Pengarah Biro Pembangunan Sumber Manusia, Abbas Azmi menempelak Menteri Kewangan, Tengku Zafrul yang cuba meraih publisiti murahan apabila Menteri Kewangan lantikan Senator itu mengumumkan kelulusan projek ECRL di Puncak Alam baru-baru ini. Tambah Abbas, sepatutnya dalam keadaan ekonomi berada dalam keadaan tenat, poket rakyat juga semakin kering-kontang, Menteri Kewangan sewajarnya memberi fokus bagaimana mengatasi masalah ekonomi negara terutama kejatuhan nilai matawang negara yang merudum. Hal ini demikian kerana, ia melibatkan kepentingan negara dan rakyat.
Abbas yang juga Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional berhujah, hutang negara yang semakin bertambah menjadi agenda utama Menteri Kewangan untuk selesaikan bukannya meraih sokongan rakyat dengan mengumumkan projek mega yang pasti tidak mampu membantu meringankan beban rakyat dalam tempoh singkat. Malah, kerajaan Malaysia perlu melangsaikan hutang 1MDB yang telah dibuat oleh pemerintah Barisan Nasional sekitar 7 tahun yang lalu, ia lebih merumitkan keadaan, namun Menteri Kewangan tidak meletakkan ia sebagai agenda utama.
Selain itu, Abbas merupakan pengasas Gerakan ‘Baiki Demokrasi’ mahu kerajaan menolak cadangan pelaksanaan semula GST sebagai alternatif menambah pendapatan negara, memandangkan ia merupakan usaha yang sama dilakukan oleh Najib Razak, iaitu Perdana Menteri Malaysia yang dijatuhkan melalui Pilihan Raya Umum 2018. Malah pengenalan kepada projek mega ECRL juga salah satu strategi yang sama digunakan oleh BN yang menyebabkan hutang negara semakin bertambah.
Abbas menyeru Menteri Kewangan Malaysia, memberi fokus kepada masalah utama negara dahulu pada ketika ini dan perkara yang populis ditinggalkan sementara. Sambil memberikan amaran bahawa disebabkan kemahuan dan nafsu Menteri kewangan semata negara mengalami masalah dan memberi kesan lansung kepada rakyat, amanah sebagai menteri harus dipikul meski anda bukan pilihan rakyat Malaysia.