SelangorToday

TERJEMAH NILAI ‘PEDULI’, AMANAH SANTUNI GOLONGAN OKU

Senator Dr. Mujahid dan Ir. Izham sedang menyantuni seorang OKU yang menerima sumbangan dari Parti AMANAH.

Sempena bulan Ramadan dan Hari Raya yang bakal tiba, Parti AMANAH Negara bagi Negeri Selangor telah menyantuni golongan Orang Kelainan Upaya(OKU) baru-baru ini. Majlis Himpunan Iftar Asatizah dan Aktivis AMANAH Selangor yang dianjurkan oleh Biro Kebajikan, Kemanusian dan Bencana Alam(BKKBA) AMANAH Selangor itu turut menjemput insan-insan istimewa yang dikategorikan sebagai OKU. Majlis tersebut dihadiri oleh Ahli Dewan Negara, Senator Dr. Mujahid Yusof Rawa yang juga Timbalan Presiden AMANAH dan Pengerusi AMANAH Selangor, Ir. Izham Hashim. AMANAH Negeri Selangor telah memberi sumbangan sempena Hari Raya kepada 50 penerima OKU.

Dalam ucapan di majlis tersebut, Ir.Izham berkata majlis yang diadakan setiap tahun ini merupakan nilai ‘Peduli’ yang diterjemahkan dalam gerak kerja parti AMANAH. Exco Pertanian dan Infrastruktur Selangor itu turut berkata, nilai tersebut yang menjadi salah satu teras parti hampir berumur 9 tahun itu menjadi asas menyantuni masyarakat di negara ini. AMANAH sentiasa mengamalkan sikap inklusif yang tidak meminggirkan mana-mana golongan. Beliau juga berharap agar umat Islam dapat meneruskan tumpuan dihari-hari terakhir di bulan Ramadan ini agar segala peluang dan kebaikan yang tersedia diperoleh oleh semua.

Selain Dr. Mujahid dan Ir.Izham, turut serta di majlis tersebut ialah Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH Nasional, Dr. Hasan Bahrom, ADN Meru Ustazah Mariam Abd Rashid, ADN Seri Serdang Abbas Adzmi dan Danial Al-Rashid Haron, ADN Batu Tiga serta Setiausaha AMANAH Selangor, Ar. Kamarul Hisham Yeop Hashim. – SelangorToday

Exit mobile version