
SHAH ALAM, 31 Mei 2025 — Pakatan Harapan (PH) Selangor hari ini menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi terhadap YAB Dato’ Seri Amirudin Shari untuk terus memegang jawatan sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor sehingga tamat penggal pentadbiran sedia ada.
Dalam satu kenyataan media bersama, pimpinan utama parti-parti komponen PH Selangor menegaskan bahawa kesinambungan kepimpinan Amirudin adalah penting bagi memastikan kestabilan pentadbiran serta kelangsungan pelaksanaan dasar-dasar utama kerajaan negeri.
Antara dasar yang disebut termasuklah Rancangan Selangor Kedua (RS-2), pembangunan pelabuhan ketiga di Pulau Carey, agenda Iltizam Selangor Penyayang, serta pembinaan semula Kompleks Stadium Shah Alam.

“Kepimpinan Dato’ Seri Amirudin sangat penting untuk memastikan Selangor terus stabil, diyakini pelabur dan kekal sebagai tunjang ekonomi negara,” ujar kenyataan yang ditandatangani oleh tiga Timbalan Pengerusi PH Selangor: YB Tuan Ng Sze Han (DAP), YB Dato’ Izham Hashim (AMANAH) dan YB Datuk Borhan Aman Shah (KEADILAN).
Mereka turut menekankan bahawa kepimpinan Amirudin sebagai Pengerusi PH Selangor adalah aset penting dalam memperkukuh kerjasama strategik bersama Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum akan datang, sejajar dengan semangat Kerajaan Perpaduan.

“Pengalaman beliau menjadi kunci utama kepada kesepaduan politik yang terbentuk selepas Pilihan Raya Negeri yang lalu, yang membawa kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan di Selangor,” tambah mereka.

PH Selangor turut menyatakan bahawa khidmat Amirudin amat diperlukan bagi memastikan negeri ini terus menyumbang secara signifikan terhadap pelaksanaan agenda Malaysia MADANI yang digagaskan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Kenyataan ini sekaligus menutup sebarang spekulasi mengenai kedudukan Amirudin Shari, dan memperkukuh mandat beliau untuk terus menerajui pentadbiran negeri sehingga tamat penggal.