SelangorToday

TINDAKAN PALESTIN BERPUNCA DARIPADA PENGANIAYAAN – PRESIDEN AMANAH

Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad bin Sabu menyokong jalan yang dipilih oleh Palestin baru-baru ini. Kata beliau, jalan yang dipilih oleh Palestin berpunca daripada tindakan aniaya tanah air dan harta benda yang dirampas secara haram oleh rejim Isarel. Mohamad dalam satu kenyataan medianya menyeru seluruh masyarakat antarabangsa memberikan sokongan dan pertolongan kepada rakyat Palestin untuk mendapatkan hak kembali ke tanah air mereka.

Tambah beliau yang juga Timbalan Pengerusi HARAPAN, dunia tidak boleh beralih fokus kepada isu lain termasuk dakwaan tindakan ganas pejuang Palestin tanpa melihat kepada faktor utama kekacauan yang tidak pernah diselesaikan. Beliau juga mengharapkan agar semua pihak lebih bertegas mendesak dan menghalang Israel meluaskan petempatan haram mereka dan kembalikan hak rakyat Palestin untuk pulang ke tanah air mereka.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata meskipun PBB meluluskan Resolusi 2334 pada 2016, yang mendakwa Israel melanggar undang-undang antarabangsa dengan membuka 293 petempatan haram di tanah milik rakyat Palestin, masih tiada sebarang tindakan dikenakan terhadap mereka. Malah Israel masih meneruskan tindakan ganas mereka dengan meroboh rumah dan membunuh penduduk yang cuba mempertahankan harta benda mereka. – SelangorToday

Exit mobile version