SelangorToday

Tindakan Trump Bakal Bawa Kejatuhan Amerika Syarikat – Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR: Tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang didakwa bertindak sewenang-wenangnya terhadap negara lain berpotensi membawa kepada kejatuhan negara itu, tegas Datuk Seri Mohamad Sabu.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, pengaruh hegemoni AS kini berada di tahap kemuncak dan sejarah membuktikan bahawa kejatuhan akan menyusul selepas sesuatu kuasa besar mencapai puncaknya.

“Trump sebenarnya sedang menewaskan Amerika sendiri. Apabila sesebuah kuasa besar mencapai kemuncaknya, sejarah menunjukkan kejatuhan akan bermula,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada forum “A Global Humanity With George Galloway” di sini, Ahad lalu.

Mohamad turut mengkritik tindakan pentadbiran Trump yang didakwa menyerang Venezuela, menculik bekas Presiden negara itu, Nicolas Maduro bersama isterinya, Cilia Flores, serta menguasai hasil minyak negara Amerika Latin berkenaan, yang disifatkannya sebagai manifestasi keangkuhan AS.

Beliau juga menyifatkan ugutan Trump untuk mengambil tindakan terhadap Iran atas alasan kononnya menangani kumpulan perusuh sebagai bercanggah, memandangkan pasukan keselamatan AS sendiri pernah bertindak keras terhadap rakyat negara itu.

“Inilah sikap kuasa besar, sentiasa bertindak melampaui batas,” katanya.

Presiden Parti Amanah Negara itu turut menyamakan tindakan Trump dengan kisah Raja Namrud dan Firaun yang akhirnya binasa akibat mencabar kekuasaan Tuhan.

“Kini Amerika berada pada tahap merasakan dirinya paling berkuasa di dunia,” ujarnya.

Forum berkenaan turut menampilkan tokoh politik terkemuka Britain, George Galloway, yang dikenali lantang mengkritik imperialisme Amerika Syarikat serta penaklukan Israel ke atas wilayah Palestin.

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, serta puluhan rakyat Malaysia yang menyatakan solidariti terhadap isu kemanusiaan di Gaza.

Exit mobile version