SelangorToday

TIADA KENAIKAN KADAR TOL, KESINAMBUNGAN USAHA KERAJAAN PH

Majlis Presiden Pakatan Harapan melalui satu kenyataan media mengambil maklum akan pengumuman Perdana Menteri berkaitan pembekuan kenaikan kadar tol sehingga tamat konsesi melibatkan beberapa lebuhraya. Lebuhraya yang terlibat dalam pengumuman  tersebut adalah Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Sistem Pengurusan  Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).

Dalam kenyataan bersama oleh Dato Seri Anwar Ibrahim (Pengerusi PH-KEADILAN), Tuan Hj Mohamad Sabu (AMANAH), Tuan Anthony Loke (DAP) dan DSP Madius Tangau (UPKO) itu menambah, keempat – empat lebuhraya tersebut dalam proses pengambilalihan oleh sebuah entiti Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd pada nilai RM5.48 bilion merupakan hasil daripada kesinambungan kepada usaha yang dimulakan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada Oktober 2019 dimana jemaah menteri ketika itu bersetuju untuk memulakan proses mengambil alih lebuhraya-lebuhraya berkenaan.

Langkah yang diumumkan itu jelas membuktikan bahawa banyak dasar yang PH berjaya lakukan untuk membantu meringankan beban rakyat dan ia akan terbukti lebih jelas jika Langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan PH tidak dilaksanakan. Kenyataan media tersebut juga memberi contoh bahawa kerajaan PH telah berusaha menamatkan konsesi lebuhraya dengan mengurangkan kadar tol Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sebanyak 18% pada 2020. Oleh itu Majlis Presiden PH menggesa kerajaan untuk memberikan diskaun tambahan kepada pengguna empat lebuhraya tersebut.

Exit mobile version