Site icon SelangorToday

TIADA KENAIKAN HARGA RUMAH MAMPU MILIK PASCA PENYASARAN SUBSIDI DIESEL – AIMAN

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Aiman Athirah Sabu menegaskan tiada kenaikan harga bagi rumah mampu milik yang dikawal oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Jelas Aiman, KPKT akan memastikan harga rumah mampu milik tidak dinaikkan susulan penyasaran subsidi diesel. Penyasaran subsidi diesel berkuatkuasa 10 Jun lalu setelah diumumkan oleh Menteri Kewangan ke-2, Amir Hamzah.

Tambah Ketua Wanita AMANAH itu, kediaman yang tertakluk di bawah Dasar Perumahan Mampu Milik(DRMM) dan dikawal KPKT dijual pada harga RM300,000 ke bawah. Maka meskipun penyasaran subsidi diesel berkuatkuasa, KPKT akan memastikan harga tersebut kekal.  Beliau berkata pengekalan harga tersebut merangkumi Projek Perumahan Rakyat(PPR), Program Rumah Mesra Rakyat(RMR), kediaman dibawah Syarikat Perumahan Negara Bhd(SPNB) dan Program Perumahan PR1MA.

Selain Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup(KPDN) yang memantau kenaikan harga pasca penyasaran subsidi diesel, KPKT juga akan terus memantau termasuk rumah mampu milik yang dibina di kawasan pihak berkuasa tempatan(PBT) di seluruh negara. Beliau ditemui ketika menghadiri Majlis Korban Sentuhan Kasih Parlimen Sepang dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat(JBPM) serta KPKT. – SelangorToday

Exit mobile version