SelangorToday

TMM26: MASKOT WIRA DAN MANJA SERTA LOGO BERMOTIF BUNGA RAYA DIPERKENALKAN

Kerajaan pada Isnin melancarkan kempen pelancongan Tahun Melawat Malaysia 2026 atau Visit Malaysia 2026 (VM2026), dalam satu acara gilang-gemilang di Hangar 6, Kompleks Kejuruteraan MAB, Sepang, Selangor.

Majlis yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan pengenalan logo rasmi, maskot, lagu tema, dan reka bentuk pesawat khas untuk kempen ini.

Logo VM2026 yang berasaskan motif batik dan bunga raya dipertontonkan buat pertama kalinya pada pesawat Malaysia Airlines, Batik Air, dan AirAsia sebagai simbol kesiapsiagaan negara menyambut pelancong dari seluruh dunia.Logo yang terpampang di pesawat-pesawat ini melambangkan budaya Malaysia yang kaya, keindahan semula jadi dan daya tarikan global.

Dalam acara gilang gemilang itu, VM2026 turut memperkenalkan maskot rasmi kempen, beruang matahari Malaya, yang pastinya bakal memikat hati pelancong dari semua lapisan umur.

Sebagai spesies terancam, maskot Wira dan Manja melambangkan komitmen Malaysia terhadap pemuliharaan hidupan liar.

Bukan sekadar pelancaran logo dan maskot, kempen VM2026 adalah satu simbol keazaman negara untuk menjadikan Malaysia sebuah destinasi pelancongan berkelas dunia.

Majlis turut memperkenalkan lagu tema rasmi VM2026 bertajuk Surreal Experiences dengan alunan yang mencerminkan keunikan tarikan Malaysia.

Dalam pada itu, Anwar dalam ucapan perasmiannya berkata, sektor pelancongan harus bertindak sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi dengan menawarkan pengunjung pengalaman bermakna, tidak dapat dilupakan dan memperkayakan budaya kepada pengunjung.

“Malaysia bukan sekadar destinasi lain, ia merupakan lokasi unik dan mesra alam diperkaya dengan penduduknya yang berbilang budaya.”

Beliau berkata matlamat kempen itu selari dengan rangka kerja Madani, yang mengutamakan kemapanan dan mencapai kemajuan dan tahap pembangunan yang lebih tinggi.

“Aspek ini sering diabaikan keinginan kita untuk segera mencapai kejayaan dan pembangunan yang sering mengabaikan kebimbangan alam sekitar.

“Oleh itu, semasa kita mempromosikan Malaysia, kita menyasarkan untuk menampilkannya sebagai destinasi yang lestari, harmoni dan mempamerkan warisan budaya yang kaya dibina di atas nilai kukuh dan inklusif,” ujarnya.

Dalam pada itu, Anwar turut mahu agar semua kementerian tidak meminggirkan mana-mana negeri terutama dalam aspek pelancongan, pelaburan dan ekonomi sepanjang VM2026.

Anwar berkata kempen VM2026 sejajar dengan usaha kerajaan untuk menyediakan semua negeri sebagai destinasi pelancongan menarik sempena pengerusi Asean Malaysia tahun ini.

Dengan sasaran 35.6 juta pelancong antarabangsa, VM2026 dijangka menjana pendapatan RM147.1 bilion.

Tema “Malaysia Destinasi Lestari & Kaya Budaya” menjadikan VM2026 bukan sekadar kempen, namun ia merupakan janji bahawa Malaysia merupakan destinasi indah dan unik yang mampu menawarkan pengalaman tidak akan dilupakan kepada pelancong. — Majoriti

Exit mobile version