SelangorToday

TEMU MATA | MENGAPA SAYA MENCABAR HAJI HADI  – USTAZ AHMAD AWANG

Setahun terbentuknya Kerajaan Perpaduan, banyak pandangan dan kritikan yang dilontarkan kepada kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim. AMANAH pula parti dalam Kerajaan Perpaduan mencapai umur 8 tahun serta melaksanakan proses pemilihannya tahun ini. Sebagai tokoh dakwah yang diberikan penghormatan menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak 1440 Hijrah-2018 dan Pengerusi Tahaluf Masjid Sedunia Pertahankan Al-Masjid Al-Aqsa, Ustaz Datuk Seri Ahmad Awang antara yang dapat ditemu bual oleh SelangorToday. Peranan beliau ketika dalam kerajaan dan penglibatan beliau dalm NGO seperti ahli Majlis Syura MAPIM, Ahli Hai`ah Istisyarah Kesatuan Ulamak Muslim Sedunia dan Penasihat Agama –Islamic Renaissance Front(IRF) boleh memberikan pandangan berkaitan kerajaan dan Parti AMANAH Negara sebagai salah satu parti dalam Kerajaan Perpaduan. Baca wawancara penuh Ketua Pengarang SelangorToday, Cikgu Syazmir HN bersama beliau dalam slot Temu Mata SelangorToday.

1. Umum mengetahui bahawa AMANAH lahir atas faktor krisis dalam PAS. Ustaz salah seorang bekas pimpinan PAS yang menubuhkan AMANAH. Boleh Ustaz ceritakan secara mukaddimah peranan Ustaz ketika krisis dua kelompok dalam PAS sehingga tertubuhnya AMANAH?

Saya mula terlibat dengan kelompok profesional dalam AMANAH lebih awal. Malah saya antara Pesuruhajaya PAS Perak yang mengalu-alukan penglibatan golongan ini dalam kepimpinan PAS Perak sejak saya memimpin tahun 2001. Malah ada pimpinan kanan PAS ketika itu yang mengingatkan saya supaya tidak terlalu rapat dengan golongan profesional ini yang satu hari nanti akan mahu mengambil alih PAS dari dipimpin oleh kelompok kami(agamawan). Namun saya meminggirkan teguran itu dan terus memberikan ruang kepada mereka yang tidak berlatar belakangkan agama untuk terlibat sama dalam kepimpinan PAS Perak.

Sehinggalah satu masa saya sudah fikir sampai masa untuk tidak terlibat secara aktif dalam kepimpinan utama PAS dan menumpukan tugas dalam Majlis Syura Ulamak PAS sahaja. Sebab saya dipilih oleh Almarhum Tok Guru Nik Aziz menganggotai Majlis tertinggi PAS itu antara tahun 1993-1994. Jadi pada tahun 2009, saya mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan Naib Presiden PAS serta memberi laluan kepada muka baharu sebagai Pesuruhjaya PAS Perak. Tetapi hakikatnya ketika itu, krisis antara kelompok agamawan dan profesional semakin meruncing dan ia berakhir pada pemilihan PAS tahun 2015 di Kuala Selangor. Di situ saya, Mohamad Sabu dan sekumpulan golongan profesional tersingkir dalam pemilihan tersebut. Bagi saya motivasi untuk menentang Hj Abdul Hadi Awang sebagai Presiden PAS dalam pemilihan tersebut bukanlah untuk betul-betul menang. Sebaliknya saya mencabar beliau sebagai ‘wake-up call’ kepada beliau selaku Presiden PAS yang telah memimpin 12 tahun ketika itu. tujuannnya untuk Hj Abdul Hadi bermuhasabah atas kepimpinan beliau dan bersikap tidak berat sebelah dalam menguruskan dua kelompok yang sedang bertembung ini. Namun, Hj Abdul Hadi menyebelahi golongan agamawan dan merestui pertembungan cai yang dibentuk oleh kelompok yang ingin menyingkirkan kami.

Sejak detik itu saya bersama Mohamad Sabu, Almarhum Salahuddin Ayub dan Anuar Tahir menjelajah ke seluruh Malaysia bagi menubuhkan AMANAH yang diambil alih daripada Parti Pekerja.

2. Keberanian Ustaz telah pun berjaya meyebabkan sebahagian ahli PAS menyertai AMANAH. Mungkin itu kemuncak perjuangan Ustaz. Lalu Ustaz boleh berehat sebagai ahli politik. Tetapi kenapa Ustaz memilih untuk bersama-sama dalam kepimpinan AMANAH hingga kini?

Saya melihat soalan ini ada dua jawapan. Pertamanya selepas tertubuhnya AMANAH saya dipilih menjadi Penasihat Umum AMANAH. Meskipun jawatan Penasihat Umum ini jauh berbeza dengan jawatan Mursyidul AM PAS, tetapi peranannya seakan-akan sama. PAS mempunyai Majlis Syura Ulamak yang diketuai oleh Mursyidul AM dan dianggotai sekelompok ahli agamawan, AMANAH juga mempunyai Majlis Penasihat Pakar(MPP) yang dianggotai oleh sekumpulan anggota pakar pelbagai bidang(bukan sahaja agama) yang diketuai oleh saya sebagai Penasihat Umum.

Saya juga mempunyai seorang Timbalan Penasihat Umum iaitu Ustaz Ghani Shamsuddin yang membantu saya. Saya sendiri yang memohon kepada kepimpinan AMANAH untuk melantik Ustaz Ghani sebagai timbalan saya yang mempunyai kemahiran dalam bidang IT dan agama. Saya ingat lagi dalam program NUNJI kali pertama, saya minta Ustaz Ghani bersama-sama kami dalam kepimpinan AMANAH.

Bagi saya, kedudukan AMANAH yang dipimpin oleh kelompok profesional perlunya ada wajah-wajah agamawan yang dikedepankan dalam AMANAH. Malah MPP yang berperanan saya penasihat kepada gerak kerja parti AMANAH perlukan sentuhan agamawan bagi meningkatkan keyakinan orang melayu Islam kepada AMANAH.

Kedua, setelah saya kami memutuskan untuk tidak lagi menyertai PAS dan menubuhkan AMANAH, usaha saya untuk memerangi pemikiran jalur keras Presiden PAS, Hj Abdul Hadi Awang perlu diteruskan. Jika ia masih dibiarkan menyerap kepada pemikiran masyarakat, kita  akan melihat masyarakat saling bermusuhan akibat pemikiran jalur keras itu. Oleh itu dengan bersetuju memikul amanah sebagai Penasihat Umum, saya masih boleh berperanan untuk membendung pemikiran jalur keras melalui syiar AMANAH dan politik.

3. Ustaz dan Ustaz Ghani antara wajah-wajah agamawan yang terhad dalam kepimpinan AMANAH. Boleh dibilang jumlah agamawan dalam AMANAH yang terkehadapan. Tetapi masyarakat tidak menganggap Ustaz sebagai agamawan berbanding ustaz muda yang baru setahun jagung masuk PAS. Boleh Ustaz ceritakan sikit kerjaya Ustaz sebelum menyertai politik?

Ramai yang mengangap apabila kita duduk dalam AMANAH dan meninggalkan PAS kita juga berkurang nilai agamanya, sedangkan pengalaman saya sebagai pendakwah amatlah panjang. Saya merupakan pegawai kerajaan terawal yang memimpin Pusat Dakwah Islam Malaysia. Pusat ini merupakan Bahagian Hal Ehwal Agama Islam dibawah Jabatan Perdana Menteri yang kini dikenali sebagai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM).

Tahun 70an saya dilantik sebagai Pengarah Dakwah dan Latihan Islam, Bahagian Agama di Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum saya ditukarkan ke Kementerian Pelajaran pada 1980 dan kembali semula ke Bahagian Agama JPM.

Dalam perkhidmatan ramai yang tak tahu saya antara nama-nama yang sering dipanggil oleh Tun Mahathir ketika itu atas sebab-sebab tindakan saya ketika itu yang tidak disenangi oleh kerajaan. Bayangkan pada tahun 70an, amalan minuman keras dalam sektor awam masih banyak. Teguran saya kepada isu ini tidak menyenangkan kepimpinan era itu. Malah ketika Tun Mahathir menjadi Menteri Pelajaran sebelum menjadi Perdana Menteri, saya pernah dipanggil atas ketidapuasan hati saya pada sekelompok remaja membuli rakan sebaya mereka dengan dipaksa menelan air arak ketika berorintasi di kolej.

Saya diminta untuk tidak membangkitkan isu tersebut, tetapi sebagai orang yang bertanggungjawab dalam urusan keagamawan dalam kerajaan saya perlu menyatakan kebenaran. Itu prinsip yang saya pegang.

Saya sering ditukar-tukar jabatan bagi mendiamkan peranan saya dalam kerajaan, tetapi ia tidak pernah mematikan semangat dan peranan saya sebagai pendakwah dalam kerajaan. Saya dan seorang mufti Selangor antara agamawan yang sering berlaga angin dengan Tun Dr. Mahathir ketika era beliau memerintah 22 tahun.

Ketika peristiwa Memali berlaku era 80an, saya antara penjawat awam yang tegas mengiktiraf mereka yang terkorban dalam peristiwa tersebut dianggap mati syahid. Sehingga kini, saya tidak berganjak dengan pendirian saya. Ini tidak digemari oleh Tun Dr. Mahathir dan Majlis Fatwa Kebangsaan ketika itu. Sebaliknya, Hj Abdul Hadi yang sama-sama berpendirian jelas dengan saya soal Memali, kini menyembunyikan pendiriannya setelah mula bekerjasama dengan Tun Dr. Mahathir demi menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Dan ingatlah akan karunia Allah kepadamu dan perjanjian-Nya yang telah diikatkan kepadamu, ketika kamu mengatakan, “Kami mendengar dan kami menaati.” Dan bertakwalah kepada Allah, sungguh, Allah Maha Mengetahui segala isi hati. – Ayat 7, Surah Al-Maidah

Peranan saya dalam proses islamisasi kerajaan Malaysia dari tahun 70an hinggalah bersara membolehkan saya mempunyai hubungan rapat dengan pegawai-pegawai besar dalam kerajaan. Hinggakan ketika HARAPAN berjaya menumbangkan BN pada tahun 2018, wakil raja-raja melayu memanggil saya selaku tokoh agamawan dalam HARAPAN untuk memberikan taklimat keadaan sebenarnya kerajaan HARAPAN yang bakal dibentuk.

Saya juga merupakan bekas Yang Dipertua Persatuan Ulamak Malaysia kira-kira 17 tahu sebelum digantikan oleh Ustaz Ghani Shamsuddin. Lain-lain pertubuhan yang pernah saya pimpin adalah Persatuan Bekas Mahasiswa Islam Timur Tengah, Persatuan Bekas Pelajar Maahad Al-Ehya’ Ash-Shariff Gunung Semanggol dan Persatuan Pelajar Kolej Islam Malaya.

Saya juga pernah menjadi Pengerusi Panel Syariah Bank Pembangunan dan Infrastruktur Malaysia, Timbalan Pengerusi Panel Syariah Bank RHB, dan anggota Panel Syariah beberapa institusi kewangan yang lain. Di peringkat antarabangsa, saya pernah dilantik sebagai ahli Persidangan Agung Dakwah Islam Sedunia Libya, ahli senat Universiti Islam Baghdad Iraq dan ahli Persidangan Himpunan Islam Republik Islam Iran.

Pengalaman dalam pentadbiran Islam dan pertubuhan dakwah yang saya dapat memudahkan urusan AMANAH selaku satu-satunya parti Islam dalam PERPADUAN untuk memperkukuhkan syiar Islam dalam kerajaan.

4. AMANAH telah mencapai umurnya 8 tahun Ustaz, dalam tempoh tersebut sebanyak dua kali kita diberi tanggungjawab sebagai kerajaan pusat. Tetapi AMANAH dikatakan kurang berjaya menguasai kelompok melayu Islam dan prestasinya dalam PRU 2018 dan 2022 merosot. Apa yang Ustaz boleh katakan situasi ini?

Perjalanan AMANAH yang sangat panjang memberi kesan bukan sahaja kepada AMANAH itu sendiri, malah kepada dunia politik Malaysia. Jika tidak ditubuhkan AMANAH, pastinya keputusan PRU 2018 berbeza dengan apa yang telah berlaku. Malah hari ini, jika AMANAH,DAP dan UPKO tidak ada sebagai parti setiakawan kepada Anwar Ibrahim melalui HARAPAN, mungkin Anwar tidak dilantik sebagai Perdana Menteri selain sokongan BN dan wilayah Sabah serta Sarawak.

Tetapi saya harus akui bahawa ledakan politik orang melayu Islam, masih belum tertumpu kepada AMANAH. Berbanding UMNO dan PAS yang ditubuhkan separuh lebih 50 tahun yang lalu, AMANAH masih muda dan masih sedang bertarung untuk mengekalkan keberadaannya dalam politik Malaysia.

Jujurnya saya yang diberikan tugas mengetuai MPP dalam AMANAH mahukan MPP diberikan ruang lebih besar sama ada dalam AMANAH mahupun Kerajaan Perpaduan. Hal ini demikian kerana, mereka yang menganggotai MPP bukan orang biasa, mereka pakar dalam bidang masing-masing termasuk bekas  Hakim Mahkamah Tinggi Malaysia, Tan Sri Dato’ Mohamad Ariff bin Md Yusof yang juga Yang Dipertua Dewan Rakyat era Pakatan Harapan memerintah. Kepakaran yang ada ini saya yakin mampu membentuk pelbagai cadangan dan solusi terhadap sesuatu masalah dan perkara pokok, maka tidak wajar peranan MPP dikesampingkan.

Lebih mengecewakan jika cadangan MPP tidak dijadikan asas kepada kepimpinan AMANAH untuk membuat keputusan parti, ini akan merencatkan perkembangan AMANAH dalam arus nasional. Sedangkan peranan kami sebagai penasihat, maka seharusnya pandangan kami menjadi titik tolak kepada AMANAH.

Kedua, saya melihat proses perkaderan yang ada dalam AMANAH kurang membumi dan memberi impak berpanjangan kepada AMANAH. Selaku Penasihat Umum, saya sering dijemput menyampaikan tausiah saya kepada program-program perkaderan dalam AMANAH. Ada melalui pemudanya, melalui Biro Sumber Manusia dan lain-lain. Tapi ia tidak berpanjangan. Lepas sekali dilaksanakan, ia hilang dan kelompok lain pula buat program.

Situasi ini menyebabkan kesan baik proses perkaderan tidak berjaya diterjemahkan dalam keahlian AMANAH. Malah tidak konsisten dalam melaksanakan program ini menyebabkan sukatan atau isi perkaderannya saling bercampur-baur.

Kita sedar NUNJI yang dikelolakan oleh Naib Presiden AMANAH, Dr. Mujahid Yusof Rawa sering mengadakan himpunannya saban tahun. Tetapi resolusi atau hasil himpunan tersebut kurang diberikan perhatian dan dijadikan sandaran oleh ahli-ahli AMANAH.

Secara ringkasnya, pengisian dalam perjuangan AMANAH tidak berjaya dipasakkan dalam jiwa ahli-ahli. Dan jika ini berterusan, AMANAH akan mengalami penurunan keahlian kelak. Ini kerana mereka tidak didampingi dan tidak didoktrinkan dengan perjuangan AMANAH yang membolehkan mereka bertahan dalam AMANAH.

Malah orang melayu Islam juga tidak berjaya didekati oleh ahli AMANAH kerana  tiadanya syiar yang kita panjangkan kepada orang awam. Sedangkan kita perlu terima hakikat bahawa orang melayu Islam mahupun imej ataupun pengisian dalam politik mereka. Imej Islam telah digunakan oleh PAS, maka sepatutnya pendekatan membawa pengisian Islam dalam politik mesti dipimpin oleh AMANAH.

5. Ustaz juga antara yang sentiasa bersama dengan perjuangan Anwar Ibrahim, sejak era Reformasi sehinggalah kini. Setahun Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia, apa pandangan Ustaz terkait kepimpinan beliau dan Kerajaan Perpaduan?

Anwar Ibrahim ini Perdana Menteri menanti yang paling lama. Setiap PRU kita mengharapkan beliau berjaya menang dengan kerusi yang mencukupi sehingga boleh diangkat sebagai PM. Setelah Tun Dr. Mahathir menumpang pasukan Pakatan Harapan dan berjaya menumbangkan BN, itu pun belum dapat memastikan Anwar mengambil alih pemerintahan. Kecelaruan antara beliau dan Tun menatijahkan Langkah Sheraton. Tumbang kerajaan dan Anwar terus menjadi PM yang didambakan.

Namun PRU 2022 dilihat sebagai percubaan terakhir Anwar untuk menjadi PM. Allah takdirkan kita bersama-sama membentuk kerajaan persekutuan dengan kerjasama BN. Gabungan yang tidak pernah terfikir dalam akal. Tetapi Anwar menjadi PM dan semua parti kecuali Perikatan Nasional menjadi kerajaan. Setakat itu ia tetap ok meski suasana awalnya celaru.

Pelbagai gabungan dalam kerajaan Anwar ini yang kita dapat lihat Ahli Parlimen Tambun itu benar-benar kental menguruskannya. Ia rumit dan memenatkan. Namun itulah yang Allah izinkan. Adapun semua aspirasi beliau yang digagaskan sejak 1998 dahulu, tidak mudah dilaksanakan segera kerana kerumitan pelbagai parti dalam kerajaan tadi.

Satu demi satu harus dinilai dan dirunding semua pihak. Agar tidak ada parti dalam kerajaan rasa terpinggir. Hasilnya setakat ini, Anwar berjaya memimpin Malaysia pada landasan yang lebih baik dari sebelum ini. Kejayaan Anwar mengurus kepelbagaian itu menjadikan politik kerajaan stabil dan mampu bergerak.

Seterusnya Anwar perlu merangka pelbagai langkah untuk menjadi Malaysia kembali berbisa seperti yang diimpikan oleh beliau dengan kerjasama semua parti dalam Perpaduan. Malah DAP yang sentiasa menjadi igauan Melayu Islam dalam setiap PRU, dibawah pimpinan Anthony Loke, DAP dilihat lebih terbuka, berada pada jalur sederhana dan punya semangat muhibah. Ini salah satu faktor Kerajaan Perpaduan berjaya dibentuk.

Saya masih melihat Anwar masih memerlukan ruang untuk bercakap perihal politik untuk menangkis serangan PN. Sedangkan peranan itu boleh diberikan kepada Rafizi selaku Timbalan Presiden KEADILAN mahupun Mohamad Sabu selaku orang nombor dua dalam kepimpinan HARAPAN. Jelas, semua tanggungjawab politik kerajaan diletakkan atas beban Perdana Menteri, yang akan melelahkan beliau. Sepatutnya Pengerusi HARAPAN itu perlu menumpukan kepada hal pentadbiran kerajaan sahaja dan memberikan kepimpinan HARAPAN dan BN untuk melaksanakan strategik politik.

Kedua, Anwar diharapkan membentuk kumpulan penasihat yang dianggotai oleh pejuang-pejuang lama yang bersama beliau demi menasihati beliau dalam langkah-langkah menangkis serangan peribadi kepada beliau.

Kita tahu imej Anwar dijatuhkan melalui permainan politik  seksual, agen Amerika dan elemen-elemen yang anti melayu Islam.

Dengan membentuk pasukan penasihat yang telah bersama Anwar bertahun lamanya itu, mereka dapat menelurkan idea dan cadangan bagi memprojekkan imej Anwar yang sebenar.

Nasihat saya ini bukan untuk melemahkan semangat beliau dan pasukan. Sebaliknya mahu melihat Anwar dan Kerajaan Perpaduan berjaya menerajui tugasan Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu ini sehabis baik. Kesannya kerajaan ini akan dibentuk beberapa penggal dan Malaysia akan menjadi negara maju, bertamadun, penuh ihsan dan berdaulat.

6. AMANAH memasuki fasa pemilihan kali kedua sepanjang ia ditubuhkan. Pastinya setiap fasa pemilhan, kesepaduan parti akan terjejas buat seketika. Sebagai Penasihat Umum AMANAH. Apa nasihat kepada ahli dan kepimpinan AMANAH sempena pemilihan parti dan 8 tahun tertubuhnya AMANAH?

Saya boleh menasihatkan ahli AMANAH seluruh negara, namun ia semua bergantung atas semangat jemaah mereka dalam parti. Saya benar-benar mengharapkan pemilihan kali ini tidak menjentik elemen keperibadian sehingga melemahkan parti. Malah pertarungan ini hanyalah perlumbaan melakukan kebaikan tanpa ada sebarang perkara yang boleh memusnahkan sifat kasih sayang antara satu dengan yang lain. Jangan hanya kerana posisi, kita saling londeh-melondehkan aib orang. Kerana kedudukan, kita sanggup mencipta bibit perpecahan yang pastinya akan merencatkan perkembangan AMANAH.

Sebahagian besar kita berasal daripada PAS. Mengapa kita keluar dan menubuhkan AMANAH? Kerana kita tidak bersetuju dengan amalan perpuakan melampau serta pemikiran jalur keras kelompok dalam PAS. Oleh itu, jangan pula kita melakukanya dalam parti AMANAH ini, sedangkan AMANAH baru masuk 8 tahun dan masih perlukan kesepaduan dan kekuatan jemaah untuk membentuk keupayaan AMANAH yang lebih baik.

Jujurnya saya mengharapkan setelah 27 calon dipilih oleh perwakilan semasa konvensyen nanti, memberikan sedikit ruang kepada MPP khususnya memberikan cadangan siapakah yang sesuai dan layak menduduki lima tangga keatas kepimpinan parti. Pastinya ia bukan untuk mengangkat atau menolak sesiapa, tetapi mahu memastikan setiap mereka yang dipilih akan diletakkan mengikut keupayaan mereka lalu dapat membangunkan parti dengan lebih pesat.

 AMANAH merupakan sebahagian daripada kerajaan persekutuan dan negeri setelah berumur 8 tahun. Pastinya ahli AMANAH diberi tanggungjawab dalam apa-apa kedudukan pentadbiran. Oleh itu, sikap bersyukur dengan tanggungjawab itu perlu diterjemahkan dengan amalan dan kesungguhan.

Ahli AMANAH yang dipertanggungjawabkan itu mestilah mengangkat peranan parti AMANAH dalam setiap sendi yang mereka masuk. Wajah AMANAH mesti dijelmakan agar kita mampu mencengkam pemikiran masyarakat.

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”. – Ayat 7, Surah Ibrahim.

Lebih utama lagi, ahli AMANAH perlu sentiasa ingat, AMANAH satu-satunya parti Islam yang ada dalam HARAPAN dan Perpaduan, oleh itu akhlak, perjuangan, pendekatan dan solusi yang dibawa mestilah berpaksikan Islam dan haruslah memberi manfaat kepada Islam dan bukan Islam. Dengan itu kita berjata mempersembahkan kepimpinan Islam yang selaras dengan konteks Malaysia. Selamat berkonvensyen dan Selamat memilih.  – SelangorToday

Exit mobile version