SelangorToday

TIADA LOMPAT PARTI SELEPAS PRU15, AYUH KELUAR MENGUNDI – HASBIE

Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Hasbie Muda merasa gusar terhadap elemen propaganda yang sedang dimainkan oleh pihak-pihak tertentu untuk memboikot Pilihan Raya Umum kali ini. Meskipun Dewan Rakyat telah dibubarkan 10 Oktober yang lalu, kebanyakkan jentera pilihan raya parti-parti politik yang bertanding memulakan operasinya. Namun disebalik kemeriahan tersebut, Hasbie berkata adanya naratif yang cuba dilakukan bagi memastikan pengundi tidak keluar mengundi. Dakwaan pihak tertentu yang cuba memainkan pengaruh bahawa kononnya tiada parti politik yang boleh dipercayai selepas Langkah Sheraton. Malah propaganda ini cuba mempengaruhi orang ramai bahawa situasi buruk ini akan kekal walaupun mereka turun mengundi.

Hasbie ingatkan orang ramai, tidak turun mengundi hanya akan membiarkan BN kembali berkuasa dan kleptokrasi kembali bebas

Tambah Hasbie lagi, pemikiran orang ramai diracuni bahawa undi yang dibuat dalam pilihan raya nanti tidak memberi sebarang kesan dan perubahan pada kemajuan negara. Hasbie yang sebelum ini bertanding dalam PRU ke-14 di DUN Paka menegaskan, penggal lalu menyaksikan akta anti-lompat parti telah dikuatkuasakan mulai 5 Oktober yang lalu. Ia memberikan jaminan yang ampuh bahawa  aksi lompatan seperti Langkah Sheraton yang membakul sampahkan undi rakyat tidak akan berlaku lagi. Maka pelaksanaan akta ini menunjukkan kedudukan rakyat lebih tinggi sebagai penentu masa depan negara. Inilah anjakan besar yang berjaya dilakukan setelah negara berjaya menurunkan rejim BN dan menaikkan pemerintah baharu.

Hasbie yang juga Timbalan Ketua Angkatan Muda HARAPAN berkata, langkah memboikot pilihan raya akan memudahkan BN menguasai kembali negara ini. Malah taktik BN membubarkan Dewan Rakyat ketika musim banjir untuk meminimakan peratusan keluar mengundi akan menjadi faktor kemenangan BN. Oleh itu, Hasbie mahu propaganda ‘jangan turun mengundi’ ditolak sama sekali. Beliau mahu rakyat menjawab semula hujah untuk ‘jangan turun mengundi’ dengan membawa semangat perubahan hanya demi kemajuan negara ini. – Selangor Today

Exit mobile version