SelangorToday

Tingkat Penguatkuasaan Undang-Undang Mampu Bendung Ekstremisme – Dr. Zulqarnain

KUALA LUMPUR, 6 Disember — Pengamal undang-undang, Dr. Zulqarnain Lukman menegaskan bahawa usaha mencegah ekstremisme di Malaysia memerlukan keseimbangan antara pendidikan dan penguatkuasaan undang-undang.

Beliau berkata demikian dalam Forum “Islam dan Kesederhanaan dalam Menangani Ekstremisme” anjuran Akademi Nadwah Ulama Nadhan Jadidan (NUNJI) yang berlangsung di Batu Muda, Kuala Lumpur.

Menurut Dr. Zulqarnain, pendidikan perlu seiring dengan mekanisme penguatkuasaan yang tegas dan jelas.

“Saya percaya pada pendidikan, tetapi penguatkuasaan tetap diperlukan. Penguatkuasaan bukan soal perasaan seseorang, tetapi satu sistem untuk memastikan undang-undang dipatuhi,” katanya.

Beliau memberi contoh bagaimana kekeliruan hukum dalam masyarakat boleh membawa kepada perilaku ekstrem, termasuk salah faham terhadap kenyataan agama yang tular sehingga menyebabkan individu bertindak melampau atau membuat keputusan tanpa asas kukuh.

Dr. Zulqarnain turut menekankan bahaya fitnah dalam masyarakat, termasuk bagaimana prosedur undang-undang yang rumit menyukarkan mangsa mencari keadilan.

“Apabila seseorang difitnah, mangsa terpaksa sediakan bukti, cari peguam, hadir ke mahkamah. Kerajaan sepatutnya memudahkan proses ini. Kesedaran masyarakat akan terbentuk apabila pelaksanaan undang-undang jelas dan mudah,” ujarnya.

Beliau menjelaskan bahawa fitnah bukan sahaja membawa kerugian, malah boleh mengakibatkan kematian jika tidak ditangani dengan sistem yang berkesan.

Mengulas faktor ekstremisme yang berkait dengan pemahaman agama, Dr. Zulqarnain menegaskan bahawa persepsi masyarakat sering dipengaruhi oleh salah faham.

Beliau menyebut contoh dalam konteks Muslim dan Kristian di rantau Asia, termasuk Indonesia, di mana mereka yang memilih jalan agama tertentu sering dilihat sebagai musuh oleh sesetengah kelompok.

“Masalah timbul bila masyarakat melihat orang yang berbeza sebagai ancaman. Persepsi sebegini bercanggah dengan nilai agama yang sebenar,” katanya.

Forum tersebut menghimpunkan pakar agama, akademik dan masyarakat setempat bagi membincangkan pendekatan Islam yang sederhana dalam menanggapi ancaman ekstremisme di Malaysia.

Exit mobile version