 
                Pokok Sena, 23 Jun 2025 – Krisis dalaman yang semakin meruncing dalam PAS Perlis mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat negeri itu apabila Menteri Besar Perlis, yang juga Pesuruhjaya PAS negeri, gagal menangani kritikan daripada akar umbi parti.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mahfuz Omar berkata bahawa kekalahan Menteri Besar bersama kumpulannya dalam pemilihan PAS Kawasan Arau dan Padang Besar baru-baru ini adalah petanda jelas bahawa ahli parti sendiri sudah hilang keyakinan terhadap kepimpinannya.
“Ini bukan sekadar isu individu kalah dalam pemilihan parti. Ia adalah isyarat keras daripada akar umbi bahawa mereka tidak lagi percaya kepada kepimpinan beliau, sama ada dalam parti mahupun dalam pentadbiran kerajaan negeri,” tegas Mahfuz dalam satu kenyataan media hari ini.

Lebih membimbangkan, menurut Mahfuz, kepimpinan tertinggi PAS didakwa terus berdiam diri walaupun teguran terhadap kelemahan Menteri Besar Perlis sudah berulang kali dibangkitkan, termasuk dalam Muktamar PAS sebelum ini.
“Tiada satu pun tindakan konstruktif diambil. Di mana suara Pemuda PAS Malaysia? Masa isu Turun Anwar, beriya-iya buat himpunan. Tapi bila melibatkan MB sendiri, semuanya senyap,” sinis beliau.
Mahfuz turut mempersoalkan sampai bila PAS akan terus menutup mata terhadap suara akar umbi yang semakin lantang menyuarakan rasa tidak puas hati. Beliau berkata, krisis dalaman ini bukan sahaja mengganggu kestabilan politik negeri, malah turut memberi kesan kepada kehidupan rakyat.
Menurutnya, akibat perebutan kuasa dalaman dan kegagalan mengurus konflik dengan baik, pentadbiran kerajaan negeri menjadi lemah dan tidak konsisten.
“Rakyat hidup dalam keadaan tidak pasti, tanpa hala tuju yang jelas daripada kerajaan negeri. Sedangkan kestabilan politik adalah asas kepada kesejahteraan rakyat,” ujar Mahfuz.

Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap budaya politik sempit dalam PAS yang menyekat ruang teguran dan memperlekehkan suara akar umbi, yang menurutnya menjadi punca utama kepada kemerosotan keyakinan rakyat terhadap PAS Perlis.
Dalam kenyataannya, Mahfuz menggesa agar PAS menghentikan perebutan kuasa dalaman dan kembali fokus kepada mandat yang diberikan oleh rakyat.
“PAS perlu mula mendengar suara rakyat dan ahli mereka sendiri. Jika sudah tidak mampu memimpin dengan amanah dan adil, serahkan kembali mandat kepada rakyat,” katanya.
Mahfuz menegaskan bahawa rakyat Perlis berhak mendapat kepimpinan yang stabil, prihatin dan bertanggungjawab, bukan sekadar pemimpin yang hanya mementingkan kedudukan dan kuasa dalam parti.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            