SelangorToday

TIADA LAGI LORI BERAT GANGGU TAMAN BUKIT JATI

Penduduk di Taman Bukit Jati, Kampung Jawa kini boleh menarik nafas lega apabila tiada lagi lori muatan berat dibenarkan menggunakan laluan utama perumahan mereka sebagai jalan masuk ke tapak projek pembangunan infrastruktur pengangkutan berdekatan.

Langkah ini diambil susulan sesi taklimat bersama kontraktor projek yang diadakan baru-baru ini, di mana mereka telah memberi komitmen penuh untuk menghentikan penggunaan laluan perumahan tersebut serta-merta.

Ahli Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Mohd Rayme Abdul Rahman berkata, keputusan itu merupakan hasil rundingan konstruktif bersama pihak kontraktor, yang bersetuju untuk menghentikan sementara kerja-kerja pembinaan dan hanya menggunakan bahan binaan sedia ada di tapak buat masa ini.

“Mereka juga telah bersetuju untuk memanfaatkan laluan rel sedia ada bagi pengangkutan bahan binaan selanjutnya, sekaligus mengelakkan gangguan kepada penduduk di kawasan sekitar,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurut Mohd Rayme, pihak pemaju turut mengakui keperluan untuk menjaga keharmonian komuniti setempat dan telah berjanji untuk tidak lagi menggunakan jalan taman perumahan sebagai laluan logistik mereka.

“Sebagai langkah susulan, pihak Majlis juga akan mengadakan satu sesi perbincangan khas bersama wakil penduduk bagi mempercepatkan proses pampasan atau apa-apa bentuk penyelesaian berkaitan projek ini.

“Kita menyedari bahawa projek pembangunan ini memberikan manfaat kepada masyarakat secara keseluruhan, namun dalam masa yang sama, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan penduduk tidak terus dibebani dengan gangguan bunyi, debu dan risiko keselamatan akibat pergerakan lori berat tanpa henti,” jelasnya.

Terdahulu, laporan media bertarikh 1 Mei lalu melaporkan lebih 210 keluarga di kawasan perumahan tersebut menyuarakan kebimbangan mereka terhadap keselamatan dan keselesaan susulan penggunaan laluan perumahan sebagai jalan utama lori muatan berat yang dipercayai terlibat dalam projek infrastruktur berkenaan.

Mereka mendakwa kehadiran kenderaan berat setiap hari telah menyebabkan kerosakan jalan, gangguan kepada kehidupan harian serta meningkatkan risiko kemalangan, terutamanya kepada kanak-kanak dan warga emas di kawasan itu.

Keputusan menghentikan pergerakan lori melalui kawasan taman ini disambut baik oleh penduduk yang mengharapkan pemantauan berterusan oleh pihak berkuasa tempatan agar isu sama tidak berulang di masa akan datang.

Exit mobile version