SelangorToday

TERAPKAN MODEL MALAYSIA, BUDAYA DAN NILAI KEKELUARGAAN DI PERKAMPUNGAN AUTISME PINTAR

Cadangan bagi mewujudkan Perkampungan Autisme Pintar (SAVe) perlu mempunyai satu model khas yang bersesuaian dengan keadaan semasa bagi meningkatkan kualiti hidup golongan autisme di Malaysia.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, dalam usaha membina persekitaran kondusif dan selamat buat golongan istimewa itu, perlu diwujudkan satu model yang merangkumi pelbagai aspek, termasuk penyediaan terapi, latihan dan kemudahan pendidikan yang direka khusus selain hubungan kekeluargaan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer itu, perkampungan pintar itu sebaiknya menerapkan ‘model Malaysia’ yang bermaksud wujudnya elemen keharmonian antara kaum, agama dan budaya.

“Model Malaysia ini perlu ada satu asimilasi budaya yang perlu dikekalkan seperti nilai kekeluargaan yang kuat.

“Menerusi SAVe nanti kita mahu ada ikatan keluarga yang erat dalam kalangan penghuninya kerana kita tak mahu anak tersebut ditinggalkan di sana dan tiada ikatan kekeluargaan,” katanya kepada Majoriti selepas sesi perbincangan tertutup Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) di Shah Alam pada Isnin.

Sehubungan itu, katanya, perlu ada syarat bagi pihak yang berhasrat untuk ahli keluarga mereka ditempatkan di SAVe untuk kemandirian dan latihan penghuni, selain memastikan setiap hujung minggu adalah waktu untuk aktiviti bersama keluarga.

“Itu maksud saya model Malaysia dengan menerapkan nilai budaya yang ada pada rakyat negara ini dan ia masih perlu dikekalkan,” katanya.

Menurut Anfaal lagi, jika SAVe dilaksanakan kelak, perlu dilihat untuk jangka masa panjang berkaitan perlindungan atau jaringan keselamatan untuk ibu bapa yang punya anak-anak istimewa.

“Sepertimana yang kita tahu, autisme ini tidak hanya berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira golongan kaya atau yang tidak berkemampuan.

“Jadi mereka perlu ada satu modul kewangan khas yang mampu menampung kelangsungan hidup golongan istimewa ini,” katanya

Jelas beliau, sebagai contoh, mungkin boleh menggunakan tabungan tertentu menggunakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Ibu bapa yang bekerja dari awal lagi telah mencarum dan mengikut kaedah sekarang sebanyak 11 peratus daripada pekerja, 12 peratus daripada majikan.

“Jadi, dengan caruman sebanyak 23 peratus daripada gaji itu, pada umur 50 tahun boleh keluarkan pada akaun tertentu dan melalui akaun fleksibel juga boleh dikeluarkan pada jumlah tertentu.

“Jadi, model sebegitu akan memungkinkan mereka boleh menghantar anak ke satu pusat jagaan ini akan mampu bayar dengan tabungan tersebut,” katanya.

Tambah Anfal lagi, perancangan penubuhan SAVe itu berkemungkinan dilaksanakan dalam tempoh satu atau dua tahun lagi iaitu selepas penubuhan Yayasan Anak Istimewa Selangor (Yanis).

“Kerajaan negeri akan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam memberikan kemudahan infrastruktur dan sebagainya,” katanya sambil menambah pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri untuk memaklumkan mengenai SAVe. – Majoriti

Exit mobile version