SelangorToday

Tiada Sebab Tolak Calon MADANI, Dr. Mujahid Yakin Ust. Zulfikar Buat Kejutan di Sulabayan

[PRN SABAH] SEMPORNA, 15 NOV — Timbalan Presiden Parti AMANAH Negara, Senator Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan bahawa rakyat Sulabayan tidak mempunyai sebab untuk menolak calon MADANI yang diketengahkan Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan, sambil menyatakan keyakinan bahawa Ustaz Zulfikar Abdul Mijan mampu mencipta kejutan kemenangan di DUN Sulabayan.

Berucap pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH DUN Sulabayan malam tadi, Dr Mujahid memaklumkan bahawa Sabah kini menikmati nikmat pembangunan dan perhatian yang belum pernah dikecapi di bawah mana-mana kerajaan terdahulu, hasil komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap negeri itu.

Menurut beliau, pemberian khas Sabah yang pernah berada hanya pada sekitar RM50 juta hingga RM60 juta, berjaya dinaikkan kepada RM150 juta selepas rundingan, kemudian melonjak kepada RM300 juta, dan terkini RM600 juta — peningkatan luar biasa yang membuktikan kesungguhan kerajaan MADANI membangunkan Sabah secara serius.

“Tidak ada kerajaan sebelum ini yang memberikan sehingga RM600 juta. Ini bukti jelas komitmen dan keprihatinan Datuk Seri Anwar kepada rakyat Sabah,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa daripada 21 tuntutan MA63, kerajaan Perpaduan telah memenuhi 11 tuntutan, termasuk penyerahan kuasa pengurusan air, elektrik serta penentuan projek pembangunan bernilai lebih RM50 juta kepada kerajaan negeri.

“Ini bukan slogan. Ini tindakan nyata. Autonomi Sabah dihormati dan diperkukuh,” tegasnya.

Dalam sidang media selepas proses penamaan calon pagi tadi, Dr Mujahid menyuarakan keyakinan tinggi bahawa Ustaz Zulfikar Abdul Mijan, calon nombor 4, bukan sahaja berpeluang menang — malah mampu mencipta kejutan besar di Sulabayan.

Optimisme itu, jelasnya, hadir setelah melihat sokongan padu daripada keseluruhan jentera PH serta dukungan bulat daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) yang berada sepentas dalam misi memastikan kemenangan calon MADANI tersebut.

“Dengan sokongan sekuat ini, saya yakin Ustaz Zulfikar mampu buat kejutan di Sulabayan. Semangat jentera, sokongan akar umbi, semuanya menunjukkan gelombang positif,” katanya.

Dr Mujahid menambah bahawa Zulfikar, sebagai calon muda dalam lingkungan usia 40-an, membawa nafas baharu serta kredibiliti yang diyakini dapat menyuarakan aspirasi rakyat Sulabayan.

Dalam ucapannya malam tadi, Dr Mujahid mengingatkan pengundi bahawa harapan pembangunan Sabah kini berada pada landasan tepat di bawah kerajaan Persekutuan.

“Mereka mahu pembangunan untuk orang Sabah. Inilah calon yang akan membawa pembangunan daripada kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jika benar rakyat mahukan masa depan lebih baik, inilah saatnya memilih calon yang tepat,” katanya.

Pelancaran jentera malam tadi berlangsung dengan meriah, disertai kepimpinan gabungan, jentera akar umbi serta ratusan penyokong, menandakan permulaan kempen yang dijangka penuh persaingan di DUN Sulabayan.

Exit mobile version