perkara dasar yang perlu dilihat secara tuntas, baiknya negara akan datang bergantung kepada sistem pendidikan yang kita tawarkan kepada warga. Apakah watak dan corak pemikiran warganegara akan datang bergantung kepada tatanilai sistem pendidikan yang kita berikan. Apakah sistem pendidikan kita hanya memfokuskan kemampuan kegunapasaran untuk pembangunan negara atau watak manusia yang sempurna dari aspek watak cemerlang, tingkahlaku yang seimbang, daya fikir yang matang atau melahirkan manusia berperwatakan robot?

Kita berhadapan dengan kepelbagaian tuntutan untuk dipenuhi, dan kita sukar untuk menentukan nilai keutamaan yang perlu dilakukan. Banyak perkara yang telah dilakukan oleh kerajaan demi kebaikan dan keutuhan negara, banyak dasar dan tatacara yang telah diolah namun ia masih boleh diubahsuai untuk diperkasa.

Saya  berpandangan apa yang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan pada era Malaysia Madani dengan menekankan untuk mengangkat nilai “karamah Insaniah” itu sesuatu yang tepat dan bernuansakan manusiawi. Tidak ada makna kita membina negara yang diisi oleh insan yang korup jiwa, watak dan pemikiran, adalah lebih bermakna kalau kita membina manusia yang Madani untuk membina negara.

Ya insyaAllah saya akan membantu sedaya mungkin untuk terlibat serta dalam membangun pendidikan, malah kini pun saya sedang bergandingan dengan kementerian dalam merealisasikan pendidikan bernuansakan Malaysia Madani.

5.Kini Datuk sebagai Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, pastinya Datuk akan menjadi pihak paling hadapan dalam menjawab serta menjelaskan kepada masyarakat berkaitan isu keagamaan yang dibangkit. Bolehkah Datuk beri gambaran peranan yang praktikal dan tuntas yang akan Datuk laksanakan selaku Pengarah Hal Ehwal Syariah?

Ya sebagai orang baru dilantik sebagai Pengarah Hal Ehwal Syariah terlebih dahulu saya perlu  memahami semaksima mungkin peranan dan tanggungjawab yang patut saya lakukan supaya peranan itu tidak bertindih dengan jawatankuasa yang lain khususnya bidang kuasa Majlis Penasihat Pakar.

Secara umumnya saya melihat peranan yang boleh dilakukan untuk memberi pandangan dalam hal ehwal Islam dan syariah serta untuk menjawab dan merungkai permasalahan kecelaruan pemikiran masyarakat. Saya melihat masyarakat Islam hari ini khususnya di Malaysia telah banyak dipengaruhi dengan pemikiran melampau (ghuluw) sehingga boleh menyebabkan berlakunya kekelompokan dalam masyarakat sehingga timbulnya percangahan pemikiran yang akan mendorong lahirnya perpecahan dalam kalangan umat Islam.

Perlunya ada pihak yang menjelaskan pertikaian yang berbangkit mengikut pandangan syariah agar ia boleh meredakan ketegangan pihak yang berfikiran melampau dengan masyarakat awam. Aspek penggunaan agama dalam berpolitik juga mesti mempunyai garisan dan panduan yang tersendiri, maka peranan saya yang berada dalam AMANAH akan mengetengahkan isu ini.

Isu kedua, Pengarah Hal Ehwal Syariah akan berperanan untuk bersama-sama kerajaan dalam merealisasikan  Malaysia Madani dalam kehidupan bernegara yang sejajar dengan nilai syariat. Memandangkan gagasan ini berada dalam sebuah kerajaan perpaduan yang dianggotai oleh AMANAH juga, maka kita perlu bersama mengakarumbilan gagasan ini dalam masyarakat.

AMANAH dan UMNO wajar kehadapan dalam membawa gagasan ini memandangkan kedua-dua parti berasaskan Islam dan melayu. Ia juga membantu membendung amalan ghuluw seperti yang saya katakan tadi apabila Malaysia Madani membawa jalur sederhana dan seimbang dalam pembangunan diri dan negara.

6.Adakah Datuk mahu membawa AMANAH sama seperti PAS yang menjadikan elemen agama sebagai bahan doktrinasi perjuangan untuk memperkukuhkan sokongan AMANAH dalam pemikiran orang melayu Islam. Atau ada haluan lain yang bakal kepimpinan AMANAH bawa berbanding PAS dalam penggal kali ini termasuk untuk membenam pemikiran ektrimis dan gelombang hijau dalam diri orang melayu?

Secara jelas, AMANAH berpegang Islam bukan milik sesuatu individu, golongan atau kelompok, siapa sahaja boleh mendokong dan menyebarkannya. Tidak boleh satu golongan atau kelompok mendabik dada mereka sahaja yang lebih islamik dan mengingklusifkan hak milik mereka secara tuntas.

AMANAH sebuah parti yang berpegang pendekatan sederhana dalam pemikiran dan tindakan. Rahmatan lil alamin (Rahmat untuk Semua) melatarbelakangi  budaya pemikiran dan gerak kerja politiknya, semua orang mesti disantuni secara adil dan bijaksana tanpa ada pihak yang terabai.

Pemikiran yang mengekslusifkan Islam milik mereka sewajarnya diperbetulkan dan disingkir dalam benak pemikiran orang Melayu. Orang Melayu wajar diketengahkan dengan pemikiran yang matang dan benar. Saya yakin sekiranya orang Melayu diketengahkan dengan pemikiran yang sederhana, terbuka dan belajar untuk mendapatkan kebenaran, pasti orang Melayu akan menolak pemikiran ekstrim yang sedang muncul dalam kalangan masyarakat hari ini.

Temubual: 25 Januari 2024

Exit mobile version