SelangorToday

Terbukti! Kepimpinan Ulamak PAS juga boleh alami krisis

Politik Negeri Perlis tiba-tiba menjadi gawat akibat pertembungan langkah politik antara BERSATU dan PAS. Walaupun Abu Bakar Hamzah daripada BERSATU telah diangkat sebagai Menteri Besar Perlis menggantikan Cikgu Shukri Ramli, pertelagahan antara PAS dan BERSATU terus berlaku.

Lebih menarik lagi, isu ini telah mengheret pertembungan dua figura utama dalam PAS untuk menangani isu ini. Institusi Presiden yang diterajui oleh Hj Abdul Hadi Awang dilihat bertindak dengan langkah yang tidak cermat dan tergopoh-gapah ketika menangani isu 3 ADUN PAS yang menjatuhkan Menteri Besarnya sendiri. Teguran itu disuarakan oleh Musyidul Am PAS, Hj Hashim Jasin selepan mengadakan pertemuan dengan Presiden BERSATU, Mahiaddin Yasin dan MB Perlis.

Kenyataan itu telah jelas menujukkan pertembungan antara kuasa Institusi Presiden(yang dirujuk kepada AJK PAS Pusat) dengan Majlis Syura Ulamak PAS sebagai badan tertinggi PAS. Isu Perlis mengheret ahli dan pemerhati politik menilai, siapa dikalangan mereka yang paling berkuasa?

Apabila Mursyidul Am PAS menyatakan bahawa keputusan untuk menggugurkan keahlian 3 ADUN PAS Perlis belum muktamad kerana mesti diputuskan oleh Majlis Syura Ulamak ia menunjukkan satu tindakan tidak cerdik dan cermat oleh PAS memandangkan Speaker DUN Perlis mengisytiharkan bahawa 3 kerusi yang dirujuk kosong iaini melaksanakan keputusan yang telah dibuat oleh AJK PAS Pusat.

Speaker yang juga anggota PAS bertindak sebelum Majlis Syura Ulamak PAS membuat keputusan muktamad. Nasib baiklah Speaker DUN Perlis Rus’sele Eizan menarik semula pengisytiharaan itu. Bayangkan kalau PRK terus diadakan, YB yang telah pun menang. Bagaimana nasib 3 ADUN sedia ada sedangkan kedudukan mereka masih belum muktamad.

Ini secara jelas menunjukkan bahawa sebilangan pemimpin PAS tidak kompeten dalam mengemudi krisis politik sesuatu negeri. Perlantikan diadakan atas kapasiti senioriti sehingga apabila berlaku gawat politik negeri ia gagal diurus dengan baik.

Berbalik kepada cerita keputusan manakah yang lebih valid atau sah untuk diikuti atas rujukan perlembagaan PAS. Jika berlaku pertembungan seperti yang ada hari ini, siapakah yang ahli PAS perlu taati? Presiden atau Mursyidul AM PAS.

Mari kita singkap seketika sejarah lalu, bahawa Tok Guru Nik Aziz sebagai Musyidul AM PAS yang paling lama berkhidmat dan berpengaruh pernah tidak bersetuju dengan komitmen atau tindakan Presiden PAS ketika itu Hj Hadi. Sedang Hj Hadi dan beberapa pimpinan lain termasuk Dr Nasharudin Mat Isa(Timbalan Presiden PAS) dan Dr Haron Din(Timbalan Mursyidul AM PAS) cenderung kepada penyatuan melayu bersama UMNO, Tok Guru Nik Aziz menolak idea tersebut.

Krisis ini berlanjutan sehingga menimbulkan ketegangan dalam kepimpinan PAS apabila media pro-pemerintah ketika itu memainkan isu dan manipulasi fakta agar PAS terus bermasalah. Ketika PAS dilihat mempunyai momentum yang besar dan kuat untuk mengalahkan UMNO-BN, Tok Guru Nik Aziz melihat idea Muzakarrah UMNO-PAS hanya memperlihatkan pengembangan PAS sekaligu meletakkan isu melayu Islam hanya helah politik pihak yang mula lemas diambang kejatuhan.

Justeru satu mesyuarat khas diadakan melibatkan semua pimpinan PAS termasuk Tok Guru Nik Aziz dan Dr Haron Din. Hasil mesyuarat itu yang selesai lewat malam membentuh sebuah keputusan yang jitu apabila PAS tidak akan sama sekali memilih jalan penyatuan melayu sebaliknya meneruskan komitmen dalam Pakatan Rakyat. Dalam masa yang sama PAS akan mengadakan Seminar Khas menggantikan Muktamar Agung PAS Luar Biasa seperti yang didesak oleh Tok Guru Nik Aziz untuk memperbaharui komitmen dan hala tuju PAS agar terus diyakini rakyat sekaligus menumbangkan UMNO-BN.

Krisis itu selesai sampai disitu walaupun ia bermula malam selepas pengundian PRU 2008. Disini kita dapat lihat bahawa ketegasan Tok Guru Nik Aziz sebagai pemandu dasar PAS. Beliau mengambil haluan yang berbeza demi kelangsungan PAS meskipun buat seketika jemaah PAS keliru dan celaru. Pun begitu selesai apabila medan perbincangan secara tuntas dan jelas diadakan dan PAS menimbang baik semua perkara atas nas dan dalil yang ada serta realiti politik yang ada.

Akhirnya PAS mengikut saranan Mursyidul AM PAS serta dimandatkan semula dalam mesyuarat AJK PAS Pusat. Krisis itu pasti muncul baik dalam parti Islam atau bukan Islam. Pun begitu keupayaan kepimpinan PAS mengemudi krisis serta bersifat jujur dalam membawa kedudukan PAS disegani dan dipercayai mestilah ada.

Keadaan jadi canggung dan tegang apabila sesuatu isu tidak berjalan mengikut kaedah yang sepatutnya. Mengapa ia tidak berlaku dengan cara sepatutnya? Salah satu faktor adalah kepentingan tertentu. Maka seharusnya PAS melihat masalah ini lebih besar serta menilai keadaan atas kapasiti PAS sebagai parti politik berteraskan Islam.

Disini kita dapat simpulkan bahawa PAS juga merupakan parti politik yang mempunyai kencenderungan tertentu. Justeru ia juga mempunyai kelemahan berbanding Islam itu sendiri yang sempurna. Terimalah hakikat bahawa PAS juga akan melakukan kesilapan dan kesilapan yang paling selalu dibuat apabila ketika diuji dengan kemenangan yang besar, kuasa yang luas serta kepercayaan orang yang menggunung.

Exit mobile version