Setahun Kerajaan Perpaduan memerintah Malaysia, pelbagai demensi baru telah dicetuskan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim termasuklah tatakelola kerajaan, reformasi institusi dan menokhtahkan kemiskinan tegar menjelang 2024. Pengarang Portal SelangorToday, Cikgu Syazmir berjaya menemubual bekas Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkefly Ahmad bagi mengulas situasi ekonomi negara, perjalanan pentadbiran dan masa depan Parti AMANAH Negara sebagai salah satu parti komponen pemerintah dalam slot Temu Mata SelangorToday.
Bagaimana YB melihat Belanjawan MADANI 2024 ini? Adakah ia benar-benar satu tekad daripada Perdana Menteri untuk memulihkan ekonomi negara?
Ringkasnya, Belanjawan 2024 kali ini, memperlihatkan komitmen Perdana Menteri, selaku Menteri Kewangan, untuk mengurangkan defisit fiskal negara. Untuk peringatan, defisit fiskal negara tahun 2023 adalah 5% nisbah KDNK, manakala tahun 2024 disasarkan untuk diturunkan ke paras 4.3%, dalam unjuran untuk menurunkan ke paras 3% dalam masa 3 ke 5 tahun.
Walaupun tekad beliau untuk mengawal defisit fiskal, namun beliau masih berjaya mencerakinkan belanjawan yang bersifat ‘mengembang’ atau ‘expansionary’, (berbelanja melebihi hasil/pendapatan), tetapi, mengawal hutang secara pruden (bijak), supaya negara mampu memacu pertumbuhan ekonomi yang diunjurkan sekitar 4.0 hingga 5.0% untuk 2024, berbanding 4% untuk tahun 2023. Itu adalah angka-angka besarnya, unjurannya yang saya kira berani dan sedikit optimis, berdepan dengan ‘global headwinds’ atau cabaran dunia yang tidak menentu seumpama perang Ukraine-Rusia (kini Gaza-Isreal), ekonomi Cina yang sedikit melembap dan perubahan iklim (kenaikan harga komoditi dan input kos yang tinggi).
Maksudnya Kerajaan Perpaduan membawa dua tumpuan yang semacam saling bersilang atau bertentangan, iaitu mengurangkan defisit fiskal (kurangkan berhutang sekaligus kurangkan bayaran perkhidmatan hutang tahunan), tetapi dalam masa yang sama, tetap memperuntukkan belanjawan yang besar (bahkan terbesar iaini RM393.8 bilion), dengan pinjaman sebanyak RM90 bilion untuk pengurusan pembangunan, demi mencapai kesejahteraan rakyat dengan menjana pertumbuhan yang disasar.
Bagaimana Menteri Kewangan mahu mengimbangi dua tujuan Bajet ini, telah menjadi kunci dan topik perdebatan Ahli-Ahli Parlimen di Dewan Rakyat. Munasabah dan mampu dicapaikah? Atau seperti didakwa sesetengah pihak pembangkang, sebagai Bajet Retorik atau tidak realistik?
Semua Ahli Parlimen berhak untuk membuat analisis masing-masing. Cuma, bagi saya, yang tidak faham strategi dan pendekatan disebalik pemikiran Bajet ini, akan mendakwa ini Bajet Retorik.
Tegasnya, defisit fiskal akan dapat dikurangkan apabila Kerajaan ini dapat, antara lainnya, menjalankan 2 perkara berikut untuk meningkatkan hasil dan pendapatan;
- Dengan perkenalkan cukai-cukai baru seperti 10% Cukai Keuntungan Modal (CGT), 5% -10% Cukai Barangan Mewah dan kenaikan kadar Cukai SST dari 6% ke 8%. Mengurangkan ketirisan dalam sistem percukaian dengan penegnalan E-invois dan Nombor Identifikasi Perdagangan atau Trade Identification Number (TIN). Beberapa cukai lain seperti Cukai Minimum Global (MGT) dan GST diunjurkan dilaksana dalam tahun berikutnya, 2025.
- Penjimatan dari pendekatan penyasaran subsidi atau ‘rasionalisasi subsidi’, dianggarkan sebanyak RM12bilion akan diberikan kepada golongan yang memerlukan iaini B-40. Sejumlah RM2 bilion dari itu akan diperuntukkan kepada Sumbangan Tunai Rahmah (STR). Ini akan memenfaatkan sebanyak 60% rakyat. Selainnya bolih digunakan untuk kegiatan pembangunan dan pelbagai lagi.
Bagi saya itulah rangkuman Bajet 2024 secara mudahnya. Beliau berusaha keras untuk mencapai ‘kemampanan fiskal’ dengan menjana sumber hasil baru, serentak mengurangkan jumlah subsidi dengan cara ‘penyasaran’. Sementara itu, beliau masih boleh berbelanja agak besar untuk mengutamakan perkhidmatan dan permasalahan rakyat termasuk menyelenggarakan tandas awam (RM150juta), jalan raya (RM2.8bilion) dan ganti lampu jalan dengan LED (RM100juta) serta RM2.4bilion diperuntukkan untu baikpulih kuarters penjawat awam.
Sementara itu, kita jangan lupa, hasil cukai akan meningkat apabila ekonomi berkembang. Melalui dasar-dasar seperti penambahbaikan yang diperkenalkan semasa Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12, termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) dan terdahulu, Ekonomi Madani dengan 7 penanda aras yang mencabar keupayaan ekonomi negara. Kerajaan Madani berusaha keras struktural ekonomi negara, sementara juga membuat pelaburan untuk mengaleh kepada Tenaga Boleh Perbaharu (RE), yang lebih bersih dan hijau dalam NETR bagi menjayakan pelepasan karbon sifar pada 2050. Semua ini akan merancakkan ekonomi negara bukan sahaja untuk Bajet 2024, bahkan tahun-tahun mendatang.
Dari semua ini diharapkan akan menggamit pelaburan asing langsung (FDI) dan merancakkan pelaburan dari sumber dalaman negara sendiri (DDI). Pelaburan FDI dan DDI ini akan menjana pertumbuhan, pekerjaan dan industri-industri yang mempunyai niali-tambah yang tinggi, bagi menjana pendapatan yang lebih baik dan akhirnya memacu sebuah negara yang berpendapatan tinggi, sekaligus terkeluar dari gejala kronik ‘Middle-Income Trap’.
Penamatan beberapa subsidi atau rasionalisasi subsidi lebih jadi tumpuan pembangkang dan orang awam, berbanding usaha-usaha kerajaan membangunkan ekonomi negara? Adakah langkah kerajaan itu tepat YB?
Dari satu segi, memang betul rakyat takut kehilangan subsidi kerana takut harga barang akan naik. Barang-barangan terkawal semuanya disubsidi kerajaan, sebab itu harganya ditetapkan oleh kerajaan. Subsidi ayam-telur adalah sebanyak RM4bilion, subsidi elektrik RM5bilion, subsidi diesel RM2bilion dsbnya seperti juga minyak masak.
Dilaporkan bahawa Kerajaan membelanjakan untuk tahun 2023 sebanyak RM81bilion. Lazimnya semua subsidi sehingga kini, diberikan secara pukal atau tidak bersasar (blanket), maka semua segmen rakyat dapat, samada B-40 atau T-20 atau golongan kaya. Pendekatan ini pastinya tidak pruden atau tidak wajar dan tidak mampan untuk jangka jauh.
Dengan kata lain, kalau subsidi diberikan secara bersasar hanya kepada B-40, maka jumlah subsidi dapat dikurangkan. Penjimatan akan dapat dihasilkan. Lebih baik lagi, kalau ‘harga celing’ ke atas barangan yang dikawal seperti beras atau ayam, ditarik balik secara berperingkat. Subsidi pula tidak perlu diberikan kepada pengeluar, dan mereka ‘bebas’ untuk menentukan harga yang menasabah untuk dijual, mengikut permintaan pengguna serta pesaingan bekalan yang ada dalam pasaran. Harga akan akhirnya ditentukan oleh kuasa pasaran yang tertakluk kepada ‘Bekalan & Permintaan’.
Dengan kata lain, kita tidak lagi ‘mengherot’ (distort) pasaran dengan campurtangan kerajaan samada melalui subsidi atau penentuan ‘harga ceiling’ termasuk harga ‘lantai’. Akhirnya harga akan menjadi lebih stabil serta bekalan pun akan menjadi lebih banyak sebab pengeluar tidak takut untuk mengeluar produk mereka, sebab bolih menjual dengan harga yang lebih munasabah dengan kos input yang ditentukan oleh faktor-faktor global yang lazimnya di luar kawalan dan bersifat ‘inflasi yang diimport’.
Penjimatan dijana oleh Kerajaan adalah agak lumayan. Subsidi diberikan terus kepada segmen rakyat B-40, yang memerlukan guna untuk membantu mereka untuk mengurangkan bebaban kos sara hidup.
Yang penting, sementara kerajaan membuat penjimatan yang agak lumayan, yang kini boleh diberikan kepada kelompok B-40 untuk membantu mereka, penjimatan itu juga boleh digunakan untuk perbelanjaan pembangunan infrastruktur dan antara lain boleh membantu membangunkan Perusahaaan Kecil-Sederhana (PKS), yang bolih dipertingkatkan nilai tambah yang lebih tinggi serta diautomasi (lebih efisien) dan juga mempunyai kesan-berganda yang lebih baik, bagi memacu pertumbuhan yang lebih pesat serta menjana pekerjaan yang lebih besar gaji dan upahanya.
Adakah KPDN bersedia untuk tidak keterlaluan mengawal inflasi sehinggakan bebanan itu tidak mampan dalam jangka masa panjang?
Kita sangat suka dan bangga dengan kadar inflasi negara yang rendah secara ‘artificial’, kerana bantuan subsidi, sedangkan dalam masa yang sama kenaikan inflasi yang munasabah iaini antara 1-2%, lazimnya adalah akibat faktor-faktor global yang sukar dielakkan, seperti perubahan iklim dan kesan ke atas harga komoditi dan kos pengeluaran, gugatan geo-politik ke atas rantaian bekalan atau juga kerana kejatuhan nilai matawang kita dsbnya. Maka untuk mengurus kadar inflasi yang menusabah (1-2%) wajar difahamkan kepada rakyat, sebab inflasi hampir sukar untuk dielakkan sama sekali.
Namun, yang lebih penting dan mustahak untuk Kerajaan perkasakan adalah pendapatan serta keupayaan rakyat. Ini juga tidak bermaksud tertumpu kepada isu ‘gaji minima’. Lebih penting adalah ‘universal living wages’ atau ‘gaji kehidupan wajar’ atau ‘gaji sara hidup’, yang mana 50% rakyat Malaysia masih tidak capai, meskipun mereka melepasi ‘gaji minima’.
Purata paras gaji kehidupan wajar adalah untuk yang bujang ialah RM2,700, pasangan tanpa anak ialah RM4,500 dan pasangan dengan dua anak ialah RM6,500. Kalau ini dapat dipastikan maka, ia membantu rakyat untuk mempunyai ‘pendapatan boleh berbelanja’ atau ‘disposable income’ yang lebih baik supaya mereka punya keupayaan untuk menangani tekanan inflasi yang memang tidak dapat dielakkan kerana factor-faktor yang telah saya sebutkan tadi. Maka dengan penfapatan rakyat dapat dinaikkan, kerajaan tidak perlulah untuk mengawal kadar inflasi dengan terlalu banyak berbelanja untuk subsidi pelbagai barangan kawalan sehingga terbeban dengan berbilion ringgit, yang mungkin lebih baik dibelanjakan untuk pembangunan merancakkan pertumbuhan ekonomi.
Maka dengan penyasaran subsidi yang dilaksanakan, juga kenaikan cukai tertentu, serta pelaksanaan ‘gaji kehidupan wajar’ akan membantu kerajaan mengurangkan subsidi sekaligus dapat melaksanakan aspek perlindungan sosial dengan lebih berkesan atau efektif seperti bantuan rahmah kepada yang memerlukan. Seterusnya dengan nilai ihsan, kita dapat mengangkat martabat rakyat secara terangkum (inklusif) dengan pekerjaan bermakna dan gaji bermaruah. Sebagai contohnya suntikan RM200juta untuk meneruskan inisiatif Payung Rahmah, Jualan Rahmah, Menu Rahmah dan Bakul Rahmah, semua ini dapat juga membantu rakyat untuk mendepani kos sara hidup yang tinggi.
Orang Melayu kita atau rakyat biasa lebih banyak terlibat dengan sektor Perusahan Mikro, Kecil dan Sederhana(PMKS). Adakah Kerajaan telah menumpukan kepada usaha memperkasakan hal ini berbanding pelaburan industri besar YB?
Sedar atau tidak, tonggak bagi ekonomi negara adalah Perusahan Mikro, Kecil dan Sederhana(PMKS). 97% industri kita adalah dari PMKS serta 67% tenaga kerja kita bekerja di sektor PMKS. Kerajaan perlu memperkasakan PMKS dengan Inovasi, R & D dan Teknologi yang lebih produktif. Oleh itu, kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM44 bilion kepada PMKS.
Daripada itu Kerajaan Madani turut menyediakan kemudahan pinjaman kecil kepada usahawan mikro dan peniaga kecil melalui Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Negara Malaysia serta TEKUN (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga) dengan keseluruhan dana sebanyak RM2.4bilion.
Kerajaan Madani juga dilihat begitu serius dalam memulih dan menyuntik pembangunan negara dengan penubuhan Jawatankuasa Tindakan Penyelarasan Pelaburan dan Perdagangan (JTPPP) untuk mempastikan agihan pelaburan adalah lebih seimbang dan merata di seluruh negeri dan wilayah. Penubuhan JTPPP mampu menggamit pelaburan yang besar dan akhirnya limpahan pelaburan itu akan mengalir keseluruh negara dan bukan hanya tertumpu di Kuala Lumpur dan Putrajaya. Pelaburan yang bernilai tinggi itu bakal menjana pekerjaan dan gaji yang lumayan.
Sejak Kerajaan Perpaduan ditubuhkan, YB diberikan tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen – Kesihatan. Setelah hampir setahun berlalu, bagaimana peranan JKPKP Kesihatan dijalankan? Bagaimana ia memberi nilai tambah kepada kerajaan?
Kalau kita ambil penanda aras negara-negara Barat yang mengamalkan demokrasi ala-Westminster, seperti di negara kita, setiap Rang Undang-Undang(RUU) yang dibentangkan selepas selesai perbahasan dan undian peringkat Dasar, dia dibawa ke peringkat Jawatankuasa. Di negara lain, di peringkat jawatankuasa inilah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen(JKPKP) akan berperanan membahas dan menilai sesuatu RUU atau dasar serta polisi negara.
Apa perlunya perbahasan di peringkat jawatankuasa diberikan kepada JKPKP? Ini bagi memastikan setiap RUU tersebut mendapat keterlibatan semua pemegang taruh selain ahli Dewan Rakyat. Bermakna pemegang taruh seperti pemain industri, pakar akademik, badan profesional dan Badan-Bukan Kerajaan(NGO).
Begitu yang dibuat oleh kami Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Kesihatan ketika mengelolakan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023, sebanyak 13 pusingan libat urus diadakan termasuk pakar-pakar dari Universiti Awam dan Swasta serta Kementerian selain Kementerian Kesihatan Malaysia seperti KPKT dan KPDN. Ini bagi memastikan semua pihak dari atas sampai ke bawah, dapat memberi mmaklumbalas dan pandangan sebelum RUU diluluskan sepenuhnya.
Saya dan JKPK-Kesihatan berperanan sebagai pembuat undang-undang dengan bebas memanggil sesiapa sahaja termasuk menteri dan pihak birokrat dan teknokrat, bagi mendapatkan penjelasan dalam satu pertimbangan RUU. Malah kami harap dapat mendahului yang lain serta menjadi ikutan kepada JKPKP yang lain.
Peranan kami dalam meneliti RUU Kawalan Produk Merokok dan Generasi Penamat Merokok (GEG) yang baru sahaja selesai kami semak adalah contoh semasa. Saya juga menegaskan bahawa kedudukan saya sebagai Pengerusi dalam JKPKP ini merentas parti politik dan berperanan sebagai penyemak imbang kepada sesuatu RUU secara neutral dan bertindak sebagai komplimentari dan juga semak-imbang kepada peranan ‘Front-Bench’ atau Kabinet.
Akhirnya, cadangan-cadangan Penyata Pindaan RUU itu telah kami serahkan kepada Menteri KKM, yang akan membuat pembentangan RUU tersebut kepada Kabinet dalam format Memorandum Jemaah Menteri (MJM). Hanya ketika MJM sudah dibentang dan diluluskan oleh Kabinet , maka RUU bersedia dibentang untuk Bacaan Kali-2 sekaligus untuk diperbahaskan oleh ‘Ahli-Ahli Yang Berhormat di Dewan Rakyat serta dibelahbagi untuk diundi untuk kelulusan.
Banyak YB dah usahakan sebagai Pengerusi JKPKP Kesihatan sehingga hari ini. Jika YB ditawarkan untuk kembali menyertai kabinet, adakah YB mahu?
Kalau ditanya hendak ke kembali ke Kabinet, jawab saya tak nak. Tetapi jika saya diminta untuk mengisi sesuatu keperluan yang PMX rasa saya adalah orangnya, akan saya mempertimbangkan untuk menyertainya. Ertinya kalau PMX mahu saya berperanan, maka PM yang tawarkan, sebab itu hak seorang Perdana Menteri.
Untuk saya melobi jawatan Menteri jujurnya bukan saya orangnya. Begitu juga semasa Kabinet Tun Mahathir dalam Parlimen ke-14, saya juga tidak melobi untuk apa jua jawatan tetapi telah diangkat sebagai Menteri Kesihatan. Saya telah buktikan kerja-buat saya dan rakyat boleh menilai prestasi saya dalam 22 bukan Kerajaan Pakatan Harapan itu.
YB antara orang lama dalam kepimpinan HARAPAN. Terlibat sejak Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat, Pakatan Harapan dan kini Kerajaan Perpaduan, bagaimana YB melihat perjalanan parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan sekarang?
Buat masa ini dalam pembentukan polisi kerajaan tidak mempunyai masalah besar. Saya memberikan pengiktirafan kepada Perdana Menteri yang bukan sahaja bertekad untuk memacu ekonomi negara, malah membawa nilai MADANI atau manusiawi dalam kepimpinan. Agenda ini tidak boleh lari dari mengangkat ‘Karamah Insaniah’ atau dengan izin, ‘Human Dignity’, dalam sebuah negara majmuk dan lazimnya, bersilang tuntutan agama dan budaya.
Keadaan hari ini lebih baik dari segi kestabilan politik berbanding yang sebelum ini. Faktor kestabilan politik ini dan kerancakan ekonomi mampu menggamit pelabur masuk dan melabur ke Malaysia dan ini berjaya dicapai oleh Kerajaan Perpaduan.
Kita punya 4 tahun lagi. Ini akan menjadi penentu kepada kebersamaan Kerajaan Perpaduan. Rakyat melihat kepada penyatuan dan kestabilan Kerajaan yang sedang mengemudi negara. Dalam PRU-15 lalu, tiada sebuah gabungan yang berjaya memperoleh mandat majoriti.
Ia boleh terjadi semula pada PRU-16 akan datang, lalu mustahak untuk Kerajaan Perpaduan menetapkan objektif kebersamaan itu bukan hanya kepada kepentingan parti masing-masing. Sebaiknya ia wajar berlandaskan kepada kesungguhan semua parti untuk terus bersama bagi meneruskan pemacuan yang telah dibuat bagi penggal ke-15 ini.
Melihat kepada dinamika politik hari ini, saya merasakan kita akan terus bersama. Ya, kita tidak ‘sempurna’, bahkan banyak kekurangan. Tetapi kita lebih baik dan ‘sempurna’ apabila kita bersama.
YB sebagai antara penubuh Parti AMANAH Negara, bagaimana YB melihat masa depan AMANAH dalam politik sebagai parti Islam progresif setelah 8 tahun tertubuh dan apakah peranan yg AMANAH boleh mainkan dalam mengangkat kedudukan umat Islam selaku parti Islam Progresif?
Ya, Parti Amanah Negara sudah berusia 8 tahun. Walau pun muda diukur dengan usia parti-parti lain di tanah air, Amanah telah melalui 2 pusingan pilihanraya umum iaini PRU-14, 2018 dan PRU-15, 2022. Dinilai di segi perolehan kerusi di Parlimen, Amanah mendapat 11 kerusi Parlimen pada PRU-14 dengan diberi kepercayaan memimpin 4 kementerian. Pada PRU-15 lalu, Amanah mendapat 8 kerusi Parlimen dan mendapat 2 posisi Menteri penuh.
Mungkin ada yang kata, sukar untuk mengukur kekuatan Parti Amanah Negara ini secara objektif kerana Amanah bertanding pilihanraya sebagai rakan koalisi dalam Pakatan Harapan. Pada saya itulah ukuran kekuatan Parti Amanah Negara, iaini kekuatan strategi dan pendekatan politiknya yang menganjurkan ‘Politik Koalisi’ sebagai asas kekuatan untuk memenangi pilihanraya. Kalau ada yang tak sedar lagi, telah berlalu ‘Politik One-Party Dominant System’.
Mencari rakan-rakan koalisi yang serasi dan mempunyai cita-cita serta objektif-tujuan yang sama itu adalah amat penting. Bukan sekadar ‘Marriage of Convenience’ atau ‘Perkahwinan Ikut Keperluan’ sahaja, kerana ia tidak akan kekal dan rapuh. Justeru, Kerajaan Perpaduan mesti sedar dan insaf bahawa kita bersama untuk menyelamatkan negara dari terus berkebrantakan dan mengekalkan kestabilan demi memacu kembali pembangunan ekonomi, buat mensejahterakan rakyat dan mengembalikan maruah negara-bangsa ini.
Adalah kepercayaan Parti Amanah Negara sejak dari penubuhannya, bahawa negara ini akan hanya mampu ditadbir dengan pendekatan ‘Coalition Building’, dengan izin. Sejurus meninggalkan PAS, selepas Muktamar di Kuala Selangor pada Julai 2105, kumpulan pengasas Parti Amanah segera membina Pakatan Harapan, bersama-sama rakan DAP dan Parti Keadilan Rakyat, seminggu setelah menubuhkan Parti Amanah Negara pada 16 September 2015.
Sebenarnya kekuatan hakiki Parti Amanah Negara bukan hanya terletak kepada pendekatan strategi politik atau organisasinya, yang tidak bergantung kepada karisma atau ‘aura’ seseorang individu pemimpin, bahkan sebaliknya teras kepemimpinan Amanah ini adalah kepada keserasian ‘collective leadership’nya yang padu. Kami baru kehilangan seorang pemimpin yang cukup harum namanya iaini Al-Marhum Datuk Seri Salahuddin Ayub. Sukar mencari ganti posisinya dalam pasukan kepimpinan Amanah sekarang ini.
Menjawab soalan ini secara lebih khusus, saya meletakkan kekuatan masa depan Parti Amanah Negara terkait dengan ‘ideologi parti’ ini. Parti Amanah yang secara jelas meletakkan perjuangan mendukung cita-cita tinggi Syariah atau Maqasid Syariah adalah keistimewaan utama Parti Amanah ini.
Berbeza dengan parti-parti Islam ‘Generasi Pertama’ yang memperjuangkan Islam di segi perlaksanaan Hukum seperti Hudud (RUU 355) dan penubuhan Negara Islam, Parti Generasi Kedua Gerakan Islam, seumpama Parti Amanah Negara, memperjuangkan Islam dalam konteks realiti sesebuah negara-bangsa dan memahami kedudukan Perlembagaan Negara sebagai kerangka asas dalam pembinaan negara-bangsa ini.
Dengan posisi Islam yang termaktub dalam Perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan dengan kedudukan Raja-raja Melayu sebagai penaung agama dan rakyat, serta kedudukan Bahasa Melayu sebagai lingua franca negara ini, Parti Amanah Negara berasa amat selesa dan jelas untuk terus ‘memartabatkan dan menegakkan Islam sebagai dasar perjuangan’ seperti terungkap dalam Perlembagaan Parti Amanah (Fasal 3.1 & 3.2) serta ‘mendirikan sebuah negara dan masyarakat Madani dengan ‘Islam sebagai Rahmat Untuk Semua’ atau ‘Islam Rahmatan lil Aalamin’.
Setelah 8 tahun keberadaan kami dipersada politik negara, amat jelas hari ini bahawa dengan mendukung Cogan-kata Parti adalah ‘AMANAH, PROGRESIF & PEDULI’, parti ini akan terus berperanan dalam Pakatan Harapan untuk memaknakan fundamental atau asas-asas dasar serta tata-kelola Islam dalam pembentukan sebuah Kerajaan.
Melalui satu zaman gelap dalam sesi Parlimen ke-14 lalu, ketika negara dibelenggui satu krisis politik paling panjang dalam sejaah tanah air ini, rakyat yang jujur dan patriotik, sedar dan Insaf akan keperluan menjaga asas-asas pembinaan negara-bangsa ini.
Ternyata antara lainnya, apabila pegangan agama secara melampau (ghuluw), bergandingan dengan politik perkauman yang seolah-olah lupa akan sifat kepelbagaian budaya dan kemajmukan etnik negara-bangsa ini, negara akan berterusan dalam berkebrantakan serta konflik perebutan kuasa politik dengan mengambil corak dan orientasi ‘Identiti Politik’, yang amat toksik, ekstrem dan jumud.
‘Agama dan Kaum-Etnik’, adalah dua ‘identiti’ yang paling mudah disalahgunakan sebagai modal atau kapital politik, sekaligus membawa natijah buruk fenomena serta gejala ‘takfiri’ atau mudahnya ‘mengkafir’ lawan politik sebagai tidak Islam atau kurang Islam berbanding mereka.
Begitu juga ketika identiti ‘kaum dan etnik’ dijadikan modal politik untuk mengkesampingkan serta menafi atau mendiskriminasi kaum minoriti serentak mendominasi pihak minoriti dengan konsep ‘Ketuanan Kaum’ atau sebaliknya membawa pendekatan ‘Politik Ketakutan (Politik of Fear), yang merosakkan keharmonian hidup bernegara.
Di sini letak kekuataan Parti Amanah Negara sebenarnya, yang tahu dan amat sedar akan kerencaman serta saling bersilang pelbagai tuntutan agama, budaya dan kaum. Amanah menganjur serta memperjuangkan pegangan ‘ideologi’nya secara ‘progresif’ dan ‘inklusif’ (terangkum) dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan asas-asas fundamental yang lama disepakati dalam piagam Pakatan Harapan.
Justeru kerana itu, saya berkeyakinan Parti Amanah Negara mempunyai peranan masadepan dan potensi yang besar untuk terus bersama-sama mengemudi negara bersama-sama rakan-rakan dalam Pakatan Harapan dan mutakhir ini dalam Kerajaan Perpaduan bersama Barisan Nasional.
Hanya mereka yang benar-benar insaf tentang peri-pentingnya menjaga kestabilan politik serta keharmonian kaum dan budaya, akan mengambil jalur ‘sentrist’, ‘moderate’ dan ‘progresif’ dalam penganjuran dan advokasi ‘ideologi’ masing-masing. Pastinya mereka yang punya kelainan dan keunikan pegangan ‘ideologi’ tertentu, tetapi tetap mampu ‘Bersatu dan Berpadu’, demi menjaga kemaslahatan rakyat dan pembinaan semula negara tercinta ini. – SelangorToday