Pelawak veteran yang terkenal dengan tagline ‘sudah tukar ka’, Sathiya berterima kasih kepada inisiatif Ziarah Seni Madani Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) kerana meringankan beban rawatannya akibat serangan strok.
Sathiya, 60, yang popular menerusi watak Ravi dalam sitkom ‘Pi Mai Pi Mai Tang Tu’ kini perlu menjalani rawatan tiga kali seminggu dengan kos RM200 untuk sekali.
“Syukurlah dapat inisiatif Ziarah Seni Madani Finas, Kementerian Komunikasi hari ini, dapat juga bantu ringankan beban kos rawatan,” kata pemilik nama sebenar Sathia Periasamy itu.
Beliau menerima sumbangan tunai dan bakul makanan bawah inisiatif itu daripada Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching di kediamannya, yang turut dihadiri Pengerusi Finas Kamil Othman.
Sebelum ini, media melaporkan Sathiya dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur selepas mengadu kebas kaki dan tangan ketika bersarapan bersama isteri di kediamannya.
Dalam pada itu, Sathiya berkata walaupun bantuan berkenaan bukan sepenuhnya namun dia gembira dengan kedatangan tetamu di rumahnya hari ini.
“Itu sahaja. Nak gembira sahaja, tak mahu susah-susahkan orang lain,” katanya walaupun pergerakan agak terbatas akibat serangan penyakit itu Julai lalu.
Sathiya memaklumkan akan terus berlakon dan turut mencuba watak lain jika diberi peluang.
“Dua bulan lagi saya ada lakon watak orang jahat dan sekadar duduk kerusi memberi nasihat. Tak boleh jalan tak apa, janji boleh cakap. Mana tahu beberapa bulan lagi saya boleh jalan,” katanya.
Sementara itu, Teo berkata sehingga kini sebanyak 48 orang penggiat seni menerima bantuan tersebut.
Katanya, Finas turut menyasarkan sekurang-kurangnya 100 penggiat seni menerima bantuan itu tahun depan. -FMT