1) Untuk permulaan, umum tahu Tuan menyertai politik melalui wadah Parti PAS, bagaimana Tuan mula melibatkan diri dalam politik dan di peringkat mana? Apakah motivasi atau kecenderungan yang menyebabkan Tuan mahu melibatkan diri dalam politik memandangkan Tuan telah pun menjadi pengamal undang-undang?
Umum mengetahui bahawa saya merupakan anak kepada pimpinan PAS iaitu Almarhum Ustaz Fadzil Noor. Sudah pasti pendedahan saya kepada politik bermula dari ayahanda saya memandangkan almarhum menjadi wakil rakyat di Kawasan Anak Bukit sejak 1982.
Walau bagaimana pun, almarhum telah menasihatkan jika anak-anaknya mahu terlibat dengan politik, tidak memegang sebarang jawatan ketika almarhum masih memimpin. Maka saya mula terlibat secara dekat dengan politik setelah ayahanda meninggal dunia pada tahun 2002.
Sebelum itu diperingkat pengajian tinggi, saya juga pernah menjadi ahli jawatankuasa persatuan mahasiswa di Universiti Islam Antarabangsa.
Apabila mula bekerja di Seremban, saya aktif dalam Parti Islam Se-Malaysia PAS sebagai AJK Pemuda PAS Negeri Sembilan. Manakala pada tahun 2009, sebagai jawatankuasa PAS Negeri Sembilan. Itu penglibatan awal saya dalam politik melalui PAS.
Namun krisis yang berlaku antara dua kelompok dalam PAS telah mewujudkan sebuah parti baru iaitu Parti AMANAH Negara. Saya menyertai parti tersebut dan diberi kepercayaan sebagai Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional.
Menyentuh perihal kecenderungan saya dalam politik, saya merupakan pengamal undang-undang. Dalam tahun 80an dan 90an di mana ketika itu saya sedang membesar dan menuntut ilmu, isu hak asasi demokrasi banyak diperkatakan. Ini disebabkan juga oleh ketika itu tatacara kerajaan kepada perihal hak asasi ini berlaku kecurangan. Ramai pemimpin-pemimpin anti-kerajaan ditahan termasuk almarhum ayahanda saya.
Maka saya mendapat kesedaran bahawa isu hak asasi demokrasi ini wajar diperjuangkan bagi memperlihatkan Malaysia yang lebih baik. Dan saya melihat politik merupakan satu platform yang paling tuntas untuk menegakkan semula hak asasi demokrasi ini kerana melalui politik yang menjadi penentu kepada sebarang keputusan, penentu kepada sebarang dasar dan medan semak imbang kepada pemerintah.
Kedua, faktor kemiskinan dan tekanan ekonomi menjadi faktor meledaknya kadar jenayah di Malaysia. Dalam kesempitan hidup mereka terpaksa melalukan perkara yang mungkin menyalahi undang-undang. Oleh itu perlunya dasar dan mekanisme yang membanteras kemiskinan ini melalui orang politik secara tidak langsung meredakan kadar jenayah.
Saya merasakan itu antara faktor yang memutuskan saya untuk menyertai politik meski adik-beradik saya yang lain tidak dan belum menyertai politik. Ini seiring juga dengan visi Perdana Menteri ke-10, Anwar Ibrahim yang mahu menokhtahkan kemiskinan di Malaysia.
2) 2018 buat pertama kalinya Tuan menang sebagai ADUN Permatang Pasir dibawah Parlimen Permatang Pauh, bagaimana Tuan beradaptasi dengan keadaan baru dan adakah sepenggal Tuan berkhidmat, semua yang Tuan sasar untuk dilakukan di kawasan telah pun berjaya di buat?
Pengalaman almarhum ayahanda banyak mempengaruhi saya dalam masyarakat. AMANAH pula bertanding di kawasan majoriti orang melayu. Kaedah sebagai wakil rakyat masyarakat melayu ini memang saya banyak belajar dari almarhum ayahanda.
Tapi kena faham peranan sebenar sebagai wakil rakyat. Yang utamanya wakil rakyat perlu melontarkan idea untuk mensejahterakan rakyat di Dewan Undangan Negeri mahupun Parlimen. Ia juga ada masa membawa suara rakyat ke dewan legislatif tersebut agar setiap keputusan atau dasar yang dibuat benar-benar memberi impak kepada rakyat.
Sebab itu wakil rakyat ini perlukan seberapa banyak ilmu agar mutu perbahasan mereka lebih mantap dan matang di dalam dewan. Ilmu ekonomi misalnya menjadi asas kepada wakil rakyat agar setiap isu kewangan yang berbangkit di dewan boleh difahami oleh wakil rakyat.
Barulah selepas itu bagi orang melayu wakil rakyat perlu menyantuni rakyat di kawasan. Bagi saya ia tidak mendatangkan masalah atau kekok sebab saya memang gemar dengan aktiviti kemasyarakat dan keramaian. Cara atau budaya orang melayu yang mahu pimpinan mereka selalu ada dan dekat dengan mereka amat saya fahami.
3) Kita sentuh pula tentang politik negara, situasi yang mungkin tidak terfikir di akal bahawa HARAPAN akan bersama BN dalam menerajui negara ini, adakah Tuan merasakan langkah ini wajar? Mengapa kita tak memilih menjadi pembangkang sahaja?
Pilihan yang dibuat oleh pimpinan Pakatan Harapan(HARAPAN) amat bertepatan dengan keadaan semasa. Jika kita lihat sebelum itu, kerajaan yang memerintah tidak mempunyai kestabilan, ini memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara. Mahu tidak mahu pilihan yang ditawarkan oleh Yang Dipertuan Agong amat wajar dan harus disambut oleh HARAPAN.
Kita ambil pengajaran dari Sirah Rasulullah SAW dalam membawa obor Islam. Di Mekah baginda berdakwah selama 13 tahun. Rasulullah ketika itu bukan pemerintah Mekah yang kita andaikan dalam kontesk hari ini sebagai pembangkang. Namun baginda keluar dan menubuh kerajaan di Yathrib yang kini di kenali sebagai Madinah Al-Munawarrah. Baginda berusaha untuk menjadi pemerintah dan menegakkan Islam. Banyak kelebihan yang Islam akan dapat apabila berada di posisi pemerintah seperti Sirah Rasulullah tadi.
Maka saya beranggapan sebagai sebuah parti politik, ruang untuk menjadi kerajaan harus diutamakan. Jelas dengan peranan sebagai kerajaan, banyak usaha yang HARAPAN mampu lakukan berbanding menjadi pembangkang.
4) Adakah langkah HARAPAN yang berbaik dengan BN hanya semata-mata untuk memastikan Anwar Ibrahim dilantik sebagai PM sahaja bukannya agenda Reformasi yang diperjuangkan sejak 90an, hal ini kerana seteru HARAPAN dalam perjungan Reformasi ini adalah BN, maka BN sedang bersama HARAPAN dalam kerajaan?
Soal reformasi ini bukan hanya terletak kepada penentangan terhadap BN sahaja. Reformasi ini merupakan satu agenda penambahbaikkan, satu perubahan kepada kebaikan. Memang dulu perjuangan reformasi itu secara tidak langsung adalah menentang BN. Tapi apabila kini kita bersama BN membentuk kerajaan MADANI. Banyak isu-isu kebersamaan disepakati. Dan BN bersedia bersama memperjuangkan pelbagai elemen reformasi seperti tatakelola, reformasi institusi dan pelbagai lagi. Kesediaan mereka itu mesti menjadi asas kepada kesepakatan kerajaan dan ini diperakui oleh semua parti dalam kerajaan.
Tambahan pula yang mengetuai kerajaan adalah Pengerusi HARAPAN juga orang yang menggagaskan reformasi, sudah tentu ia punya ruang dan kuasa yang lebih dominan dalam menentukan setiap dasar negara tertegak atas elemen demokrasi. BN yang bersama kita hari ini tidak sama jumlahnya macam mereka memerintah bersendirian dulu, justeru banyak toleransi dan perbincangan dijalankan untuk mencapai satu tahap reformasi itu.
Jika kita tak mampu untuk laksanakan semua reformasi, tidaklah kita tinggalkan semua. Kita percaya peranan yang sedang dimainkan oleh kerajaan jelas bergerak kearah mereformasikan negara. Adalah satu dua perkara yang membangkitkan persoalan rakyat tentang agenda HARAPAN, namun itu semua boleh diatasi.
Itu peluang keemasan yang HARAPAN tak wajar lepaskan, dalam masa yang sama seperti diistilahkan ‘kill two birds with one stone’, HARAPAN boleh membantu memulihkan keadaan dan arah tuju BN semula selain mentadbir negara ini. Dengan agenda reformasi secara tidak langsung BN menghayati semangat tersebut dan mula diserap dalam perjuangan BN. Ia boleh mematangkan peranan BN dalam politik kelak.
5) Mampukah kerajaan ini bertahan sehingga PRU ke-16 apabila suara-suara ekstrim dalam UMNO dan DAP mula kedengaran?
Saya berkeyakinan kerajaan ini mampu kekal, kita juga berdiri sebagai kerajaan dengan majoriti 2/3 kerusi di Parlimen. Kita semua saling bergantungan antara satu sama lain. HARAPAN bergantung pada BN, BN juga bergantung pada HARAPAN.
Kedua, agenda perjuangan parti dalam perpaduan ini hampir sama iaitu membina sebuah negara berbilang bangsa. Ini menjadi pokok utama kita mampu bersepakat dalam setiap hal.
Berbeza dengan PN yang bergerak atas jalur perkauman. Ia jelas tidak mampu membangunkan negara dan tidak serasi bersama parti-parti lain. Bagaimana parti pemerintah hendak mempin dengan satu kaum sahaja sedangkan Malaysia adalah negara berbilang kaum. Pelabur luar akan melihat kerajaan adalah cerminan kepada demografi rakyat Malaysia. Apabila parti yang menekankan satu kaum sahaja memerintah, maka ia akan merencatkan kemasukan pelabur.
Penggal lalu telah membuktikan betapa PN gagal memerintah negara, manakala parti dalam Kerajaan Perpaduan merupakan platform yang paling sesuai membawa aspirasi Malaysia yang lebih baik.
6) Sebagai Pengerusi LKIM, apa yang tuan mahu lakukan lagi untuk terus meningkatkan taraf hidup nelayan dan memperkasakan sistem perbekalan ikan di Malaysia?
Untuk makluman dalam Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mempunyai sebuah jabatan yang dinamanakan sebagai Jabatan Perikanan. Jabatan ini berfungsi untuk memastikan bekalan ikan dalam pasaran adalah terjamin. Berbeza dengan LKIM, ia lebih berperanan untuk mengurus isu-isu nelayan.
Jadi kita faham bahawa golongan nelayan merupakan dari kalangan B40. Sebelum ini bantuan yang kerajaan berikan melalui jumlah wang tunai dan bantuan peralatan jelas tidak mampu meningkatkan taraf hidup nelayan agar mereka terkeluar dari garis kemiskinan tersebut.
Maka saya telah menggerakan pelbagai program pembangunan modal insan bagi golongan nelayan. LKIM telah ada kerjasama dengan Universiti Malaysia Terengganu(UMT) dalam melaksanakan latihan kepada nelayan, pendedahan teknologi dan bertukar-tukar kemahiran. Ia diharapkan dapat meningkatkan penguasaan kemahiran nelayan yang boleh menambahkan pendapatan mereka kelak.
Nelayan ini juga mereka mempunyai persatuan mereka, jadi saya telah menggagaskan program 1 Persatuan 1 Produk untuk mereka jual dan peroleh pendapatan yang lebih.
Pembangunan industri perikanan juga menjadi tumpuan saya dimana pelbagai aspek akan diberikan perhatian seiring dengan hala tuju LKIM yang telah saya lancarkan baru-baru ini. Ia juga bagi memastikan negara tidak bergantung penuh kepada ikan import dan sebaiknya kita meletakkan jumlah ikan tempatan mencukupi bagi Malaysia.
7) Tuan dipilih sebagai Setiausaha Agung AMANAH yang ketiga selepas Anuar Tahir dan Dr. Hatta Md Ramli, adakah pemilih Tuan boleh dianggap sebagai satu simbolik peralihan kepimpinan generasi awal pimpinan AMANAH(puak erdogan dalam PAS) kepada generasi kedua dalam AMANAH?
Suara-suara untuk adanya peralihan antara generasi awal dengan generasi kedua dalam AMANAH telah lama kedengaran. Namun selepas pemilihan tempoh hari, saya yang dikategorikan sebagai generasi muda atau pelapis dipilih sebagai Setiausaha Agung AMANAH yang baru merupakan satu anjakan berani dari pimpinan tertinggi.
Tetapi ia tidak bermakna peranan generasi lama itu dikesampingkan, malah ia satu proses pendedahan kepada generasi muda untuk menimba pengalaman membuat keputusan secara tak langsung melancarkan penerusan legasi dari yang lama kepada yang baru.
Saya akui ini bukan satu tanggungjawab yang mudah, namun saya bertekad untuk memastikan AMANAH mampu menguasai sebanyak mungkin sokongan masyarakat khususnya undi muda. Kita sedar 50% penguasaan undi orang muda, maka pelantikan ini salah satu strategi parti untuk mengamit sokongan orang muda.
8) Bagaimana AMANAH akan menggempur sokongan anak muda ini khususnya bila tuan diberikan peranan sebagai Setiausaha Agung AMANAH?
Saya melihat pendekatan AMANAH akan sedikit berbeza tetapi dasarnya tetap sama iaitu Islam. AMANAH tak akan berganjak. Namun AMANAH akan lebih praktikal dalam menterjemahkan nilai Islam itu apabila AMANAH memastikan orang muda dapat apa yang mereka perlu. Itu pendekatan yang dibawa. Orang muda sedar Islam itu harus menjadi utama, tetapi keperluan dan kebajikan orang muda yang AMANAH mampu jayakan dalam pentadbiran akan jadi tarikan utama kepada mereka.
Dasar-dasar yang digagaskan dalam setiap posisi pemimpin AMANAH diperingkat kerajaan akan menjadi manifestasi perjuangan AMANAH lalu mendatangkan kesedaran kepada golongan muda bahawa AMANAH mampu diharapkan sebagai pemerintah. Saya sedar gelombang sentimen kaum dan agama pernah meledak kepada golongan muda sehingga ramainya pimpinan utama HARAPAN kecundang, tapi saya percaya dalam tempoh Kerajaan Perpaduan diwujudkan ini, golongan muda akan membuka mata dan minda mereka atas segala inisiatif yang kita lakukan.
Bagi saya apa maknanya kita menjadi umat Islam yang ketinggalan dari kemajuan. Maka sebab itu AMANAH lebih menekankan soal praktikalnya Islam dalam mengangkat martabat rakyat. Kebajikannya, kesejahteraanya melalui idea yang bagus dan idea yang progesif. Sebab itu AMANAH meletakkan progresif sebagai salah satu nilai dalam parti.
9) Hampir 9 tahun AMANAH telah ditubuhkan, namun AMANAH masih dilihat belum mampu menguasai undi orang melayu Islam, adakah inti perjuangan AMANAH tidak bersesuaian dengan orang melayu Islam atau AMANAH memang tidak menyasarkan undi orang melayu semata-mata sebaliknya dari pelbagai kelompok?
Sentimen AMANAH tidak membela orang melayu Islam ini sentiasa dimainkan. Kalau kita nak bercakap untuk mematikan sentimen itu, ia tidak berkesudahan dan mungkin masyarakat tak berjaya dibetulkan pun oleh sentimen itu.
Apa yang saya rasa AMANAH perlu menterjemahkan kewibawaannya dalam pentadbiran negara. apa guna dikatakan sebagai tokoh atau hero orang melayu tapi tiada satu pun dasar yang mengangkat ornag melayu sehingga mereka keluar dari kemiskinan.
Saya akui sentimen itu perlu diatasi dengan majlis penerangan dan bahan-bahan sebaran itu perlu, tetapi kekuatan AMANAH itu melalui kerja dan polisi yang dibawa oleh AMANAH sebagai kerajaan itu lebih penting. Orang melayu memang dah doktrinkan dengan sentimen parti yang bersama DAP adalah parti yang tidak membela melayu, jadi tumpuan kita adalah membuktikan melalui kerja kita menyantuni rakyat agar mereka terkesan.
10) Bila disebutkan bahawa perjuangan AMANAH adalah kesinambungan politik-dakwah almarhum Ustaz Fadzil Noor dan almarhum Tok Guru Nik Aziz, benarkah begitu? Berbezakah PAS yang dulu dengan hari ini sehingga perlu menyertai AMANAH?
PAS hari ini jelas mahu mendapatkan sokongan orang melayu melalui elemen ektrimisme. Sedangkan Islam yang sebenar berbentuk kesederhanaan dan menyeru kepada keamanan dan kemakmuran. Dalam konteks kepimpinan, bukannya soal mahu mempertahankan sesuatu kaum semata-mata, sebab dalam negara ini, mana-mana kaum tidak terancam pun. Ekstrimis yang dibawa oleh PAS hari ini boleh dijangka memandangkan sikap atau pendekatan Haji Abdul Hadi jelas berbeza dengan pendekatan Ustaz Fadzil Noor. Ustaz Fadzil lebih moderate dalam membawa perjuangan Islam malah Tok Guru Nik Aziz berjaya menyatukan pelbagai kaum dan agama melalui kepimpinannya di Kelantan. Ini sangat berbeza dengan PAS yang ada hari ini.
AMANAH telah menyambung obor perjuangan almarhum Ustaz Fadzil Noor dan almarhum Tok Guru Nik Aziz. Pertamanya AMANAH tetap membawa agenda Islam. Kedua, kita membawa satu agenda Islam itu dengan bentuk yang boleh diterima semua rakyat. Dalam bentuk yang lebih sederhana. Malah ia seiring dengan Perlembagaan Persekutuan.
-TemuMata 18 April 2024-