SelangorToday

TINDAKAN TEGAS AKAN DIAMBIL TERHADAP PIHAK TERLIBAT PENCEMARAN BUIH DI ALUR SUNGAI KUANG

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) membuka kertas siasatan terhadap pihak disyaki terlibat dalam pencemaran air berbuih di alur Sungai Kuang pada Isnin lalu.

EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin berkata tindakan tegas akan dikenakan terhadap pihak yang mencemarkan sumber air mengikut peruntukan undang-undang semua agensi berkaitan.

“Sebanyak 45 tangki ‘Intermediate Bulk Container’ (IBC) disyaki mengandungi kandungan bahan sabun pencuci pelbagai guna dan juga pencuci lantai menjadi punca air berbuih di alur Sungai Kuang.

“Tangki tersebut telah pecah dan bocor. Kandungan bahan dalam tangki melimpah keluar sehingga ke longkang bersebelahan dewan serba guna dan masuk ke dalam Sungai Kuang serta akhirnya akan masuk ke dalam Sungai Selangor,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata susulan penemuan pencemaran, operasi bersepadu dilaksanakan oleh LUAS, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Pejabat Daerah dan Tanah (PTD) Gombak, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Hazmat) dan polis.

Beliau berkata JAS telah mengambil sampel untuk dianalisis dan MPS akan melaksanakan kerja pembersihan di tapak jika ia bukan bahan terjadual.

“Jika sisa di dalam tangki tersebut disahkan sebagai bahan terjadual, kontraktor dilantik oleh JAS pula akan melakukan kerja-kerja pembersihan tersebut,” katanya.

Jelas beliau, LUAS meletakkan sebanyak 10 beg serbuk karbon teraktif di kawasan longkang sebagai langkah kawalan dan pencegahan. – SelangorKini

Exit mobile version