
Terminal Bersepadu Gombak (TBG) mula beroperasi secara berperingkat bermula 15 Mac ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Menurut beliau operasi TBG akan dimulakan dengan menurunkan penumpang dari Pantai Timur pada minggu pertama pembukannya, lapor Berita Harian.

“Harapan dan sasaran kita adalah menjelang Aidilfitri, mereka yang nak balik kampung boleh menggunakan terminal ini dan mengurangkan kesesakan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS).
“Terminal ini juga dilengkapi kemudahan dewan serbaguna yang boleh disewa oleh orang ramai,” katanya kepada media selepas kunjungan kerja di sini, hari ini.
Mengulas berhubung kemudahan dan ciri keselamatan untuk orang kurang upaya (OKU), Loke berkata, terdapat platform yang dikhaskan bagi memudahkan pergerakan golongan itu.
“Terdapat satu ciri penting di TBG di mana penumpang perlu menyatakan beliau adalah OKU.
“Ia kemudian akan dikesan dalam sistem dan dimaklumkan kepada pemandu untuk meletakkan bas di tempat mesra OKU,” katanya.
TBG bakal menjadi hab pengangkutan utama yang menghubungkan perkhidmatan bas, LRT, dan projek rel utama seperti East Coast Rail Link (ECRL) pada masa hadapan.
Ia sekali gus meningkatkan kemudahan perjalanan bagi penumpang ke ibu kota dari Pantai Timur membabitkan negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan.