SelangorToday

TEMU MATA | SELANGOR MESRA ANAK MUDA?

SIAPA MIRZAN MAJID?

Mere naam, Mirzan Majid. Saya berumur 25 tahun dan berasal dari Teluk Intan, Perak. Saya membesar dan bersekolah di Teluk Intan, Perak. Umur 16 tahun, saya di tawarkan untuk masuk ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS). Selesai dua tahun di KISAS, saya telah ke Jordan untuk melengkapkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Syariah, Fiqh dan Usul Fiqh dengan tajaan penuh Majlis Agama Islam Negeri Perak (MAIPk). Ketika di Jordan, saya cukup aktif dalam kepimpinan pelajar serta mempunyai hubungan yang sangat baik dengan pensyarah-pensyarah termasuk beberapa NGO di Jordan serta pimpinan kerajaan Jordan.

Kejayaan terbesar saya bersama rakan-rakan adalah apabila kami Berjaya menganjurkan sebuah persidangan Antarabangsa Kewangan Islam beberapa bulan sebelum kami bergraduasi. Kami tekankan soal peri pentingnya aktivisme itu disulamkan dengan intelektualisme, idealism dan spiritualisme. Pembacaan buku dan budaya ilmu tidak boleh hanyut. Berfikiran kritis dan terjemahkan ia buat kepentingan masyarakat merupakan tunjang pergerakan kami. Sekembalinya ke Malaysia, saya berkhidmat di Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Putrajaya. Saya diminta untuk menubuhkan kelab Rakan Siswa YADIM (RSY) dan menggerakan aktivisme dalam kalangan anak muda di universiti, politeknik, IKBN, IKTBN serta semua institusi pendidikan dari Semenanjung Malaysia sehingga ke Borneo.

Saya hanya sempat setahun di YADIM dan sekarang saya berkhidmat di Pej YB Exco Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita & Keluarga Negeri Selangor. Saya membantu YB Dr Siti Mariah binti Mahmud untuk menterjemahkan setiap dasar dan polisi kerajaan negeri kepada program-program yang memberi manfaat buat rakyat Selangor khususnya.

SEBAGAI ANAK MUDA YANG TELAH MELIHAT KEPADA PERKEMBANGAN POLITIK SEJAK ERA REFORMASI SEHINGGALAH HARINI, APAKAH YANG TUAN LIHAT KEPADA PERANAN ANAK MUDA ITU SENDIRI DALAM POLITIK SERTA PEMBANGUNAN NEGARA?

Saya melihat peranan anak muda itu sangat penting dan mustahak dalam bidang politik dan pembangunan negara. Kerana apa saya sebut begini? Kerana jika kita melihat, kita telusuri sejara islam itu sendiri, rasul saw, setiap kali ada soal pemperihal pembangunan negara, politik, agama, pertahanan, atau peperangan, atau apa sekalipun, rasul akan menyebut, Wahai sekalian pemuda,sila beri pandangan dan petunjuk kepada aku, tentang apa yang harus aku buat. Ini Ketika zaman rasul. Dan kalau kita melihat sejarah rasul itu sendiri, anak muda adalah golongan yang pertama yang menggangkat dan menerima risalah risalah rasul sebelum orang-orang tua. Orang tua kebanyakkannya akan mengekalkan ajaran nenek moyang mereka.

Alhamdulillah orang muda lebih progressif dan berfikiran lebih terbuka untuk menerima pembaharuan. Cuma jika kita melihat soal peranan anak muda di Malaysia khususnya, kita masih sangat lemah, dan lembab berbanding negara2 barat khususnya yang masih mengekalkan politik bersifat generasi atau ‘hierarchy’. Saya melihat, anak muda ini seharusnya diberi peranan, selagi mereka mempunyai kredibiliti dan kebolehan, maka anak tersebut haruslah diberi peluang untuk kedepan dari konteks politik dan pembangunan negara.

 Justeru, saya melihat khusunya mengenai peranan anak muda ini, peranan anak muda adalah sesuatu yang sangat penting bukan saja di Malaysia malah di negara2 yang lain. Dalam konteks negara kita, saya lihat kita masih sangat lemah, dan kita harus bertindak segera. Jikalau kita ingin meremajakan poltik kita, kepada mereka yang berada di atas, undurlah diri, berikan ruang dan peluang kepada anak muda yang baru. Barangkali mereka ini cetek pengalamannya, namun mereka ada gerak kerja yang pantas, dan idea yang bernas, kerana pengalaman itu bukan mampu diperolehi dengan secara tiba2, ianya harus dilalui. We should undergo it.

Maka untuk kita berikan pengalaman kepada anak muda, berikan mereka platform dan pentas, barulah mereka akan ada bekalan pengalaman yang baik untuk 10-20 tahun yang akan datang.

PH BERJAYA MEMULAKAN LANGKAH UNTUK MENGUATKUASKAN UNDI 18 MESKI TERSEKAT DI SEPARUH JALAN, MOU ANTARA PH DAN KERAJAAN PIMPINAN DATO SERI ISMAIL SABRI TELAH MELUNASKANNYA. ADAKAH CORAK POLITIK MALAYSIA AKAN BERUBAH APABILA UNDI18 DIKUATKUASAKAN DAN PARAMETER APA YANG BOLEH MENILAI KECENDERUNGAN UNDI18 INI?

Bila kita melihat soal undi 18 ini, soalan yang terpenting ialah Pendidikan. Saya rasa,perkara ini bukanlah soal penguatkuasaan undang-undang, maaf jika saya mempunyai pendapat yang berbeza dengan kebanyakkan orang. Ramai yang tergesa-gesa untuk menguatkuasakan undang-undang. Saya sering sebut, education comes before law. Pendidikan dahulu, baru undang-undang. Anak muda kita harus dididik terlebih dahulu dengan ilmu-ilmu politik dan pilihan raya. Buat apa kita kuat kuasakan undang-undang undi 18 jika kita tidak memberikan ilmu politik kepada mereka? Kita ni cacat dan tempang sungguh dengan tergesa-gesa untuk menguatkuasakan undang-undang undi 18 ini.

Saya akui apa yang dibuat oleh kerjaan PH dan kerajaan dato seri Ismail sabri yang ingin menguatkuasakan undang-undang undi18 ini bagus, baik dan cemerlang, Cuma ia mempunyai kekurangan yang besar. Kita kuatkuasakan undang-undang tapi kita tidak memulakannya dengan Pendidikan. Sekurang-kurangnya, selarikanlah undang-undang dan Pendidikan, jikalau kita tidak mampu untuk memberikan Pendidikan terlebih dahulu.

Maka saya berpandangan dalam isu ini, sebenarnya kalau tanpa adanya Pendidikan politik sebelum undi 18, ia tidak akan memberikan impak yang besar, kerana mereka tidak akan turun mengundi. Jikalau mereka turun mengundi pun, mungkin mereka turun berdasarkan emosi, ataupun soal siapa yang memberi duit yang lebih banyak kepada mereka. Ya saya akui ada anak-anak muda yang bagus, cuma ianya hanyalah sebahagian kecil.

Saya bukan nak pandang rendah dengan anak muda kita, cumanya sebelum penguatkuasaa undang-undang, haruslah kita mulakan dengan pendidikan politik dulu. Ajar mereka ilmu asas politik. Tanpa ilmu asas politik, kita akan lihat bahawa mereka akan turun mengundi tanpa sebarang fakta yang tepat. Berdasarkan perimeter, di PRN johor yang lalu, kebanyakkan undi 18 tidak turun mengundi. Yang paling penting bagi saya, mulai sekarang kita haruslah mengajar dan memberi ilmu kepada anak2 muda mengenai politik supaya lepas itu lah kita akan dapat melihat corak politik di Malaysia akan berubah, dan kita boleh ada satu parimeter yang jelas untuk kita lihat kecenderungan undi 18 ini.

TUAN JUGA MEMPUNYAI LATAR PENDIDIKAN AGAMA, SEBELUM INI AGAMA JUGA MENJADI FAKTOR PENENTU PILIHAN RAYA, ADAKAH KINI AGAMA MASIH MENJADI ANGKUBAH POLITIK DAN APAKAH PERANAN AGAMA SEBENARNYA KEPADA POLITIK?

Malaysia mempunyai warna dan budaya masyarakatnya tersendiri. Tidak banyak negara di dunia yang mempunyai masyarakat yang berbilang agama dengan tiap-tiap agamanya mempunyai jumlah penganut yang signifikan.

Di Malaysia, isu-isu berkaitan agama dilihat masih menjadi angkubah politik yang kuat dan sangat memainkan peranan besar kepada politik. Sensitiviti agama itu sangat perlu ditangani dengan baik. Kita dilanda dengan ahli politik yang berperangai jelek dan kotor sanggup memainkan sentiment agama demi habuan politik peribadi. Saya teringat ayat Quran dari surah Al-Maun, ayat 1 ketika mana Allah menyuruh kita melihat golongan yang suka menipu dengan menggunakan agama. Saya kira rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang agama harus menolak apa jua politik yang memainkan sentiment agama dan kaum jika kita benar mahu gerak maju ke hadapan. Negara memerlukan perpaduan yang utuh kalangan rakyat berbilang kaum agar kestabilan politik dan ekonomi dapat dicapai. Dalam Bahasa Arab ada satu frasa “Kepelbagaian dalam Bingkai Kesatuan”.

Inilah yang kita mahu jelmakan di negara kita. Sentimen agama masih terus kuat memainkan peranan dalam politik tanah air. Justeru, saya melihat cukup penting untuk parti-parti politik khususnya yang bernuansakan Islam untuk benar-benar bekerja keras mendekati para agamawan dan masjid-masjid serta anak-anak muda yang berada dalam fakulti pengajian Islam di universiti-universiti dalam serta luar negara.

DI SELANGOR, HAMPIR 14 TAHUN PEMBANGKANG ATAU PARTI ANTI-BN MEMERINTAH. SELANGOR NEGERI IDAMAN SEMUA. ADAKAH KERAJAAN SELANGOR MESRA KEPADA ANAK MUDA DAN APA YANG TELAH DIUSAHAKAN OLEH KERAJAAN SELANGOR UNTUK MEMBANTU GOLONGAN MUDA?

Menerusi Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) sebenarnya sudah sangat banyak bantuan atau inisiatif yang diberikan kepada anak muda dari setiap sudut. Bagi anak muda yang mahu memulakan perniagaan, menerusi Yayasan Hijrah banyak sekali bantuan yang ditawarkan seperti Dana Usahawan Mikro Selangor dan sebagainya.

Bagi anak muda yang ingin menyambung pengajian, diberikan hadiah pengajian IPT dan tawaran biasiswa. Bagi anak muda yang mahu berkahwin, insentif perkahwinan belia disediakan. Bagi anak muda yang masih bersekolah, program tusyen online dan tusyen rakyat Selangor ditawarkan. Serta banyak lagi sebenarnya. Tidak cukup ruang ini untuk nyatakan semuanya.

Saya ingat ketika saya di Jordan, mahasiswa/i pengajian Islam dari negeri Selangor adalah yang paling mendapat biasiswa dengan nilaian paling tinggi berbanding negeri-negeri lain. Sebenarnya Selangor ini memang sangat mesra anak muda, jika dilihat pada kepimpinannya pun, cukup ramai ADUN dan Ahli-Ahli Majlis kalangan anak muda. Bantuan yang diberikan kepada anak muda pun cukup banyak sekali namun promosi itu kurang. Almaklum antara sebab utamanya kerajaan negeri tidak dapat mempromosikan inisiatif-inisiatif ini melalui televisyen.

MAMPUKAH SELANGOR MENAWAN HATI ANAK MUDA KHUSUSNYA UNDI18 DALAM PRU AKAN DATANG?

Mendepani PRU15, kita tidak punya banyak pilihan selain dari harus menguasai sepenuhnya media-media sosial. Sedari Langkah Sheraton malah sehingga hari ini, kita disibukkan dengan mencari numbers yang tidak berkesudahan.

Saya fikir kita perlu kembali kepada fitrah asal kita yang sering dan tidak pernah jemu suarakan perihal denyut nadi rakyat. Kita terlalu sibuk berpolitik dengan seruan khemah besar, khemah kecil yang tak habis habis. Sudahlah. Masanya untuk kita kembali selami dan dalami apa yang rakyat mahu. Perkuatkan Kerajaan Negeri.

Perkuatkan dalaman Pakatan Harapan. Kerahkan seluruh jentera penerangan untuk menerangkan kepada rakyat tentang kejayaan kita di peringkat negeri. Kuasai media sosial semaksimanya. Dari Facebook, Twitter, Instagram sehinggalah ke TikTok sekalipun. Buat pemuda, kita harus merangkul sebanyak yang boleh anak muda kali pertama mengundi. Ajar mereka tentang politik.

 Dekati mereka melalui medium aktiviti ilmiah, kesukanan dan sebagainya. Kerajaan Negeri juga tidak boleh terlalu leka dan alpa dengan lamanya tempoh sudah memerintah. Bantuan dan insentif kepada anak muda harus terus dipromosi dengan sebaiknya dan berikan ruang kepada anak muda untuk turut berada dalam kepimpinan kerajaan negeri.

Exit mobile version