Penternak bakal berdepan tindakan tegas jika membiarkan haiwan ternakan mereka berkeliaran khususnya dalam kawasan hospital, kata Exco Kemajuan Desa Selangor.
Datuk Rizam Ismail berkata amaran itu berikutan aduan diterima berhubung pencerobohan ratusan ekor lembu di Hospital Tengku Ampuan Jamaah, Sabak Bernam baru-baru ini.
“Saya memandang serius aduan dan implikasi buruk yang bakal terjadi jika permasalahan ini tidak ditangani. Ini kerana berlaku kejadian meragut nyawa di kawasan terbabit,” katanya di Facebook.
Pada 8 Februari, Rizam menyertai operasi khas bersama Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri dan polis untuk menangani masalah tersebut.
Operasi yang akan dilaksana secara berkala dijalankan di sekitar kawasan hospital, Jalan Sepintas-Bagan Terap, Bagan Tunjang serta beberapa kawasan yang dikenal pasti MDSB.
Sebelum ini, media melaporkan ada penternak tidak bertanggungjawab sengaja membiarkan haiwan ternakan mereka meragut rumput di hospital berkenaan pada waktu malam.
Insiden tersebut dipercayai berlaku sejak sebulan lalu sehingga menimbulkan rasa kurang selesa kepada kakitangan, pesakit dan pelawat hospital. – SelangorKini