Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahudin Ayub menempelak sebahagian besar pemimpin politik yang sedang bermain dengan polemik Pilihan Raya Umum. Kata beliau dalam keadaan sekarang, pemimpin politik seharusnya memberi sepenuh tumpuan untuk membantu rakyat yang dalam kesusahan bukannya, bermain politik hanya untuk kepentingan sendiri. Untuk makluman, BN yang diketuai oleh Presiden UMNO, Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendesak agar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri agar membubarkan Parlimen dalam tempoh terdekat, namun dengan adanya MOU diantara kerajaan Malaysia dan Pakatan Harapan membolehkan Ismail Sabri mengambil masa yang panjang untuk membubarkan Parlimen.
Dalam kenyataan yang dimuat naik melaui laman Facebooknya, bekas Menteri Pertanian dan Industri Makanan semasa Pakatan Harapan memerintah itu berkata polemik mengadakan PRU tidak wajar dipanjangkan dan diteruskan. Hal ini kerana, keresahan rakyat yang utama pada ketika ini adalah soal mencari sesuap nasi, menjelaskan hutang dan bebanan kewangan, serta harga barangan yang mencanak naik dan merisaukan peniaga-peniaga kecil serta para pengguna.
Beliau yang juga Naib Pengerusi Pakatan Harapan menambah bahawa mengadakan Pilihan Raya Umum dalam waktu terdekat ini bakal menelan perbelanjaan ratusan juta ringgit. Adalah lebih baik sekiranya wang negara digunakan untuk manfaat rakyat yang sedang dihimpit kesusahan, ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Maka saranan Salahuddin itu merupakan pendirian rakyat jelata yang mahu kedudukan dan kestabilan hidup mereka dahulu diselesaikan.