Site icon SelangorToday

Tingkat Keyakinan Awam: KRPPM-IGAR Cadang Lembaga Pemantau SPRM Ditubuh

Screenshot_20260302_134809_Facebook

KUALA LUMPUR – Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia – Integriti, Governan dan Antirasuah (KRPPM-IGAR) mencadangkan penelitian menyeluruh dilakukan terhadap Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 bagi memastikan undang-undang itu kekal relevan dan berkesan dalam menangani cabaran rasuah semasa.

Pengerusinya, Azli Yusof berkata, semakan tersebut perlu memberi tumpuan khusus terhadap beberapa peruntukan utama termasuk Seksyen 5, 13, 14 dan 15, selain menilai semula keseluruhan kerangka akta berkenaan.

Menurut beliau, langkah itu penting bagi memastikan peruntukan undang-undang bukan sahaja selari dengan realiti semasa, malah mampu memperkukuh kebebasan institusi serta meningkatkan keyakinan awam terhadap usaha pencegahan rasuah.

“Cadangan ini merupakan antara fokus utama yang dipersetujui dalam mesyuarat pertama KRPPM-IGAR bagi tahun 2026 susulan krisis terkini melibatkan institusi berkenaan,” katanya pada sidang media di Parlimen, Isnin.

Antara cadangan utama yang dikemukakan ialah penyusunan semula mekanisme pemantauan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk menyemak semula lima badan pemantau sedia ada.

KRPPM-IGAR turut mencadangkan penubuhan sebuah Lembaga Pemantauan Bebas (Independent Oversight Board, IOB) yang diperkukuh dengan sembilan ahli bagi menggantikan struktur pemantauan semasa.

Menurut Azli, pelantikan ahli IOB dicadangkan melalui proses saringan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat dan disahkan melalui undian majoriti di Dewan Rakyat sebelum diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, tanpa penglibatan Perdana Menteri.

Selain itu, jawatankuasa Parlimen yang diberi mandat memantau SPRM dicadangkan dijadikan jawatankuasa tetap yang melapor terus kepada Parlimen.

Dalam aspek kepimpinan pula, KRPPM-IGAR mencadangkan agar kuasa pemilihan Ketua Pesuruhjaya SPRM dipindahkan daripada Perdana Menteri kepada IOB.

“Melalui mekanisme baharu ini, IOB akan memilih dan menasihati Yang di-Pertuan Agong secara langsung mengenai calon yang sesuai untuk dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya.

“Tempoh maksimum perkhidmatan dicadangkan dihadkan kepada enam tahun, manakala proses penyingkiran hendaklah dilaksanakan melalui tribunal khas bagi menjamin keselamatan jawatan serta akauntabiliti,” katanya.

Bagi memperkukuh akauntabiliti, Jawatankuasa Parlimen di bawah Seksyen 14 akta tersebut turut dicadang ditambah baik dan dijadikan mekanisme tetap yang bebas daripada kawalan Eksekutif.

Cadangan itu merangkumi penambahbaikan keanggotaan dan proses pelantikan supaya bebas daripada pengaruh Eksekutif, selain memperluas mandat bagi memantau operasi SPRM dan IOB secara langsung. Laporan jawatankuasa berkenaan juga dicadang dibentangkan terus kepada Dewan Rakyat sebagai langkah meningkatkan ketelusan.

KRPPM-IGAR turut mengesyorkan agar satu pelan halatuju reformasi SPRM yang komprehensif dirangka melalui inkuiri Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat dan disiapkan sebelum 31 Disember 2026.


Pelan tersebut dicadangkan merangkumi proses pelantikan Pesuruhjaya SPRM yang bebas daripada pengaruh Eksekutif tetapi tertakluk kepada kawal selia Parlimen; sesi konsultasi awam bersama masyarakat sivil dan pakar perundangan; penyediaan laporan lengkap termasuk draf pindaan akta; serta penggubalan Rang Undang-Undang pindaan oleh kerajaan dengan jadual masa jelas untuk pembentangan dan perbahasan di Parlimen.

KRPPM-IGAR menegaskan reformasi berkenaan perlu dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan institusi antirasuah negara bebas daripada persepsi pengaruh Eksekutif, bertanggungjawab secara langsung kepada Parlimen serta memulihkan keyakinan rakyat.

Menurut Azli, kejayaan reformasi itu bergantung kepada kehendak politik, pematuhan kepada garis masa serta kesepakatan merentas parti dan pihak berkepentingan.

Beliau turut memaklumkan bahawa KRPPM-IGAR akan menyerahkan memorandum reformasi SPRM kepada Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said dalam masa terdekat.

“Kami mendesak agar cadangan ini diberi keutamaan dan diterjemahkan melalui tindakan segera demi memperkukuh integriti negara serta menjamin keadilan kepada rakyat,” katanya.

Exit mobile version